Saturday, November 22, 2014

ALAHAI! MACAM ITULAH KALAU TAK CERDIK

'Pak Menteri, tidak semua orang Cina kaya'

 
Jumaat lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek dipetik oleh blog Umno sebagai berkata bahawa ada “negeri tertentu” yang bersembunyi di sebalik dasar meritokrasi untuk mendiskriminasikan Melayu secara halus.

Walaupun beliau tidak menyebut secara langsung, umum jelas bahawa beliau merujuk kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui Pulau Pinang.

Pada hari Sabtu, saya menyangkal tuduhan yang tidak berasas itu dengan menyenaraikan pelbagai dasar kebajikan yang bukan berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Dasar-dasar ini telah memberi manfaat kepada banyak isi rumah miskin, di mana kebanyakannya merupakan keluarga Melayu. Sementara itu, prosedur pemerolehan yang telus telah membolehkan penganugerahan projek-projek negeri kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang benar-benar layak. Ini sangat berbeza dengan pendekatan yang didukung oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Saya juga menzahirkan rasa malu bahawa masyarakat Melayu kekal miskin di Pulau Pinang setelah 50 tahun pemerintahan Barisan Nasional, sementara kerajaan Pakatan Rakyat sedang cuba yang terbaik untuk membantu golongan miskin.

Pun begitu, saya terkejut apabila mendapati bahawa Shabery bukan sahaja gagal memahami maksud kenyataan balas saya, malah beliau menuduh saya sebagai “bias dan rasis.” Tidak cukup dengan itu, beliau lagi menunjukkan bulu perkaumannya dengan berkata: “Mengapa beliau (Zairil) tidak menyatakan kejayaan orang Cina hasil kejayaan BN?”

Kenyataan perkauman sebegitu adalah kelumrahan bagi seorang menteri Umno dan merupakan ciri fitrah Barisan Nasional yang sentiasa gagal untuk memahami bahawa kemiskinan dan kesenjangan pendapatan bukanlah masalah perkauman.

Memetik ahli ekonomi terkenal dan pengarang The Colour of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid, kemiskinan adalah “masalah Malaysia.”

Malah, buku Dr Muhammed menunjukkan bahawa dua pertiga daripada pekerja Malaysia berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, dan kira-kira 90 peratus daripada semua rakyat Malaysia mempunyai hampir sifar simpanan.

Realiti yang menyakitkan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia daripada semua kumpulan etnik sekadar kais pagi makan pagi.

Fakta ini disokong oleh Kaji Selidik Upah dan Gaji 2013 oleh Jabatan Statistik, yang menunjukkan bahawa gaji penengah atau median bagi Bumiputera berada pada RM1,600 sebulan. Bertentangan dengan apa yang Shabery percaya, orang Cina tidaklah jauh lebih baik, di mana gaji median kumpulan etnik ini hanya RM2,000 sebulan. Orang India pula mendapat gaji median bulanan sebanyak RM1,500.

Dalam erti kata lain, gaji median bulanan bagi ketiga-tiga kumpulan etnik utama di negara kita berada pada tahap RM2,000 ke bawah, lantas melayakkan mereka sebagai golongan berpendapatan rendah.

Tambahan pula, kesenjangan pendapatan sudah menjadi satu masalah yang membimbangkan di Malaysia apabila negara kita mencatat jurang paling besar antara yang kaya dan miskin dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Dari segi etnik, kesenjangan ini adalah tertinggi dalam kalangan kaum India, diikuti kaum Cina dan kemudian Bumiputera.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak menyedari bahawa jurang antara orang Cina kaya dan orang Cina miskin sebenarnya yang paling luas dari segi nominal berbanding kumpulan etnik lain.

Oleh itu, selain semua hartawan Cina yang kita dengar, ada majoriti besar orang Cina berpendapatan rendah yang lebih kurang sama dengan rakan-rakan mereka yang lain di Malaysia.

Walaupun secara empirikal terbukti rakyat Malaysia secara keseluruhannya berada pada tahap sosio-ekonomi yang rendah, namun tidak dapat disangkal memang terdapat suatu golongan rakyat Malaysia yang sangat istimewa.

Rakyat Malaysia terpilih ini istimewa kerana mereka dianggap layak untuk menerima layanan khas dalam bentuk penganugerahan tender rundingan langsung, kontrak murah hati (sweetheart deal), konsesi yang menguntungkan serta projek mega daripada kerajaan Barisan Nasional.

Rakyat Malaysia istimewa ini juga dikenali sebagai kroni, dan mereka juga tidak terpisah mengikut kaum. Jika kerajaan Barisan Nasional ingin diiktiraf kerana berjaya memperkayakan mana-mana golongan, maka golongan kroni inilah yang berjaya diperkayakan tanpa mengira kaum.

Malangnya, dasar-dasar yang membentuk sebuah ekonomi sewaan (rentier economy) berdasarkan kapitalisme monopoli (state monopoly capitalism) telah membawa manfaat hanya untuk kelas kapitalis kroni ini, dan bukan kepada majoriti rakyat Malaysia yang terperangkap dalam jerat kemiskinan dan kesenjangan pendapatan.

Jelas, keadaan ini akan makin parah melainkan polisi proaktif diperkenalkan untuk menangani rasuah dan kronisme yang telah merompak kekayaan negara milik rakyat Malaysia marhaen.


ZAIRIL KHIR JOHARI adalah ahli Parlimen Bukit Bendera dan penolong setiausaha publisiti Kebangsan DAP

No comments:

Post a Comment