Hasil kajiselidik yang dijalankan oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati kebanyakan responden percaya bahawa BN telah menyalahgunakan kuasa untuk kekal dalam kerajaan.

Hasil kajian mendapati 46 peratus responden percaya sedemikian, manakala 33 peratus lagi tidak bersetuju dan 21 peratus responden pula tidak pasti.

Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman memberitahu pemberita hari ini bahawa terdapat juga jurang pendapat di kalangan kaum mengenai perkara ini, dengan 54 peratus responden Cina bersetuju bahawa BN menyalahgunakan kuasanya, berbanding dengan 42 peratus orang Melayu.

Katanya, ianya sangat jelas bahawa orang Cina berkata 'ya' manakala sentimen anti-BN mereka adalah tinggi dan begitulah juga trendnya dalam soalan-soalan yang lain.


Hasil kajiselidik itu berdasarkan kepada temubual secara berdepan dengan 1,546 responden di seluruh Semenanjung Malaysia antara 15 Ogos hingga 10 September tahun ini.

Hasil kajiselidik yang sama juga menunjukkan bahawa responden berbeza pendapat mengenai sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan pilihan raya umum ke-13 dengan betul, dengan 47 peratus responden percaya bahawa ia dijalankan dengan baik, 41 peratus tidak bersetuju, dan selebihnya tidak pasti. - MK