Friday, November 28, 2014

UMNO HANYA PELIHARA UMNO .....

Melayu mana yang diselamatkan UMNO?


Mohamad Fadli

Ungkapan atau retorik politik yang berteraskan ketakutan perlu diketepi demi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada masalah-masalah yang hadapi dewasa ini

Masyarakat Melayu 

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Fahmi Fadzil berpendapat UMNO perlu meminta maaf kepada kaum Melayu kerana tidak mampu memperjuangkan nasib kaum tersebut.
Menurut Fahmi, buktinya adalah apa yang disebut oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa orang Melayu masih hidup di bawah paras kemiskinan.
Katanya, Tengku Adnan sendiri telah mengeluarkan statistik bahawa 200 tahun lalu orang Melayu memiliki 100 peratus tanah di Kuala Lumpur, namun angka tersebut kini telah merudum ke 21.7 peratus.

Beliau juga mengakui bahawa 90 peratus daripada 42,000 orang penyewa unit rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah orang Melayu, yang tidak mampu memiliki rumah di ibu kota yang nilainya RM300,000 ke atas.

Beliau seterusnya mempersoalkan jika UMNO telah berjaya mempertahankan kepentingan dan masa depan orang Melayu, sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Malaysia?

“Adakah kepentingan dan masa depan satu kelompok orang Melayu elit sahaja yang dipertahankan? Lebih jelas Melayu mana yang diselamatkan?” katanya dalam entrinya di fahmifadzil.wordpress.com.

Tambahnya, apabila kita baca angka-angka yang disebut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan sendiri, tidakkah kita akan bertanya: “Apa yang telah UMNO lakukan sehingga nasib orang Melayu menjadi sebegini rupa?

Antara lain, beliau juga mempersoalkan, “Adakah orang Melayu semakin kukuh kedudukannya, atau adakah sekelompok “kawan-kawan rapat” pimpinan teratas parti itu yang semakin kukuh kedudukannya? Dengan kata lain, Melayu mana yang “Hidup”?

“Sebagai seorang anak Melayu, yang mana arwah atuk dan nenek saya cukup kuat bergerak dengan pejuang-pejuang awal UMNO, saya sendiri bertanya: “Apa sudah jadi dengan UMNO hari ini? Jika arwah atuk dan nenek saya masih ada, adakah mereka akan kenal dan setuju dengan “perjuangan” yang diangkat di kala ini,” soalnya lagi.

Ujarnya, bagi beliau orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, dan semua yang cintakan Malaysia perlu mencari kerangka baru untuk mengolah dasar bersama yang lebih baik, saksama dan adil.

“Bukan sahaja untuk sesuatu kaum, tetapi untuk memastikan di dalam setiap kaum itu kumpulan-kumpulan yang paling memerlukan akan menerima bantuan yang adil dan saksama.

“Bagi saya, ungkapan atau retorik politik yang berteraskan ketakutan perlu diketepi demi mencari jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh kepada masalah-masalah yang kita hadapi dewasa ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment