Tuesday, September 23, 2014

ADA SESIAPA LAGI NAK UNGKIT HAL TAK BERFAEDAH NI ?

Lega, UG bukan lagi agenda dalam PAS

ZULKIFLI YAHAYA 


Sekian lama isu kerajaan kerajaan perpaduan (UG) menjadi ibarat sampah yang menyerigai di ruang mata. Banyak mengganggu keselesaan dan kadangkala menyakitkan juga. Kononnya terdapat agenda sulit di belakang tabir, iaitu usaha kepimpinan PAS di peringkat tertinggi mahu mewujudkan kerjasama dengan Umno. Maka wujudlah pelbagai cerita yang tersebar berkaitan UG. Satu demi satu dakwaan konspirasi terancang berkaitan UG yang dikatakan berlaku sejak Mac 2008 hingga kini. Apabila muncul keributan isu Menteri Besar Selangor, isu UG pun mekar kembali. Entah benar entah tidak, tiada siapa dapat mengesahkannya.

Di kalangan ahli bawahan, isu UG meresahkan. Menjalin kerjasama dengan Umno bukan perkara kecil. Dalam politik nasional, Umno sudah menjadi seteru politik paling besar bagi PAS. Pihak yang dikaitkan dengan UG pula bukan calang-calang orang. Bermula dari peringkat pelabelan, akhirnya UG ‘dijenamakan’ terhadap kelompok tertentu dalam PAS. Malang, UG menjadi jenama yang membawa bibit-bibit perpecahan dalam PAS sehingga setiap perbezaan pandangan yang berlaku dikaitkan dengan UG. Oleh kerana UG adalah persoalan besar maka logiknya ia tidak boleh diputuskan secara sulit. Apakan daya, UG tetap mahu dijadikan alat pembakar sentimen.

Ucapan dasar Presiden dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60 baru-baru ini menjelaskan persoalan UG. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tiada kerjasama dengan Umno yang berbentuk penggabungan!

“Saya ingin menegaskan bahawa tohmahan kononnya PAS mahu menyertai Umno atau bergabung dengan Umno, menyertai BN adalah api fitnah yang dicetus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk merosakkan reputasi perjuangan Islam dan memecahbelahkan keutuhan jamaah kita,” tegas beliau.

Penegasan Presiden adalah jelas. Apakah lagi yang mahu diterangkan selepas itu untuk meyakinkan kelompok tertentu bahawa UG bukan lagi agenda dalam PAS?

Dengan penegasan oleh Presiden itu, isu UG tidak perlu diperpanjangkan lagi oleh mana-mana pihak. Isu UG sedikit-sebanyak UG telah memecahbelahkan PAS. Umno musuh politik PAS, malang kalau PAS berbalah hanya kerana musuh.

Adapun, kerjasama yang bukan berbentuk gabungan politik, PAS tidak pernah membataskan dengan sesiapapun demi kebaikan ummah.

“Namun sebagai sebuah jemaah Islam yang membawa rahmat kepada semua, kita tetap berpegang kepada prinsip asas Islam dan terus beristiqamah untuk memelihara perpaduan ummah berasaskan tali Allah.

“PAS juga tetap menghubungkan  silaturrahim dengan semua pihak berpandukan kepada panduan Al-Quran dan as-Sunnah, saling bantu membantu dalam usaha menegakkan syariat, membuka ruang dialog dan wacana demi kebaikan dan masa depan umat Islam,” ujar Presiden.

Selepas kebimbangan mengenai UG, ahli-ahli juga turut diruntun keresahan berhubung isu tahaluf. Sekilas pandang akan kenyataan pemimpin tertentu, seolah-olah tahaluf Pakatan sudah berada di hujung tanduk.

Ada perwakilan mengingatkan Muktamar supaya menyedari bahawa PAS, PKR dan DAP masing-masing adalah minoriti. Gabungan ketiga-tiga parti juga masih jadi minoriti. “Tetapi yang jadi majoritinya ialah rakyat, rakyat yang memberi sokongan kepada Pakatan,” ujarnya.

Ada juga perwakilan yang meminta PAS jangan hanya melihat sokongan rakyat terhadap parti itu di Kelantan dan Terengganu. Di negeri-negeri Pantai Barat, undi majoriti Melayu tidak berpihak kepada PAS. Sekalipun salah untuk beriktiqad bahawa ‘undi pihak tertentu adalah penentu kemenangan’ namun realitinya undi bukan Melayu yang membantu kemenangan calon-calon PAS dan Pakatan. Dengan itu Pakatan Rakyat mestilah dimantapkan.

Presiden bersetuju bahawa tahaluf bersama Pakatan merupakan antara khazanah kekayaan sistem politik Islam yang sangat mahal harganya. Cuma malang, katanya, jika tahaluf menyebabkan ada pihak yang cuba melemahkan dan mengkucarkacirkan PAS sehingga ada pihak yang mabuk lantaran berlawanan sesama sendiri. PAS akan terus tahaluf siasi bersama Pakatan selama mana tidak melanggar syarat yang diputuskan oleh hukum tertinggi dalam PAS dan majlis syura. Umumnya, sebahagian besar perwakilan dan kepimpinan yang berucap masih sayangkan Pakatan Rakyat dan mahu ianya diperkasakan. Suara hati muktamar adalah suara hati tertinggi ahli-ahli PAS di seluruh negara.

Ramai juga perwakilan yang berucap perihal adab dalam berbeza pandangan. Jangan ada label melabel seperti munafik haraki, pengkhianat jamaah, hanya kerana terdapat segolongan ahli yang berbeza pandangan dalam sesuatu isu. Lebih parah ia membawa kepada tindakan tidak beradab seperti meninggalkan dewan muktamar semasa seorang pemimpin berucap.

Menariknya muktamar kali ini kerana nampak macam berlaku konflik besar dalam PAS. Hakikatnya ia cuma proses mematangkan ahli-ahli apabila berhadapan dengan konflik. Konflik juga adalah satu bentuk ujian dalam jamaah. Hikmahnya selepas semua ini dilalui dan diatasi, PAS akan jadi lebih mantap dan kuat.

1 comment: