Tuesday, November 19, 2013

SANGAT HEBATKAH DIA NI ?

Rosmah guna pesawat kerajaan hangat di parlimen



Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansur boleh menggunakan pesawat kerajaan.

Menurut Shahidan, isteri Perdana Menteri dibenarkan menggunakan pesawat kerajaan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Namun, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali bangkit menegaskan bahawa bukan Jemaah Menteri yang meluluskan sebaliknya ia diluluskan sendiri oleh Perdana Menteri.

"Diluluskan oleh Perdana Menteri, dia adalah pengerusi Jemaah Menteri? Ini adalah konflik kepentingan! Bagaimana Perdana Menteri boleh bagi isteri guna pesawat.

"Mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri untuk bagi kelulusan kepada isteri," bidas Azmin.

Azmin mempersoalkan perkara itu dengan merujuk kepada lawatan Rosmah ke program Usahawan Wanita Antarabangsa Qatar Ke-4 pada 10 November baru-baru ini dengan menggunakan pesawat kerajaan.

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin bangun mencelah dan mempertikaikan jawapan Shahidan yang menyebabkan Perdana Menteri boleh didakwa oleh Mahkamah.

"Adakah YB Menteri sedar dengan jawapan itu, ia boleh didakwa ke Mahkamah," celah Hanipa.

"Lawatan itu adalah lawatan rasmi, bawalah ke Mahkamah mana-mana pun di dunia dan di akhirat," balas Shahidan yang terus mempertahankan bahawa jemaah menteri telah meluluskan penggunaan pesawat kerajaan oleh Rosmah.

Dewan menjadi sedikit gamat apabila ramai ahli parlimen mencelah termasuklah Ahli Parlimen Kinbatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut meminta Shahidan menjelaskan apakah ada polisi baru bahawa isteri Perdana Menteri boleh mewakili negara khususnya membabitkan hubungan antarabangsa.

"Isteri Perdana Menteri boleh mewakili negara dalam hubungan antarabangsa ianya sesuatu yang janggal," jelas Mahfuz.

Azmin yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan Shahidan terus persoalkan peranan Rosmah, apabila beliau mewakili Perdana Menteri dalam pertemuan dengan Isteri Clinton yang datang ke Malaysia sedangkan ianya boleh diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri.

"Apakah ada undang-undang baru, Rosmah boleh mewakili negara? Hendak tahu pendirian kerajaan pusat apakah Rosmah boleh mewakili negara dalam hubungan diplomatik ini," tegas Azmin.

Asakan demi asakan daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Shahidan seolah-olah tidak mahu isu ini terus dipanjangkan kerana masa suntuk, beliau hanya menjawab "asalkan ada keputusan dalam jemaah menteri ia dibolehkan."  -  HD

No comments:

Post a Comment