Tuesday, October 15, 2013

UMNO TERUS BULI BUMIPUTERA


Umno jaga Umnoputera, bukan bumiputera




Dewan Pemuda PAS WP berasa lucu dengan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang diadakan pada Sidang Kemuncak CEO APEC 2013 baru-baru ini.

Semasa Sidang Kemuncak CEO APEC 2013, Datuk Seri Najib berkata bahawa kerajaan membantu bumiputera dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.

Seandainya bumiputera yang merupakan golongan majoriti ini diabaikan, ianya boleh menjejaskan kestabilan negara.

Malaysia telah 56 tahun mencapai kemerdekaannya. Selama tempoh itu, UMNO/BN telah menguasai tampuk pemerintahan negara.

Apa yang menyedihkan ialah minda para pemimpin UMNO/BN dalam membantu golongan bumiputera tidak seperti minda negara yang telah merdeka selama 56 tahun.

Golongan bumiputera yang dibantu ialah golongan bumiputera yang menyokong UMNO/BN semata-mata. Golongan bumiputera yang tidak menyokong UMNO/BN, telah dipinggirkan.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negeri Kelantan yang majoritinya adalah kaum Melayu dan bumiputera.

Sikap 'double standard' terus diamalkan oleh pemimpin rakus UMNO/BN seusai PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990. Bahkan sikap itu terus menerus diamalkan sehingga kini.

Rakyat Kelantan dinafikan pelbagai haknya. Lebuhraya Pantai Timur ditangguhkan pembinaannya hanya kerana negeri tersebut adalah negeri pembangkang.

Royalti minyak yang berjumlah bilion ringgit tidak diberikan. Peruntukan Pusat kepada kerajaan negeri pula disalurkan kepada pemimpin UMNO/BN negeri dan bukannya melalui kerajaan negeri yang sah.

Semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, kerajaan PAS negeri Terengganu telah diberhentikan penerimaan royalti minyaknya yang sebanyak 5%. Seperti juga Kelantan, kerajaan PAS Terengganu juga turut tidak mendapat saluran peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Hakikatnya, negeri Kelantan dan Terengganu mempunyai majoriti rakyatnya yang berbangsa Melayu dan bumiputera.

Dan hakikat yang sama ialah kedua-dua negeri yang bermajoriti Melayu dan bumiputera ini telah ditindas sekian lama hanya kerana perbezaan politik! Di manakah dasar kerajaan UMNO/BN dalam mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama?

Kenyataan Datuk Seri Najib semasa Sidang Kemuncak CEO APEC 2013 sebagai retorik dan lebih kepada ingin menutup tembelang sebenar kerajaan UMNO/BN.

Konsep masyarakat adil dan saksama bagi UMNO/BN ialah membantu UMNOputera dan bukannya golongan bumiputera. Hanya mereka yang menyokong kerajaan UMNO/BN sahaja yang akan dibantu.

Mereka ini jugalah yang akan dianugerahkan pelbagai projek jutaan ringgit dan golongan yang sama inilah jua yang akan menyokong dan membantu pemimpin-pemimpin UMNO/BN ini.

Sekiranya golongan yang merupakan juak-juak dan kroni UMNO/BN ini tidak dibantu, maka yang terjejas bukan negara tetapi para pemimpin UMNO/BN itu sendiri. Inilah wajah sebenar UMNO/BN. UMNO/BN tidak pernah ingin memperjuangkan keadilan bagi setiap rakyatnya.

Sekiranya Melayu dan bumiputera pun tidak mendapat keadilan yang secukupnya, bagaimana mengharapkan kerajaan UMNO/BN berlaku adiln kepada masyarakat kaum lain?  - HD

No comments:

Post a Comment