Tuesday, August 19, 2014

DEMIKIANLAH UMNO ADANYA .......

Syed Ali pertahan teguran 'ikhlas' Dr M


Pemimpin lantang Umno Datuk Seri Syed Ali Alhabshee hari ini mempertahankan teguran keras Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai ikhlas, tidak berniat jahat dan tidak berkepentingan.

Mengumpamakan seperti teguran bapa kepada anak, Syed Ali dilaporkan berkata, ia bukan kebencian tetapi peringatan ke arah penambaikan parti dan pentadbiran kerajaan.

“Pada hemat saya, jika Dr Mahathir tidak sayangkan Najib, sudah tentu dia tidak membuat teguran seperti itu,” ketua Umno Bahagian Cheras itu dipetik sebagai berkata.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin Umno harus menerima teguran tersebut berlapang dada dan tidak terlalu prejudis walaupun “agak pedas”.

Mahathir semalam menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.

Blog Umno bahagian itu juga melaporkan Syed Ali sebagai bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa kadangkala orang bawah memberi pendapat tidak kerana ingin mengambil hati perdana menteri.

“Mereka yang berjawatan dalam parti dan kerajaan, sewajarnya memberikan pandangan yang ikhlas kepada perdana menteri,” tegasnya.

Katanya lagi, jika berlaku sebarang kemusykilan terhadap pandangan atau teguran Dr Mahathir maka menjadi kewajipan pemimpin parti untuk menemui beliau meminta penjelasan selanjutnya.

“Umno mempunyai ahli MT, setiauasaha agung dan setiauasaha kerja, mereka inilah sepatutnya menemui Dr Mahathir jika ada kekeliruan di sebalik teguran tersebut,” katanya. 


Zahid: Dr M harus beri kesetiaan pada Najib

 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini mengingatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa setiap pemimpin mempunyai eranya yang tersendiri.

Dan sekarang, tambahnya, era Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Zahid berkata, setiap pemimpin mempunyai era yang sesuai pada suatu-suatu masa dan era ini sesuai untuk Najib.

"Saya membaca blog berkenaan dan pada hemat saya, zaman Datuk Seri Najib adalah zaman yang sesuai dengan Datuk Seri Najib. Kerana dulu tidak ada media sosial. Sekarang banyak media sosial dan keadaan itulah harus difahami," katanya kepada pemberita pagi ini.

Zahid yang juga naib presiden Umno berkata, di zaman media sosial pemimpin politik harus membayar harga untuk “era tanpa sempadan”.

Katanya, seperti semua orang, Mahathir harus menghormati pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan menggesa beliau memberikan kesetiaan kepada Najib.

"Komen-komen yang negatif lazimnya merupakan pendapat peribadi yang dikendalikan oleh pemain dan pemuka pada media sosial termasuk Tun Mahathir dan pada zaman langit terbuka dan dunia tanpa sempadan, mungkin itulah harga yang perlu dibayar oleh mana-mana pemimpin.

“Ketika beliau (Mahathir) menjadi perdana menteri, beliau menuntut kesetiaan semua pihak. Saya pasti Najib juga menuntut kesetiaan semua pihak,” katanya.

Mahathir semalam menarik balik sokongan kepada Najib selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan “dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan” berbanding pendahulunya itu.
 


Hisham: Obama, Putin pun tak semampu Najib

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, cara Najib mengendalikan tragedi MH17 membuktikan Najib seorang pemimpin yang "berani" berurusan dengan pemisah Ukraine sehingga membolehkan jenazah mangsa tragedi dibawa pulang.

"Kalau Datuk Seri Najib tak buat tindakan berani untuk berdepan dengan pemisah, tak mungkin saya mampu berdiri hari ini untuk uruskan jenazah-jenazah ini," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, pemimpin-pemimpin seperti presiden Amerika Syarikat dan presiden Rusia juga tidak mampu mencontohi keberanian Najib dalam hal itu.

"Tanya sama ada Obama mampu lakukan, tanya sama ada Putin mampu lakukan.

"Kalau itu tak boleh dinilai orang ramai itu amat menyedihkan," katanya.

Hormati, enggan aibkan Dr M

Jelasnya lagi, beliau bagaimana pun menghormati pandangan bekas perdana menteri itu walaupun tidak bersetuju dengannya.

"Tun Mahathir tak pernah lokek dengan pandangan dan teguran tapi ini tak bermakna kita setuju dengan apa yang diluahkannya.

"Pada masa sama saya tak nak aibkan pandangan Tun Mahathir kerana dari dulu lagi beliau ada pendirian dan pandangannya sendiri," kata Hisham pada sidang media di Kementerian Pertahanan tengah hari ini.

Mahathir (kiri) dalam tulisan terbaru di blognya menarik balik sokongannya kepada Najib selama ini kerana Najib dilihat berlembut dalam isu-isu yang kritikal.

Hari berkabung

Hisham yang juga naib presiden Umno memberikan ulasan tersebut sewaktu menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas bertemu editor-editor kanan akhbar berhubung istiadat penghormatan jenazah MH17.

Istiadat tersebut akan berlangsung pada 22 Ogos, Jumaat ini.

Dalam kenyataannya, Hishammuddin berkata hari tersebut adalah Hari Berkabung Malaysia dan seluruh rakyat digesa berdoa dan bertafakur secara serentak selama dua minit di seluruh negara.

"Kita akan berdoa sebaik sahaja jenazah MH17 dimasukkan dalam kenderaan jenazah iaitu antara jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi pada hari tersebut," kenyataan beliau dipetik.

Istiadat tersebut akan melibatkan 16 mayat - enam jenazah beragama Islam dan sepuluh lagi bukan Islam.
 

 

1 comment:

  1. kalau najib hebat ......... dimana MH370 ??????????????????????????????

    ReplyDelete