Tuesday, September 10, 2013

MAKIN PARAHLAH KITA !!!

Ambil langkah segera tangani kejatuhan ringgit




Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi menstabilkan nilai mata wang Malaysia dengan campur tangan dari Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan inflasi.

Pakar ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaccob, berkata BNM boleh mengambil langkah untuk campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa dengan membeli mata wang negara.

"Jika BNM campur tangan dalam pasaran mata wang antarabangsa, nilai mata wang kita boleh distabilkan. Sayangnya, BNM tidak berbuat apa-apa. Dan ia masih belum terlambat untuk melakukannya," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Mengulas kejatuhan nilai mata wang negara, Dr. Rosli berkata negara terpaksa membayar beban hutang dengan kadar yang lebih tinggi, khususnya jika kerajaan berhutang ke luar negara.

Katanya, walaupun hutang negara tidak bertambah, ekoran kejatuhan nilai mata wang akan menyebabkan kerajaan membayar lebih tinggi kadar pinjaman, sekaligus menyebabkan beban hutang meningkat.

Malah, kata bekas Timbalan Pengarah BNM itu, kejatuhan nilai mata wang turut memberi kesan kepada industri import, di mana Malaysia banyak bergantung ke atas industri terbabit.

"Kita banyak bergantung dengan import, khasnya makanan dan automotif. Apabila nilai jatuh, nilai import akan meningkat yang boleh menyebabkan inflasi. Apabila harga import meningkat, barangan import tersebut akan meningkat sekaligus kuasa membeli rakyat rendah kerana terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal," jelas beliau lagi.

Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan merupakan rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.

Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan enam peratus sebelum ini. - hd

No comments:

Post a Comment