Thursday, February 20, 2014

DAH TERDESAK SANGATLAH TU

Ramai ibu bapa terpaksa meninggalkan kerja harian semata-mata mahu datang mengambil bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 anak mereka.

Terpaksa menunggu sehingga empat jam bagi mendapat bantuan tersebut yang disampaikan pemimpin Umno peringkat bahagian, perkara lumrah yang berlaku di Kelantan.

Pemimpin Umno pula mengambil peluang kehadiran ramai ibu bapa di sekolah, menyampaikan ucapan bagi menghentam pihak lawan.

Seorang bapa di sini memberitahu terpaksa menutup kedai hampir sehari kerana datang mengambil bantuan persekolahan dua anaknya.

Situasi tersebut juga berlaku tahun lepas di mana orang ramai terpaksa menunggu hampir sehari sebelum menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM500.

“Semua orang tahu pemimpin Umno menggunakan kesempatan kehadiran ramai ibu bapa ke sekolah untuk melebarkan pengaruh politik mereka.

“Hanya menggunakan peluang tersebut pemimpin Umno boleh berceramah di hadapan khalayak ramai. Mereka menggunakan peluang majlis penyampaian bantuan persekolahan untuk datang ke sekolah-sekolah.

“Mereka mengharap peluang serupa juga diberi untuk datang ke Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan,” kata Adun Gaal, Tuan Mazlan Tuan Mat (gambar).

Sebuah akhbar semalam melaporkan Ketua Umno Pasir Puteh, Zawawi Othman mendakwa Yayasan Islam Kelantan (Yik) melarang pemimpin Umno memasuki sekolah agama bagi menyampaikan bantuan awal persekolahan.

Menurutnya yang juga Adun Semerak, larangan itu disifatkan berbentuk politik dan cuba menyemai perasaan benci dalam kalangan pelajar.

Sumber kerajaan negeri pula memberitahu hanya pemimpin atau pegawai kerajaan sahaja dibenarkan hadir menyampaikan bantuan kerajaan pusat di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Sebelum ini difahamkan majlis penyampaian bantuan awal persekolahan kepada SABK Kampung Nering dilakukan seorang pemimpin Umno Bahagian Pasir Puteh yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja.

Dua lagi SABK di Pasir Puteh iaitu di Kampung Lepah dan Terosan. Sekolah terbabit diurus di bawah Yik. - HD

No comments:

Post a Comment