Wednesday, October 23, 2013

TANGKAP ORANG PUN IKUT SUKA HATI SAJA !!!

Mazlan menang RM370,000 saman kerajaan, polis



Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini diisytiharkan menang kes saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.


Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000 dan faedah 8% dari tarikh saman.


Pada 18 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.


Saman bernilai RM20 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu. Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 3 petang, Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun sebelum itu Pengurus Rancangan Felda Lembah Klau ketika itu Awang Sulong, telah membuat laporan polis dengan mendakwa kononnya Mazlan datang untuk membuat kacau atau menceroboh.


Kemudian pada pukul 11 malam Mazlan ditahan, dimasukkan ke dalam lokap dan direman empat hari di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan (Criminal Trespass).   


Wan Rohimi berkata, hakim dalam penghujahan keputusannya berkata, plaintif (Mazlan) tidak bersalah kerana berdialog dengan kebenaran tuan rumah (Hamidun).


“Hakim berkata sebagai warganegara, Mazlan bebas bergerak ke mana saja kerana itu hak asasinya. Jadi dalam kes ini polis tersalah tangkap dan salah tahan selama dua hari serta dilayan seperti penjenayah.


“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia.


“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan hari ini, sebelum inipun saya yakin Mazlan menjadi mangsa penganiayaan politik,” katanya.


Tambah Wan Rohimi, beliau berharap pihak kerajaan Malaysia tidak akan membuat rayuan dengan memberikan keadilan dan kebebasan kepada mahkamah tinggi.


Turut berada di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli, Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus serta kira-kira 30 penyokong di kalangan warga Felda.- hd

No comments:

Post a Comment