Artikel ini telah disiarkan dalam utaraonline. Namun demikian, saya menyiarkannya semula di ruangan ini untuk direnung kembali.
Lontaran idea tentang kerajaan perpaduan yang diutarakan oleh Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 baru-baru ini tidak mendapat sambutan perwakilan. Mereka tidak membahaskan hal tersebut, sebaliknya mahu PAS mengeratkan hubungan dengan PR dan memperkasakannya. Sebahagian besar daripadanya menyatakan keengganan untuk berdialog dengan UMNO. Nik Aziz menyifatkan kerajaan perpaduan sebagai mengarut. Dewan Muslimat PAS Pusat turut menolak kerjasama dengan UMNO.
Berbeza dengan PAS, Pemuda UMNO teruja dengan idea kerajaan perpaduan. Begitu juga dengan Hishammuddin. Namun, sokongan Mukhriz bercampur dengan herdikan. Kita selami isi hati ketiga-tiga pemimpin UMNO itu.
Khairy Pemuda UMNO turut mempelawa Dewan Pemuda PAS untuk saling bekerjasama dalam hal yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan Islam yang sememangnya menjadi agenda bersama kedua-dua parti.
Menjadi harapan semua untuk melihat kerjasama ini menjadi kenyataan apa lagi telah wujudnya titik persamaan antara UMNO dan PAS yang mahu melihat kejayaan orang Melayu dan Islam.
Hishammuddin Kerajaan perpaduan boleh bawa kebaikan kepada negara, rakyat jika semua pihak ikhlas.
Mukhriz
Pembentukan kerajaan perpaduan disokong. UMNO tidak akan menjadikan PAS sebagai kuda tunggangan. PAS kini sudah pun menjadi kuda tunggangan parti politik lain seperti PKR dan DAP.
Pelbagai pihak akan tertanya-tanya mengapa UMNO memberi reaksi positif terhadap kerajaan perpaduan sehingga PM sendiri menyatakan sikap terbukanya mengenai idea itu ketika majoriti ahli PAS menolaknya. Hari ini Utusan Malaysia menjadikan isu ini sebagai tajuk muka depannya. Kata orang-orang tua, "Kalau tidak seada-ada, masakan tempua bersarang rendah".
Kita perlu meneliti dan menganalisis kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh para pemimpin UMNO untuk menemukan makna yang tersirat di sebaliknya. Khairy beranggapan hal yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan Islam sememangnya menjadi agenda kedua-dua parti.
Khairy gagal membaca motto PAS. PAS For All tidak bermaksud berjuang untuk kepentingan orang Melayu dan Islam. Maksudnya ialah perjuangan menegakkan Islam tanpa mengira bangsa, bukan untuk orang Melayu semata-mata. Berasaskan pemahaman ini, agenda UMNO dan PAS tidak sama.
Seterusnya Khairy mengatakan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS perlu direalisasikan kerana wujudnya titik persamaan antara UMNO dan PAS yang mahu melihat kejayaan orang Melayu dan Islam. Hakikatnya, orang PAS tidak pernah melihat orang UMNO betul-betul mahu melihat kejayaan orang Melayu apatah lagi Islam.
Banyak bukti yang menyanggah pernyataan itu. DEB hanya mengkayakan pemimpin UMNO dan kroni mereka. Pegangan ekuiti Melayu dalam ekonomi hanya 18%, sedangkan Cina lebih 40%. UMNO mengambil Tanah Simpanan Melayu untuk pembangunan tetapi tidak menggantikannya. UMNO bukan sahaja tidak menjadikan Islam sebagai teras perjuangannya malahan juga menghasut kaum non-Muslim dalam BN membenci hukum hudud dan sebagainya.
Ketika Hishammuddin bercakap tentang ikhlas, Mukhriz menghentam PAS sebagai kuda tunggangan PKR dan DAP. UMNO tidak berhak bercakap tentang ikhlas kerana merekalah yang menendang PAS keluar dari BN suatu ketika dahulu hanya sanya kerana berasa telah beroleh kekuatan. Tuduhan menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP sudah lama kedengaran dan diketahui umum sebab musababnya.
Kerjasama erat antara PKR, DAP, dan PAS untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama menimbulkan iri hati UMNO. Mereka tidak dapat menerima hakikat bahawa DAP yang menentang keras pembentukan negara Islam mampu mendampingi PAS dan para pemimpin DAP sudah mula menghayati Islam.
UMNO bukan sahaja tidak mampu berbuat demikian terhadap MCA, MIC, GERAKAN, PPP, dan parti-parti non-Muslim yang lain dalam BN malahan juga bekerja keras menanam kebencian parti-parti itu terhadap PAS dan Undang-undang Islam.
Keirihatian dalam UMNO terhadap PR semakin melebar apabila melihat PR mendapat sokongan yang bertambah dari masa ke masa. Sokongan itu diterjemahkan dalam bentuk kekalahan UMNO/BN di semua PRK yang telah berlangsung di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, dan Penanti.
Pada masa yang sama, PAS disokong oleh lebih 80,000 orang non-Muslim dalam Kelab Penyokong PAS, sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh UMNO kerana idea Dato' Onn membuka keahlian UMNO kepada semua bangsa ditentang habis-habisan oleh ahli UMNO.
Sayugia diingatkan bahawa PAS tidak perlu terikut-ikut menari menurut rentak UMNO pada ketika ini. Biarkan UMNO dianiaya oleh nasionalisme sempit dan sekularisme yang mencandu hingga kesemuanya menjadi penagih tegar. PAS tidak mempunyai saham walau sebesar zarah pun dalam kemusnahan UMNO itu. Sehubungan itu, PAS tidak perlu terpengaruh dengan ajakan yang bermuslihat itu.
PAS perlu berusaha menjadi parti yang memperjuangkan Islam dalam PR. Di samping itu, bersedia mengumpul kekuatan untuk mengambil alih Putrajaya dari tangan BN yang rasuah, gila kuasa, dan menyalahgunakan kuasa. Abaikan sahaja ajakan UMNO yang tidak bermanfaat itu. PAS perlu berazam untuk menggantikan UMNO sebagai parti Melayu berteraskan Islam. Dengan izin Allah hajat itu akan tercapai. Sekiranya mereka menerima Islam sebagai asas perjuangan, baharulah tali persaudaraan yang dihulur wajib disambut.