Monday, March 24, 2014

PRK KAJANG: MCA KALAH, UMNO YANG TERTOMOIH



Media memfokus kepada majoriti PKR/Pakatan Rakyat sebanyak 1,445 undi dalam keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 23 Mac 2014. Mereka seolah-olah lupa bahawa MCA/BN juga mengalami kemerosotan sebanyak 1,385 undi.  


Kemerosotan juga berlaku dalam jumlah keluar mengundi. Hanya 72% pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka pada kali ini berbanding dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) lalu.  Akibatnya PKR/Pakatan Rakyat (PR) memperoleh 16,741 undi, sementara MCA/BN memperoleh 11,362 undi.   


Namun begitu, undi popular PKR/PR meningkat dari 57% ke 60%. Undi popular MCA/BN jatuh dari 43% menjadi hanya 40%.  Di sebalik fakta ini kita dapat melihat peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PKR/PR dan peningkatan sokongan pengundi Cina kepada MCA/BN.  Hal ini telah mendorong ahli politik dan penganalisis menganggapnya sebagai kesan daripada kempen yang terarah kepada isu-isu perkauman.  Tanggapan sedemikian tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang benar-benar berlaku jika kita meneliti faktor-faktor lain di sekelilingnya.


MCA/BN mendakwa mereka berjaya meningkatkan sokongan pengundi Cina dari  18% ke hampir  25%. Pada masa yang sama, mereka juga memperakui kehilangan sokongan orang Melayu dan golongan muda. Hasil penelitian yang dibuat, banyak saluran 5, 6, dan 7 menyumbang kepada kemenangan PKR/PR.  Saluran-saluran itu adalah untuk golongan muda. Golongan muda yang terdiri daripada pelbagai bangsa telah memberi sokongan padu kepada PKR/PR. Oleh sebab itu, kita perlu menerima hakikat bahawa majoriti penyokong MCA/BN terdiri daripada golongan tua.  Hanya golongan ini sahaja yang masih tebal kesetiaannya kepada BN dan mudah digula-gulakan.  Kita semua tahu BN sememangnya cekap dalam permainan politik gula-gula dan perkauman.   Jika fakta itu diterima, MCA/BN tidak perlu rasa bangga dapat menaikkan sokongan Cina di Kajang.  Mereka perlu menerima hakikat bahawa dalam setiap kali pilihan raya, tidak kira PRU ataupun PRK, BN ditolak oleh golongan muda.



Jumlah pengundi muda yang banyak ternyata memeritkan bukan saja BN malahan juga UMNO. Undi mereka ini telah menyebabkan 2 kubu kuat UMNO di Kajang kecundang, iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima. Sementara itu, 2 lagi kubu kuat UMNO telah dirobek dengan teruk oleh PKR/PR, iaitu Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras.  Kegagalan ini menunjukkan jentera pemuda BN yang diketuai Khairy Jamaluddin tidak dapat berfungsi dengan baik kerana ditolak oleh pengundi muda walaupun pelbagai usaha dilaksanakan dan bermacam-macam propaganda ditaburkan.   Hakikat yang pahit ini telah mendatangkan kecederaan parah kepada UMNO di Kajang.



Di satu pihak yang lain, harapan cerah terbentang kepada PKR/PR  untuk mengorak langkah yang lebih bergaya bagi menawan Putrajaya dalam PRU Ke-14 nanti.  Kembalinya sokongan Melayu dan sokongan tidak berbelah bagi pelbagai kaum yang terdiri daripada pengundi-pengundi muda perlu ditatang bagai minyak yang penuh dan terus disuburkan tanpa menoleh ke belakang lagi.  Inilah kemanisan yang dikecapi calon PKR/PR di Kajang.  UMNO pastinya merasa keperitan yang amat sangat terhadap perkembangan yang mereka saksikan di Kajang.        



No comments:

Post a Comment