Wednesday, August 20, 2014

DEMIKIANLAH BUDAYA UMNO !!!

Mahathir 'pukul' Najib tapi sindir MT Umno


NAZRI ABDULLAH
   
Kritikan terbuka Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya bukan sahaja kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, tetapi juga Majlis Tertinggi (MT) Umno secara keseluruhan.
Setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin, berkata seluruh MT Umno sewajarnya memahami bahawa kritikan tersebut sebenarnya ditujukan kepada mereka selaku pemutus dasar parti.

Ini kerana katanya, amalan dan dasar yang dipakai adalah 'parti menguasai kerajaan' dan MT Umno adalah badan penasihat kepada Najib.

"Dr Mahathir tak nak cakap (terus terang) sahaja sebenarnya. Kalau ikutkan, dia nak cakap suruh MT Umno berhenti sahaja lah.

"MT tidak berfungsi. Najib tak pernah ditegur oleh MT. Ramai orang berkepentingan di dalamnya dan takut untuk menegur Najib," kata beliau kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas teguran Mahathir terhadap Najib melalui blognya semalam.

Dalam tulisan itu Mahathir menyatakan beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan Najib kerana prestasinya lebih buruk daripada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga berkata, terpaksa terus menegur Najib kerana tidak ada pemimpin yang berani menegur Perdana Menteri itu.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara. Semua ini disebabkan penyokong Kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima," kata beliau dalam blognya chedet.cc.

Feudal dalam Umno

Mengulas lanjut, Zaharin yang pernah dipecat keahlian dua kali dari Umno berkata, budaya feudal masih kuat dalam Umno dan ianya menjadi faktor mengapa orang bawah takut untuk menegur pemimpin atasan.

"Ini budaya dalam Umno, tak boleh lawan bos. Kalau tegur, kena tulah jadi derhaka, tak dapat projek.

"Ini mentaliti feudal bersubsidi yang bukan bukan sahaja sebati malah sudah berdaki dalam Umno.

"Saya berusaha untuk buang tapi tidak berjaya. Dua kali saya buat (tegur), hasilnya saya dipecat," katanya.

Beliau pernah dipecat pada 1996 ketika zaman Mahathir yang kemudian diterima semula pada 1998.

Ketika Zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, beliau sekali lagi dipecat pada tahun 2006 dan kemudian diterima semula pada 2009 selepas Najib menjadi Presiden Umno.

Beliau juga aktif menulis isu politik tanah air, dan mengkritik pedas dasar kerajaan di blog beliau zaharinmy.blogspot.com dengan nama pena 'Sang Kelembai'.

No comments:

Post a Comment