Tuesday, June 17, 2014

SELAGI BOLEH SONGLAP, MEREKA AKAN SONGLAP !!!!

Kos senggara kereta SUK, PTG Johor tinggi

Siri kedua Laporan Ketua Audit Negara 2013 mendapati kos senggaraan kenderaan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) (Pengurusan) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor adalah tinggi.
    
Pengauditan antara Ogos hingga November 2013 itu mendapati ini berlaku akibat tahap pemantauan yang lemah dengan pembaikan kenderaan tidak mengikut prosedur oleh bengkel-bengkel swasta yang dilantik.  
    
Siri kedua Laporan Ketua Audit Negara itu dibentangkan di Parlimen hari ini.
 
Bagi tempoh antara tahun 2011 hingga 2013, sejumlah RM3.82 juta telah dibelanjakan bagi tujuan penyenggaraan kenderaan.
    
Pejabat SUK membelanjakan sejumlah RM2.78 juta bagi 81 buah kenderaan pelbagai jenis manakala PTG pula membelanjakan sejumlah RM1.04 juta bagi 23 kenderaan pelbagai jenis.
    
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam laporan itu menyatakan kos senggaraan bagi tempoh berkenaan ialah antara 59 peratus hingga 141 peratus bagi PTG dan 39 peratus hingga 95 peratus bagi Pejabat SUK.
    
Terdapat 35 kes di mana kad inden minyak yang sama digunakan bagi mengisi bahan api dalam tempoh masa yang singkat.
    
Ini berlaku dalam jarak masa antara satu hingga 94 minit di Pejabat SUK dengan jumlah perolehan RM8,937 dan tujuh kes antara 2 hingga 36 minit di PTG (RM1,161).

Semakan audit terhadap baucar bayaran Pejabat SUK mendapati perbelanjaan penukaran 'tinted' yang berulang bagi empat buah kenderaan yang sama antara tahun 2011 hingga Jun 2013 bernilai RM14,240.
    
Pejabat SUK turut didapati kerap mengganti tayar bagi enam buah kenderaan bagi tempoh yang sama antara satu hingga 12 bulan berjumlah RM49,440.  
    
Menurut laporan itu, bengkel panel swasta memaklumkan penukaran tayar bagi kenderaan perlu dibuat apabila jarak perjalanan mencapai odometer antara 30,000 km hingga 50,000 km.  
    
Bagaimanapun, pihak audit tidak dapat menjalankan analisis kekerapan penggantian tayar berbanding jarak perjalanan kerana bacaan odometer kenderaan di buku log atau invois tidak dikemas kini.  
    
Laporan audit itu mengesyorkan Pejabat SUK dan PTG Johor memastikan pemandu dan bengkel panel swasta mematuhi prosedur penyenggaraan; memantau perbelanjaan penyenggaraan bagi setiap kenderaan dan memastikan setiap pembaikan diluluskan oleh pegawai yang bertanggungjawab.
    
Kedua-duanya turut disyorkan untuk menyemak secara terperinci penggunaan bahan api pada setiap bulan sebelum membuat pembayaran.
    
-Bernama

No comments:

Post a Comment