Wednesday, June 18, 2014

BUKAN UMNO KALAU TAK MEMBAZIR !!!

Audit Negara: Pembaziran terus berlaku

SYED AHMAD FADHLI 
 
LAPORAN Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 mendedahkan  kepada rakyat bahawa pembaziran terus berlaku dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

Di sini saya ingin berkongi Intisari Laporan berkenaan untuk pertimbangan rakyat agar sedar dan tahu kemanakah duit pembayar cukai dibelanjakan atau dibazirkan.

1.Terdapat lapan pengurusan aktiviti Badan Berkanun Persekutuan dan tiga pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan yang dipilih untuk dibentang di Parlimen pada sesi kali ini.

2. Antara Badan Berkanun Persekutuan yang diaudit ialah Lembaga Koko Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Perbadanan Aset Keretapi, Lembaga Getah Malaysia, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu. Lembaga Pembangunan Langkawi, dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

3. Antara Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan yang diaudit ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Utara Malaysia.

4. Analisa umum Laporan Ketua Audit kali ini, saya fokuskan kepada beberapa isu utama sahaja iaitu:
- Pengurusan Pembinaan Pusat Inovasi dan Teknologi Koko (Lembaga Koko Malaysia)
- Pengurusan Peralatan Penyelidikan dan Komersial (Lembaga Getah Malaysia)
- Pengurusan Perolehan FELDA
- Pengurusan FAMA Corporation Sdn Bhd

5. ISU 1: Pengurusan Pembinaan Pusat Inovasi dan Teknologi Koko (PITK)
- Pengauditan mendapati prestasi pengurusan pembinaan PITK yang terdiri daripada Fasa 1 dan 2 adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya adalah:
 a. Kos projek pembinaan Fasa 1 meningkat sebanyak 40.56 peratus menjadikannya berjumlah RM33.72 Juta berbanding kos asalnya RM23.99 Juta.
b. Projek Fasa 2 terbengkalai hampir dua tahun kerana lebihan peruntukan daripada fasa 1 hanya sebanyak RM3.28 Juta sedangkan projek Fasa 2 memerlukan kos sejumlah RM24.34 Juta.
c.Kualiti kerja pembinaan kurang memuaskan dan spesifikasi binaan kurang sesuai dengan keperluan LKM menyebabkan LKM menanggung kos pembaikan tambahan berjumlah RM60,325.
d. Pelantikan perunding bagi projek Fasa 2 tidak mengikut prosedur dan tanpa kelulusan Lembaga Perolehan A.

6. ISU 2: Pengurusan Peralatan Penyelidikan dan Komersial (Lembaga Getah Malaysia)
- Sehingga 31 Disember 2013, LGM sedang melaksanakan 78 projek penyelidikan. Jumlah keseluruhan asetnya pula RM 500.76 Juta dengan sebahagian daripadanya iaitu RM108.06 Juta merupakan peralatan penyelidikan dan komersial yang terdiri daripada kelengkapan makmal serta loji dan jentera.
- Pengauditan mendapati secara keseluruhannya pengurusan peralatan penyelidikan dan komersial adalah kurang memuaskan. Antara kelemahannya ialah:
a. Tiada penyelarasan antara perolehan peralatan dan pembinaan Pusat Pemprosesan Lateks Pekat yang akan menempatkan peralatan. Projek pembinaan hanya bermula pada Mei 2013 dan dijangka siap pada November 2014 ini tetapi perolehan peralatan telah pun dibuat pada tahun 2009 lagi.
b. Nilai 15 komponen peralatan yang dibeli (daripada tahun 1990-2010) tetapi tidak digunakan ialah RM9.94 Juta.
c. Dua peralatan bagi ujian tayar yang bernilai RM4.7 Juta tidak berfungsi kerana mengalami masalah perisian dan sehingga sekarang belum diperbaiki dan tidak dapat digunakan. 237 daripada 400 unit peralatan Automatic Rubber Tapping di Stesen Penyelidikan Kota Tinggi tidak berfungsi dengan baik menyebabkan tiada hasil torehan.
d. Peralatan tidak diselenggara mengikut jadual menyebabkan peralatan sentiasa rosak dan tidak dapat digunakan.

Antara kesimpulan awal yang dapat kita lihat, kegagalan dalam pengurusan menyebabkan kos yang dibelanjakan meningkat berkali-ganda dan lebih malang lagi apabila kualiti pembinaan teruk maka terpaksa mengeluarkan kos lagi untuk memperbaikinya pula.

Di samping itu, keanehan juga dapat kita lihat apabila mereka membeli peralatan seawal 2009 tetapi tempat untuk menyimpannya belum lagi ada dan hanya dijangka siap pada penghujung 2014 ini. Difahamkan peralatan itu kini masih tersimpan dan ada yang sudah pun berkarat. Hal ini sudah pun dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dan sehingga kini kedudukan peralatan masih tidak berubah.

Pembaziran berterusan dan berulang. Jutaan wang ringgit dibelanjakan untuk membeli peralatan tetapi tidak pun dapat berfungsi. Adakah begitu murah nilai jutaan ringgit itu sehingga ia dibiarkan hangus begitu sahaja?

Syed Ahmad Fadhli ialah Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan PAS.

No comments:

Post a Comment