EBOOK TERBARU IRFAN KHAIRI

Monday, January 9, 2017

PELABURAN EMAS

Secara am, terdapat dua cara membuat pelaburan emas di Malaysia iaitu pelaburan secara emas fizikal dan pelaburan emas dengan membuka akaun simpanan emas Pelaburan emas secara fizikal pula dibahagikan kepada tiga iaitu syiling emas, jongkong emas dan barang kemas. Syiling dan jongkong emas adalah pelaburan emas yang baik tetapi bukan barang kemas kerana terdapat kos upah untuk membuat barang kemas tersebut dan apabila ingin dijual kembali akan dikenakan susut nilai antara 25% sehingga 40%. Di Malaysia, disenaraikan institusi yang menjual emas fizikal untuk pelaburan antaranya:

Maybank: syiling Kijang Emas
UOB Bank: syiling emas dan jongkong emas
Public Gold Marketing Sdn. Bhd: syiling emas dan jongkong emas
Public Dinar: dinar emas
Dinar Emas Kelantan: dinar emas Kelantan
Kedai emas: Poh Kong, Habib Jewel, Tomei dan banyak lagi.


Bagi pelaburan emas menggunakan buku akaun simpanan emas pula, biasanya ditawarkan oleh institusi perbankan. Pelabur akan membeli emas mengikut harga emas semasa dan kuantiti emas yang dibeli akan direkodkan dalam buku akaun. Ada bank yang menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal dan ada juga yang tidak, antaranya ialah:

Kuwait Finance House Malaysia Gold Account-i: satu-satunya pelaburan emas yang patuh Syariah, menawarkan emas fizikal kepada pelabur, serta menawarkan pengeluaran emas fizikal dengan serta-merta setelah membuat pembelian ataupun menyimpan emas tersebut ke Kuwait Finance House.
Maybank gold Investment Account (GIA): Pelabur tidak mendapat emas fizikal sewaktu membeli emas MGIA sebaliknya jumlah pembelian emas akan dicatatkan dalam buku. Maybank juga tidak menawarkan kemudahan pengeluaran emas fizikal.
Akaun Deposit Emas CIMB Bank: Pelabur tidak mendapat emas fizikal sebaliknya nilai emas yang dibeli akan dicatatkan dalam buku akaun deposit emas anda. Walau bagaimanapun CIMB menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal kepada pelabur akaun deposit emas mereka.
Akaun Pelaburan Emas UOB Bank. Terdapat 2 jenis akaun pelaburan emas yang ditawarkan iaitu Akaun Simpanan Emas dan Akaun Emas Premier. Akaun Simpanan Emas ini adalah bagi mereka yang ingin membuat pelaburan kecil manakala Akaun Emas Premier dikhususkan kepada mereka yang mempunyai lebih banyak wang.
Al Rajhi Bank Gold-i: Emas yang ditawarkan ialah emas PAMP Suisse. Al Rajhi gold-i cuma ditawarkan kepada pelanggan yang banyak duit (mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dalam akaun Al Rajhi) sahaja.


Adakah anda sudah yakin untuk melabur dalam emas? Tunggu dulu, ada beberapa perkara yang perlu diketahui apabila berbicara tentang emas. Pertama ialah spread yakni perbezaan antara harga belian dan jualan (dalam %) atau dalam perkataan yang lebih mudah ialah susut nilai emas. Anda akan untung cepat jika membeli emas yang berharga lebih mahal tetapi mempunyai spread yang kecil berbanding daripada membeli emas pada harga yang murah tetapi mempunyai spread yang lebih besar. Kedua ialah ketulenan emas. Kebanyakan emas pelaburan di Malaysia mempunyai ketulenan 999.9. Ini kerana emas 999.9 ialah emas yang tulen mutunya. Bagi barang kemas pula, gred emas yang biasa digunakan ialah emas 916 kerana  keras dan tahan lasak.

Ketiga ialah kesediaan stok. Selalunya, produk pelaburan emas yang baik berhadapan dengan masalah stok terutamanya apabila masa harga emas jatuh. Contohnya, Kijang Emas 1 Oz dan syiling emas UOB bank 1 Oz. Ini kerana syiling-syiling emas ini digemari berikutan spreadnya yang rendah. Seterusnya, ada faktor-faktor lain yang perlu dititikberatkan. Contohnya, ada bank yang tidak membenarkan plastik salut emas dibuka atau emas tidak boleh calar atau sumbing. Ini boleh menimbulkan masalah kepada anda yang berazam untuk menjadi pelabur emas agresif. Bagi pembeli emas keluaran Public Gold, mereka lebih selamat kerana plastik cover jongkong emas tersebut boleh dibuka. Public Gold akan menerima balik emas mereka walau calar, bengkok, resit pembelian hilang atau sijil emas tersebut hilang. Ini kerana Public Gold mempunyai kilang emas sendiri dan mereka boleh melebur dan membuat semula emas tersebut.

Sekarang, anda pasti runsing, yang mana satukah pelaburan paling baik? Emas fizikal atau akaun simpanan emas? Pakar-pakar emas menyarankan orang ramai supaya membeli emas fizikal. Sebab pertama, emas fizikal boleh digadaikan sekiranya anda memerlukan wang kecemasan. Tetapi jika anda menyimpan dalam akaun simpanan emas, anda akan mengalami kerugian jika menjual pada harga yang rendah daripada harga belian (terutama apabila anda terdesak untuk mendapatkan tunai untuk tujuan kecemasan). Kedua, emas fizikal boleh dijual pada bila-bila masa sedangkan untuk akaun simpanan emas anda cuma boleh menjualnya di bank ketika waktu perbankan. Ketiga, jika anda ingin menggunakan teknik manipulasi Ar-Rahnu, anda memerlukan emas fizikal.

Walau apa sekalipun, yang paling penting adalah untuk terjebak dalam skim pelaburan emas! Sejak akhir-akhir ini, banyak syarikat yang menawarkan skim pelaburan emas, ada yang menawarkan pulangan setiap bulan sehingga 2% – 3% setiap bulan, harga emas mereka adalah jauh lebih tinggi daripada harga emas semasa dan moto penjualan mereka ialah duduk diam-diam pun boleh dapat duit. Sekiranya anda terjumpa dengan syarikat yang menawarkan pulangan lumayan, minta nombor pendaftaran syarikat tersebut terlebih dahulu. Sekiranya business plannya memerlukan anda mencari pelabur lain untuk dapat komisen, itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa itu ialah skim pelaburan emas sampah!


No comments:

Post a Comment