Tuesday, September 27, 2016

APA NAK JADI ?


Firma TS Solartech Sdn Bhd - sebuah anak syarikat Tek Seng Holdings Bhd - mengeluarkan memo memaklumkan kira-kira 200 orang  pekerjanya akan diberhentikan.  Kilang dalam sektor pembuatan  yang 42% sahamnya dipegang oleh Solartech Energy di Taiwan ini terletak di Pulau Pinang.

Sebelum ini, syarikat Rubicon Technology Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat memaklumkan bahawa kilangnya Rubicon Sapphire Technology di Pulau Pinang, telah memberhentikan 180 orang pekerja.

Pembuat cakera keras US Seagate Technology Plc, yang menggaji 3,000 kakitangan Malaysia, dan syarikat penyimpanan data komputer Western Digital Corp pula memindahkan sebahagian besar operasinya ke Thailand.

Business Times melaporkan bahawa Western Digital dijangka memberhentikan 400 rakyat Malaysia dan 800 pekerja asing dari kilangnya di Pulau Pinang. Sementara itu, Intel Technology, yang mempunyai kilang di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah, sedang memberhentikan 12,000 pekerjanya di seluruh dunia. Kira-kira 1,000 dari mereka adalah dari operasi di Malaysia.

Itulah senario yang sedang rancak berlaku di utara Semenanjung Malaysia. Perkara yang sama mungkin berlaku di negeri-negeri lain. Ini bermakna kes pengangguran akan semakin bertambah kerana semakin ramai yang kehilangan pekerjaan.  Pengangguran dalam kalangan pekerja yang sudah berkelamin akan menimbulkan kesan berganda kerana mereka mempunyai anak isteri yang perlu dijaga kebajikannya.

Situasi ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang ini menyukarkan mereka mendapat pekerjaan baharu.  Pastilah jangka masa memeritkan yang panjang itu menggugat emosi mereka yang terjejas. Gangguan-gangguan seumpama ini akan menyeret perlakuan negatif dalam kalangan masyarakat .

Peningkatan kes kecurian, rompakan, pembunuhan, dan sebagainya memang tidak boleh dielakkan. Kesemuanya akan menggugat ketenteraman awam.  Sebelum hal-hal tersebut merobek keselesaan hidup anggota-anggota masyarakat yang lain, satu mekanisme pemulihan perlu diwujudkan.  Ruang-ruang kosong yang boleh dimanfaatkan di mana-mana sahaja perlu diketemukan, tidak kiralah duduknya di perdesaan atau  pinggir bandar atau bandar.


Kerukunan hidup hanya dapat dicapai apabila semua kehendak asas insani terpenuhi.  Sehubungan itu, semua pihak perlu bekerjasama merealisasikannya.  Tidak perlulah sesiapa pun mengamalkan sikap seperti enau di dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing sahaja.  

No comments:

Post a Comment