Monday, October 21, 2013

TAUKAH UMNO MAKNA BERJIMAT ?


Berbelanja mewah ketika aliran tunai negara nazak





APABILA persoalan perkadaran Fitch dikemukakan kepada Perdana Menteri Najib Razak oleh Bloomberg yang mewawancaranya minggu lalu di Putrajaya, mudah untuk memahami mengapa firma berita antarabangsa itu berbuat demikian.

Ini kerana keputusan firma penarafan antarabangsa itu menurunkan pengkadaran kredit Malaysia dari A kepada –A adalah, secara relatifnya, merupakan suatu berita baru yang memalukan Malaysia dan perkembangannya turut diikuti di seluruh dunia kewangan antarabangsa.

Barangkali, tidak banyak pihak mahu mengambil tahu perihal kewangan Malaysia andai kata pemimpinnya tidak berlagak macam ahli sihir kewangan tersohor – datang apa sekalipun krisis ekonomi global yang menimpa kebanyakan negera, jangan kata Malaysia terkena impaknya, tempias pun tak kena.

Dan barangkali itulah tujuan Bloomberg mewawancara Najib –  mahu tahu dari mulut Najib sendiri apakah kesaktian dimilikinya.

Tentu sekali Najib sendiri berasa bangga diwawancara oleh firma pemberitaan maklumat kewangan perdana antarabangsa dan mungkin terkejut dengan pertanyaan sedemikian. Jika tujuan Najib bersetuju diwawancara disebabkan mahu menggilap imejnya sebagai ahli makro ekonomi tersohor seantero dunia, harapan itu cepat merosot sebaik wawancara dimulakan.

Seperti dijangkakan, jawapan yang diberikan sudah boleh diramalkan, “Kita akan menguruskannya…  Kita memantau dengan amat teliti bagaimana kita menguruskan kedudukan makro dan juga kedudukan fiskal serta hutang untuk mempastikan kita tidak diperturunkan gred.”

Jawapan yang diberikan Najib ini senada dengan jawapan klasik seorang menteri kanan di zaman Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, “Kita akan kaji…”  Atau juga jawapan/kenyataan seorang Menteri yang masih berkhidmat, “Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.”

Namun demikian Najib tidak pula menyatakan setidak-tidaknya secara ringkas apakah formula dan mekanisme kewangan baru yang mungkin diciptanya bagi mengelakkan Malaysia di perturunkan gred pengkadaran kredit.

Hal ini sudah tentu meninggalkan tanggapan sesungguhnya Najib memiliki kayu sakti atau mantera ‘abracadabra’ bagi mengelakkan penurunan pengkadaran selanjutnya berpunca dari lonjakan nisbah hutang-kepada-KDNK 53.3 peratus (1.7 peratus di bawah paras maksimum dibenarkan oleh undang-undang).

Ada kalangan pengurus dana di Kuala Lumpur merasakan Najib sudah menjangka Bloomberg akan bertanyakan soalan sedemikian  tetapi tidak bersedia atau mudahnya tak tahu apa yang harus dijawab.
Namun apa yang agak memeranjatkan adalah  persoalan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dalam masa 4 tahun beroperasi sudahpun mencatat jumlah pengeluaran bon dan pinjaman kira-kira RM30 bilion.

Hal ini dimaklumi umum sejak Mei lalu.  Malah Julai lalu pun Dewan Rakyat menyaksikan perdebatan hebat mengenai bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs di bayar RM500 juta oleh 1MDB bagi membantu menjual bon pinjaman sejumlah USD6.5 bilion.

Sejauh ini 1MDB telah menggunakan RM12 bilion untuk membeli aset tenaga.  Menurut Najib dana tersebut juga akan digunakan bagi membangunkan sebuah kawasan kewangan baru dinamakan Tun Razak Exchange.

Tidaklah dapat dipastikan mengapa Bloomberg, sebuah syarikat berita berpangkalan di Amerika Syarikat menimbulkan semula berita yang  hampir sudah dilupakan itu. Namun dengan menanyakan soalan sedemikian, ia turut seolah-olah menyangsikan justifikasi membayar wang sebanyak itu kepada Goldman Sachs.

Mungkin ia sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia dan Najib, pinjaman sebanyak itu boleh mendedahkan Malaysia kepada risiko mungkir menjelaskan hutang/bon pada ketika tiba tarikh matangnya.

Oleh kerana 1MDB adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan dan penyata kewangannya (jika ada) biasanya tidak didedahkan kepada awam dan terlepas dari pemeriksaan oleh Ketua Audit Negara, maka tidak ada sesiapa tahu tentang kedudukan sebenarnya dari semasa ke semasa.

Kita tentu tidak mahu 1MDB menjadi seperti projek Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila bon pinjaman yang dikeluarkan untuk kononnya membiayai projek tersebut akhirnya gagal dilangsaikan dan akibatnya dana dari Kumpulan Wang Kerajaan Persekutuan terpaksa digunakan bagi menjelaskannya.

Rakyat mungkin tidak menghiraukan sekiranya 1MDB adalah merupakan pelaburan peribadi Najib atau orang Umno dengan menggunakan dana sendiri.  Dalam pada itu banyak pihak merasakan sekiranya 1MDB berpotensi sekalipun, masanya tidak sesuai kerana kedudukan hutang negara yang seolah-olah tidak terurus lagi.

Sejarah menunjukkan kerajaan Malaysia di bawah BN cukup seronok merancang itu dan ini dalam skala mega dan kemudiannya dilaksanakan secara ad hoc serta tanpa kajian terperinci dalam erti kata sebenarnya.

Akhirnya, apabila setelah gah bercakap ke sana ke mari satu pun tak jadi, yang terseksa rakyat juga apabila pelbagai cukai baru diperkenalkan, pelbagai cukai sedia ada dinaikkan dan pelbagai subsidi ditarik balik atau dikurangkan bagi memperbaiki kedudukan aliran tunai kerajaan yang kian nazak.

No comments:

Post a Comment