Thursday, October 9, 2014

SERONOKNYA DIA MERAPU .......

Dr M dakwa PAS ditipu rakan kongsi 'kafir'

 
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk tindakan PAS yang mempersoalkan kerjasama Umno dengan bukan Islam tetapi kini mengambil tindakan yang sama bekerjasama dengan DAP.

Mahathir berkata, PAS sebelum ini turut mendakwa orang Islam dilarang bekerjasama dengan bukan Islam dan menggelarkan orang Melayu dalam Umno yang bertindak demikian sebagai “kafir”.

Hinggakan, ada pengikut PAS yang percaya dengan dakwaan seperti itu dan enggan bersolat bersama dengan pengikut Umno.

“Mereka tidak membenar anak mereka berkahwin dengan anak orang Umno. Ada yang dikahwinkan sekali lagi kononnya untuk menghalalkan perkahwinan mereka sebelum menyertai PAS.

“Kubur orang PAS juga diasingkan dari kubur orang Umno. Ada juga perpecahan dalam keluarga kerana anak mengkafir ayah dan ibu kerana menyokong Umno,” kata Mahathir.

Dalam tulisannya di blog chedet.cc itu, Mahathir turut membangkitkan bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya meyakinkan PAS untuk turut bekerjasama dengan DAP.

Sedangkan, DAP merupakan parti yang paling lantang menentang agenda Islam, yang didakwanya sebagai cita-cita PAS.

Namun, katanya, kini PAS perlu mengakui bahawa mereka tidak akan dapat membentuk kerajaan persekutuan.

“PAS berada dalam keadaan serba salah. Mereka sudah kafirkan Umno kerana bekerjasama dengan orang kafir.

“Tetapi hakikatnya PAS perlu bekerjasama dengan orang kafir jika PAS ingin jayakan hasrat untuk berkuasa di peringkat Pusat dan melaksanakan hukum hudud PAS dalam negara Islam kononnya,” katanya lagi.

Tambahnya, rakan kongsi Umno bukan Islam dalam BN tidak pernah menentang Islam atau menafikan pendirian Umno bahawa Malaysia adalah negara Islam.

Ini bertentangan dengan keadaan dalam Pakatan Rakyat, di mana DAP dengan jelas menentang konsep negara Islam dan hudud PAS.

“Untuk meyakinkan ahli dan penyokong PAS bahawa PAS boleh kerjasama dengan orang kafir tanpa menjadi kafir PAS perkenalkan perkataan Arab 'tahaluf siyasi' bagi kerjasama PAS dengan orang kafir.

“Orang Melayu anggap bahasa Arab adalah bahasa agama dan apa sahaja yang disebut dalam bahasa Arab tentulah dari agama Islam. Dan perkataan Arab lebih mudah diterima.

“(Namun) ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama ini tidak berbeza sedikit pun dengan kerjasama Umno dengan MCA dan MIC tidak disebut dan tidak dijelaskan,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, katanya, PAS terus berseteru dengan Umno kerana kerjasama parti itu dengan kelompok bukan Islam tidak diberi istilah bahasa Arab.

Namun, PAS kerugian kerana hanya berjaya meraih 21 kerusi dalam pilihan raya umum lalu, berbanding DAP (38) dan PKR (30).

PAS juga tewas di Kedah sedangkan DAP mengekalkan Pulau Pinang dan PKR kekal di Selangor, tambahnya.

"Sesungguhnya PAS telah ditipu oleh DAP," tegas Mahathir sambil menambah bahawa beliau yakin ahli PAS tidak akan baca blog ini kerana taksub dengan pemimpin mereka.-  mk

No comments:

Post a Comment