Saturday, May 3, 2014

ADA AKAI KE DEPA NI ?

1. Dalam penggulungan, Timbalan Menteri Ahmad Maslan menyatakan tidak seperti Singapura yang tidak mengenakan pengecualian ke atas barang barang tertentu dari dikenakan GST , Malaysia, katanya, memberikan pengecualian GST ke atas barang barang keperluan. Saya bangun dan bertanyakan soalan berikut kepada beliau " adakah Timbalan Menteri sedar bahawa Kerajaan Singapura menyatakan bahawa jika GST dikecualikan ke atas barangan tertentu pihak yang mendapat manfaat dari pengecualian itu adalah golongan kaya kerana mereka hakikatnya menggunakan lebih banyak dan kerap barangan yang dikecualikan GST tersebut." Menteri tak boleh jawab soalan saya itu.

Apa yang dikatakan oleh Kerajaan Singapura itu ada meritnya. Meskipun barangan asas seperti beras, tepung, gula atau barangan keperluan lain dikecualikan GST , pengecualian itu terpakai kepada semua termasuk golongan kaya. Jadi mereka yang untung. Jika kita beli kek di kedai kek ( dibuat dengan tepung dan gula ) sebagai contoh rakyat miskin yang nak beli kek kini dikenakan cukai dibandingkan sebelum GST dikenakan. Jika anak atau isteri Menteri beli kek mereka tidak ada masalah bayar harga kek yang dikenakan GST tapi bagaimana anak orang susah ?

2. Kerajaan berbangga 160 negara yang amalkan GST tanpa mengira negara yany kuat ekonominya seperti USA juga tidak setuju dengan GST. Ya ,banyak negara negara maju melaksanakan GST namun berapakah jumlah pendapatan per kapita mereka. Kita ambil contoh Singapura. Pada tahun 2012 menurut Fox Magazine pendapatan per kapita rakyat Singapura sebanyak 56 ribu US dollar ( USD ) . Bagaimana dengan Malaysia? Dalam ucapan belanjawan 2014, menurut Perdana Menteri pendapatan per kapita negara kita adalah sekitar 9,500 USD sahaja. Malahan pada tahun 2020 Malaysia hanya mensasarkan pendapatan per kapita 15,000 USD. Oleh itu, bagaimana kita nak tiru Singapura?

Singapura kenakan GST kerana cukai pendapatan individu dan korporat di sana secara relatifnya masih rendah. Jadi kekurangan hasil cukai pendapatan ditampung melalui GST. Kadar cukai pendapatan di Malaysia sama ada individu atau korporat lebih tinggi dari Singapura. Itupun Singapura mulakan GST dengan kadar 3 peratus sedangkan kita terus mulakan dengan 6 peratus. Tetapi apa yang penting dengan jurang pendapatan rakyat miskin dan kaya di Singapura lebih rendah berbanding Malaysia dan pendapatan per kapita mereka jauh lebih tinggi dari kita sudah tentu kuasa membeli dan membayar cukai rakyat di sana lebih kuat dari kita.

Begitu juga negara negara maju yang lain seperti Australia dan Kanada. GST tidak begitu membebankan rakyat di sana kerana pendapatan per kapita mereka yang tinggi. Dan bagi negara negara maju yang melaksanakan GST, rakyat juga mendapat manfaat dan faedah yang banyak hasil kutipan cukai tinggi di mana jaringan keselamatan ( safety net ) bagi menjaga kebajikan rakyat jauh lebih baik. Maknanya berbaloi membayar cukai di sana meskipun tinggi.
Yang lebih penting lagi di negara negara maju tersebut kadar kebocoran dan ketirisan ekonomi di sana jauh lebih rendah kerana amalan pemerintahan yang baik ( good governance ) dan hampir bebas rasuah . Di negara kita, kebocoran bilion ringgit akibat rasuah, ketirisan, pembaziran, kronisme dan rent seeking adalah fenomena wajib di dalam laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

- mohamad hanipa maiden

No comments:

Post a Comment