Monday, December 30, 2013

RAKYAT SEKALIAN: RASAKANLAH PENANGAN PEMIMPIN UMNO

Selepas PRU13, kerajaan BN semakin menindas rakyat

Dewan Muslimat PAS Pusat memandang serius tindakan kerajaan BN menaikkan harga barangan keperluan asas dan perkhidmatan yang melampau kerana ia amat tidak prihatin, menindas dan membebankan rakyat.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff menegaskan langkah kerajaan BN merasionalisasikan subsidi  secara  mendadak dan berlaku secara bertindan memburukkan keadaan menekan majoriti rakyat yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau berkata, kenyataan Menteri yang menyebut kenaikan harga petrol dan tarif elektrik serta pengurangan subsidi tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat adalah satu kenyataan yang dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, rakyat terutama golongan muda perlu bersuara  secara vokal agar rintihan mereka didengari dan seterusnya menggesa pihak kerajaan agar mengambil langkah yang konkrit lagi drastik agar rakyat tidak terus-terusan tersepit dan terbeban.

"Orang ramai terutama ibu bapa dan anak-anak muda di samping harus bersabar dalam menghadapi kesempitan ekonomi," tegasnya.

Tambah beliau, tindakan menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dengan cara menekan dan menindas rakyat adalah tidak adil sama sekali.

"Apa gunanya status negara maju atau negara berpendapatan tinggi sekiranya kemajuan dan kekayaan itu tidak dapat dinikmati bahkan tidak langsung membantu memudahkan atau meningkatkan taraf hidup majoriti rakyat," tegasnya.

Ditambah dengan masalah ketirisan dan pembaziran wang rakyat sebagaimana yang dilapurkan dalam laporan Audit Negara setiap tahun masih berleluasa dan tidak diambil perhatian yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Sebaliknya kata beliau negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat seperti kerajaan Selangor telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang cemerlang dan setakat 27 November 2013, hasil negeri yang dikutip berjumlah RM1.89 bilion, iaitu 16 peratus melebihi anggaran hasil.

Beliau berkata, lanjutan itu kerajaan Selangor telah memberi insentif satu bulan bonus  untuk kakitangan awam sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini  berbanding Kerajaan Pusat yang hanya memberi RM500 sahaja.

Begitu juga katanya Kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan yang  terkenal dengan dasar perbelanjaan secara berhemah dan berjimat cermat.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru rakyat  sedar bahawa peranan mereka dalam memilih kepimpinan amat penting bagi menjamin nasib rakyat terus terbela dengan pemimpin yang berintegriti, beriman dan amanah.

"Cukup sudah kita termakan dengan gula-gula dan terlena dengan senandung pihak kerajaan yang bermuka-muka  memberi pelbagai janji untuk membantu rakyat sebelum PRU13.

“Setelah PRU13 mereka bertindak tanpa belas kasihan serta hilang kewarasan demi menjaga kedudukan dan kepentingan politik mereka semata-mata," tegasnya.

Tambahnya, setiap hari rakyat disajikan dengan berita kenaikan barangan mahupun perkhidmatan ditambah kenaikan harga petrol yang menyebabkan rakyat terbeban dengan kesan domino ditambah kadar tarif elektrik dan tol akan naik bermula tahun 2014. - HD

No comments:

Post a Comment