Tuesday, January 31, 2017

ANDA ADA KOMEN? SILA KEMUKAKAN KOMEN ANDA ...

SALAM TAHUN 2017 DARI KOTA SEOUL, KOREA : KENAPA LAH MALAYSIA TAK MAJU-MAJU

Tahun 1957, Korea Selatan adalah negara kelima termiskin di dunia. Sepuluh kali lebih miskin dari Malaysia. Hari ini, Korea Selatan adalah Ekonomi KESEPULUH terbesar dunia.

Orang Korea bezanya bukan mata, kulit dan fesyen rambut tetapi jati diri dan karakter ekonomi mereka. Mereka gila teknologi, gila internet, gila mencipta, gila fesyen, gila kosmetik, gila ginseng dan gila plastik surgery.

Selepas 60 tahun. Lihat apa yg berlaku Malaysia dan Korea hari ini.

Ekonomi Per Kapita Korea Selatan – USD 33,000
Ekonomi Per Kapita Malaysia – USD 11,000

Maknanya ekonomi kita SEMBAB 200% berbanding Korea.

Hari ini ekonomi Korea taklah besar sangat. Cuma 3 kali ganda ekonomi kita jer.

Saya ingat tahun 1997. Korea pinjam berbillion dari IMF. Sedangkan Malaysia hebat. Kita tidak pinjam satu sen pun dari IMF.

Lihat apa berlaku hari ini.

1997 1 RM = 400 Won
2016 1 RM = 269 Won

Maknanya duit kita SEMBAB 33% sejak tahun 1997 berbanding duit Korea. Hebat.

Korea ada lima puluh brand dunia. Korea ada Samsung, LG, Kia, Hyundai, Park Ji Sung, K-Pop, Running Man dan Gangnam.

Tengok Hyundai & Kia. Terjual 1 juta unit di Amerika dan 5 juta di seluruh dunia. Maaf, saya tak nampak sebijik pun Proton di Korea.

Yang saya tahu Proton masih mencari tapak di negara sendiri. Malah lebih memalukan rakyat Malaysia kadang-kadang pun tak percaya Proton.

Korea tak ada minyak, tak ada getah, tak ada kelapa sawit, tak ada balak, tak ada emas, tak ada BRIM dan tak ada UMNO.

Tapi Korea ada komputer laju dan internet. Internet Korea terpantas di dunia (30 MB/s) dan internet Malaysia antara sepuluh perlahan di dunia (4 MB/s).

Korea ada banyak gempa bumi dan paling teruk terpaksa berperang dgn kuasa nuklear, Korea Utara yang sadis & brutal.

Korea tak buat bangunan hebat, tak buat istana berbillion, tak buat projek mega dan tak buat highway tol mahal-mahal. Tapi mereka buat jalan raya kos murah yg berkualiti, kilang elektrik yang tak pernah ‘black out’ dan empangan yang sentiasa ada air. Mereka bina universiti kelas atasan, cipta teknologi bertaraf dunia, dan mereka bagi belanjawan sukan hiburan yang tinggi utk rakyat mereka.

Itu pasal Malaysia gila betul artis Korea walhal Korea tak kisah pun artis Malaysia.

Bangsa maju ialah bangsa yang menakluki ilmu, bekerja keras, kuat melabur dan gila. Gila segala benda.

Ok dah cukup…. Bangun Malaysia Bangun. Selamat Tahun Baru 2017.


Sumber asal : Datuk Dr Nazri Khan, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank.

Monday, January 30, 2017

MULAKANLAH MENYIMPAN EMAS ...

Seperti yang telah saya ceritakan dalam post-post sebelum ini, harga emas hampir 10 tahun yang lalu jauh lebih rendah dari sekarang (lebih dari 50% perbezaan harga),tak mungkin boleh berpatah balik untuk mendapat semula harga tersebut. Apa yang perlu dilakukan ialah bermula dari sekarang pada yang belum bermula. Hatta, dari sekecil 1 gram pun tidak mengapa. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 10 tahun kemudian anda akan bersyukur kerana memulakan simpanan emas dari sekarang. Tekadkan azam, simpanan tersebut untuk anak-anak atau yang bujang, sebagai insurans wang anda di kala tua.


Jika anda mampu menghisap rokok sekotak sehari, make-up kereta tiap-tiap bulan, minum di starbuck setiap hari, selalu melancong tetapi tiada simpanan atau pelaburan untuk masa hadapan, sangatlah rugi. Lebih rugi kalau melabur pada skim cepat kaya yang tak tahu hujung pangkalnya. Jika mahu melabur kepada emas, pastikan dapat emas. Bukannya mendapat hibah setiap bulan seperti yang dijanjikan. Bunyinya Islamik memang sedap didengar, bila dah tersontot nak meraung pun dah tak berguna.





Sunday, January 29, 2017

EMAS 999.9 GOLD BAR 1 GRAM

ANDA PATUT TAHU FAKTA INI

MENGAPA HARGA EMAS & PERAK BERBEZA ANTARA JENAMA/PENGELUAR ?

Sebenarnya harga emas dan perak fizikal tidak mempunyai harga siling, tiada penetapan harga maksimum, tetapi mempunyai harga lantai atau harga minimum. Kebiasaannya, harga minimum ini boleh dirujuk kepada Spot Price ataupun Indeks harga yang sentiasa berubah-rubah. Laman web yang menjadi kebiasaan untuk rujukan harga spot ialah laman web “kitco.com”. Harga ini hanyalah angka/indeks yang didagangkan sebagai penanda aras kepada kenaikan dan penurunan harga emas di pasaran dunia sahaja.

Dalam penentuan harga emas dan perak fizikal beberapa faktor diambil kira oleh syarikat pengeluaran emas. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah beberapa kos tambahan yang terlibat seperti kos Minting, Kos Buruh, Kos untuk memastikan keselamatan dan lain-lain kos yang terlibat dalam proses pengeluaran emas/perak fizikal tersebut di samping % kadar keuntungan. Bagi syarikat pengeluar yang mempunyai kepakaran dan modal yang besar, mereka akan mengenakan kos tambahan yang amat rendah untuk meminimumkan kos bagi memastikan emas fizikal keluaran mereka dapat dijual pada harga yang kompetitif.


Manakala bagi pengeluar yang tidak mempunyai kepakaran tersebut dan terpaksa mengupah pihak ketiga yang berkepakaran akan menanggung kos tambahan yang lebih tinggi dan menjadikan harga emas fizikal keluaran mereka juga dijual pada harga yang lebih tinggi. Faktor-faktor inilah yang akan menentukan harga emas di pasaran.




Saturday, January 28, 2017

KENAPA LELAKI HARAM PAKAI EMAS 4

Bagaimana pula dengan wanita? Adakah pemakaian emas juga berbahaya kepada golongan ini?

Wanita tidak menderita masalah tersebut kerana mereka memiliki keistimewaan yang tidak ada pada lelaki iaitu hormon estrogen. Dari segi kesihatan, hormon ini membantu hal-hal mobiliti dalam peredaran darah. Apabila kepekatan estrogen tinggi terutamanya semasa haid, saluran darah akan mengembang dan membesar untuk keselesaan perjalanan serta pengeluaran darah.

Walaupun lelaki juga memiliki hormon estrogen, tetapi  jumlahnya sangat sedikit  dan tidak diketahui fungsinya. Malah, estrogen lelaki cuma berkeadaan statik dan saluran darah mereka tidak mengalami pengembangan seperti wanita.

Jadi, jika sekiranya ada partikel emas memasuki badan lelaki, partikel berbahaya itu akan menyumbat saluran darah dan sebab itulah kenapa lelaki cenderung mengalami masalah kesihatan seperti kardiovaskular.


Dan inilah sebabnya kenapa Islam melarang lelaki daripada memakai emas.






Friday, January 27, 2017

KENAPA LELAKI HARAM PAKAI EMAS 3

Apa pula yang akan berlaku selepas penyerapan logam ke dalam kulit?

Apabila partikel emas sudah masuk ke dalam epidermis dan sistem peredaran darah, partikel itu boleh menyebabkan clumping protein atau protein terkumpul.

Keadaan itu menjadikannya tidak berfungsi lalu memberikan impak kepada sistem kardiovaskular lelaki.

Malah, penemuan baru oleh pasukan penyelidik di University of California, San Francisco (UCSF), begitu mengejutkan apabila mendapati pengumpulan protein ini boleh mempercepatkan proses penuaan.

Pengarah Larry L. Hillblom Center, Biology of Aging di USCF, Profesor Cynthia Kenyon, berkata kecenderungan protein melekat bersama-sama akan mengakibatkan saluran darah tersumbat dan tidak berfungsi, seterusnya menjadi toksik.

Apa yang mengejutkan, rupanya kehadiran protein tidak larut ini banyak dikesan di dalam otak pesakit-pesakit yang menghidap penyakit neurodegenerative, termasuklah Alzheimer, Parkinson dan Amyotrophic sklerosis lateral (ALS).


Bersambung …




Thursday, January 26, 2017

KENAPA LELAKI HARAM PAKAI EMAS 2

Ahli sains menyimpulkan bahawa partikel emas mampu menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah manusia yang mampu memberi kesan buruk kepada ketahanan badan seterusnya menjejaskan kesihatan kepada pemakai.

Dari sudut sains menjelaskan bahawa kondisi dan tekstur kulit lelaki sangat berbeza dengan seorang wanita.

Perhiasan emas yang kita pakai juga bukanlah seratus peratus emas tulen. Emas tulen adalah 24 karat tetapi kebanyakan barang kemas adalah dalam bentuk 18 dan 22 karat. Ini bermakna, jika emas itu 18 karat atau 22 karat, 75 peratus kandungannya ialah emas tulen, manakala 25 peratus lagi terdiri daripada logam lain yang mungkin boleh jadi dibentuk daripada perak, tembaga, zink atau paladium.

Tujuan utama menambahkan logam lain adalah untuk menguatkan produk tersebut dan emas campuran yang tahan lasak ini dipanggil aloi emas.

Kesan penggunaan emas terhadap kulit sebenarnya sudah dikaji oleh seorang pakar perunding dari International Gold Corporation di Johannesburg, Afrika Selatan bernama William S. Rapson.
Penyelidikannya mendapati bahawa kulit manusia boleh menghasilkan asid amino dan natrium klorida.

Apabila kita berpeluh, kedua-dua bahan kimia tersebut akan bertindak balas dengan aloi emas yang dipakai. Kesan reaksi kimia dan geseran kulit, aloi emas dikesan boleh menyerap masuk ke dalam kulit manusia.

Partikel-partikel aloi emas yang kurang daripada 40 nanometer memang terbukti boleh memasuki liang-liang roma kulit. Kajian dermatologi turut menunjukkan penyerapan partikel emas boleh dipercepatkan oleh keadaan pH (ukuran keasidan) kulit yang tinggi alkalinya. Dan terbukti, pH kulit lelaki adalah beralkali lebih tinggi daripada perempuan.

Tambahan pula, lelaki lebih cenderung memiliki kulit dan bulu roma yang tebal serta kasar berbanding wanita. Sebab itulah kenapa sains mendapati lelaki mampu menyerap partikel emas lebih tinggi berbanding wanita.


Bersambung …




Wednesday, January 25, 2017

KENAPA LELAKI HARAM PAKAI EMAS ?

Dalam Islam, kaum lelaki diharamkan memakai apa sahaja barangan yang berunsurkan emas termasuk gigi emas.

Larangan ini jelas dalam sebuah hadis sahih dari Abu Musa r.a. bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi lelaki dari umatku dan dihalalkan bagi wanitanya”. (Hadis riwayat At-Tirmidzi. An-Nasai dan Ahmad).

Daripada hadis ini, emas dalam bentuk apa pun, sama ada emas putih, emas suasa atau apa sahaja logam pelbagai warna yang mengandungi unsur emas hukumnya adalah haram.

Sementara itu, benda yang dicat dengan warna emas tidak boleh dikatakan sebagai emas. Ulama sependapat bahawa hukumnya tidak haram kerana benda itu bukan emas – hanya rupa dan warna saja kelihatan sama. Yang haram ialah emas dan bukan kemiripannya.

Hikmah di sebalik larangan itu, umat Islam sebenarnya diajar supaya senantiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Di samping itu, mengajar kita supaya hidup secara sederhana dan tidak bermegah-megah dalam berhias.

Perhiasan emas hanya diberikan kelonggaran kepada wanita untuk memakainya sebagai alat mencantikkan diri dan menarik perhatian suami. Manakala lelaki pula tidak ada keperluan untuk menambah hiasan pada diri mereka kerana perhiasan sebegitu tidak sesuai dengan sifat dan kejantanan seorang lelaki.

Kebelakangan ini, perintah Allah yang diturunkan melalui Rasul sejak 1,400 tahun dahulu mula tersingkap hikmah dan kebenarannya terutama dari sudut perubatan.


Bersambung …





Tuesday, January 24, 2017

APA SOLUSINYA ?

Penutup

Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia memberikan kesan yang ketara kepada  mahasiswa yang menuntut di luar negara. Jumlah wang saku yang dilihat mengecil, bebanan untuk membayar yuran pengajian semakin memberat, simpanan menggunakan ringgit menyusut kuasa belinya dan pelbagai lagi yang dirasai oleh kita di sini.

Pesanan saya, jika kita mempunyai masalah kewangan disebabkan oleh sumber pendapatan yang tidak menentu, laksanakanlah tiga perkara:

Berniaga

Di Mesir, pasarannya sangat luas untuk diterokai peluang meraih pendapatan. Jumlah pelajar yang mencecah ribuan orang memberi makna bahawa terdapat berbagai keperluan dan kehendak yang wujud. Sama ada terhadap barangan mahupun perkhidmatan.

Saya sering memberitahu rakan saya bahawa “kemalasan orang adalah peluang untuk kita.” Maka manfaatkanlah kemahiran dan pengetahuan yang kalian miliki. Tetapi pastikan bahawa pekerjaan tersebut selari dengan syariat dan tidak sehingga menganggu pelajaran.

Melabur

Jika tidak mampu berniaga kerana kesuntukan masa, maka melaburlah dengan wang yang anda ada. Anda boleh membantu rakan yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai modal melalui konsep Mudharabah, atau anda boleh bekerja bersama-sama dengan berkongsi modal melalui konsep Musyarakah.

Ingat, jangan terperangkap di dalam janji manis skim cepat kaya.

Berjimat dan memulakan simpanan

Setelah memperolehi wang, berjimatlah. Pastikan anda tahu ke mana setiap sen yang anda belanjakan. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Sentiasa amati perkembangan nilai mata wang, tukarkan simpanan anda ke mata wang yang lebih kukuh atau aset yang dijangka dapat mengekalkan nilainya setelah peredaran masa.

Mulakan dengan simpanan emas

Emas menjamin dan melindungi nilai mata wang anda. Sejujurnya emas sendiri ialah wang sebenar  bukan wang fiat (wang kertas) yang kita gunakan sekarang. Boleh ambil contoh negara Zimbabwe sekarang yang telah berlaku ‘hyper inflasi’. Bayangkan wang kertas yang bertimbun namun tiada nilai. Untuk membeli sebuku roti pun, mereka mahukan pertukaran emas iaitu 0.1gram. Jom tukarkan sekurang-kurangnya 10% dari pendapatan bulanan anda kepada emas.

Credit : tok ilman





Monday, January 23, 2017

OFFER MELELEH HABIS

EKONOMI ISLAM ?

Alternatif: Ekonomi Islam?

Akhir tinta, saya percaya ramai yang ingin mengetahui apakah jawapan di sebalik kekalutan dan kekusutan yang ditimbulkan oleh sistem ekonomi konvensional ini. Jika ditanya pada saya, saya sentiasa optimis bahawa jawapannya adalah dengan kembali kepada Islam.

Jika kita renungi semula sejarah peradaban manusia, kita akan mendapati kerosakan sistem ekonomi pada hari ini adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia yang melepaskan diri daripada kerangka wahyu. Sebagai contoh, kita lihat pada sistem kewangan itu sendiri. Bermula daripada peperangan sesama sendiri yang memaksa negara-negara mencetak lebih banyak wang sehingga terpaksa meleraikan ikatan nilai mata wangnya dengan emas. Seterusnya, pengamalan sistem penghasilan wang (Fractional Reserve System) yang berasaskan kepada riba dan sifat mata wang tanpa sokongan sebarang komoditi, telah membawa kita ke dunia yang tidak henti dengan sindrom inflasi. Semua ini terjadi kerana kita membelakangi panduan yang digariskan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Walau bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa kita sudah berada  dalam krisis ini. Sebaiknya bagi kita yang mendokong penerapan nafas Islam dalam segenap kehidupan termasuklah dalam urusan kenegaraan dan urus tadbir ekonomi hendaklah memikirkan jalan keluar dan alternatif kepada permasalahan yang dihadapi sekarang.

Adakah kita perlu memperjuangkan Sistem Full-reserve seperti yang diperjuangkan oleh ahli ekonomi daripada sekolah aliran Austria? Adakah kita perlu mengikat kembali wang kertas dengan komoditi yang bernilai? Bagaimana pula caranya untuk mengembangkan kredit dan apakah regulasi yang kita akan guna pakai?


Ingin saya tinggalkan kepada kalian banyak lagi persoalan, tetapi cukuplah sekadar yang di atas dahulu sebagai permulaan.





Sunday, January 22, 2017

APA GOMEN BUAT ?

Diturunkan pendapat pengarang tentang isu penurunan nilai Ringgit yang dikemukakan untuk renungan dan semakan anda.
Apakah Langkah Yang Diambil Oleh Kerajaan?
Perdana Menteri mengumumkan kondisi semasa ekonomi Malaysia dan tindakan susulan kerajaan dalam menghadapi kemelut ekonomi ini. Sikap positif dan optimis yang ditunjukkan dalam menanggapi isu ini adalah sesuatu yang saya anggapkan adalah untuk mengelak timbulnya kebimbangan yang melampau dalam kalangan rakyat dan juga untuk mengelakkan daripada berlakunya krisis keyakinan terhadap kendalian kerajaan. Sikap ini penting supaya rakyat akan sederap langkah dengan yakin bersama kerajaan dalam mengembleng kudrat memulihkan ekonomi negara kita.
Untuk memudahkan pemahaman pembaca, suka untuk saya rumuskan pelan tindakan kerajaan kepada beberapa isi:
Mengembangkan pasaran eksport dan perlancongan
Nilai mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara kita untuk bersaing dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah berbanding negara yang stabil nilai mata wangnya. Kerajaan telah menyusun beberapa tindakan untuk memastikan perolehan daripada eksport meningkat seterusnya memastikan Imbangan Akaun Semasa kita sentiasa positif.

Antaranya seperti membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) untuk menerokai pasaran luar dengan mempromosikannya kepada 46 buah negara. Begitu juga meningkatkan kualiti dan capaian tahan logistik dan pengangkutan bagi tujuan perdagangan.
Kerajaan juga, bagi merancakkan kemasukan modal daripada luar telah menyusun beberapa pelan untuk mempromosi sektor perlancongan negara kita. Antaranya seperti menghapuskan caj permohonan visa kepada pelancong luar.
Mengurangkan kebergantungan terhadap barangan import
Barangan import akan menjadi lebih mahal tatkala kejatuhan nilai mata wang negara seperti sekarang. Kebergantungan yang tinggi kepada barangan import akan membawa kepada inflasi dan membawa kepada risiko defisit –bekembar.
Justeru, kerajaan telah menyusun beberapa tindakan seperti mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Begitu juga menggalakkan pembelian barangan tempatan dalam kalangan rakyat dan meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh jualan mega di seluruh Malaysia.
Meneruskan pengstrukturan semula pendapatan dan mengkaji perbelanjaan negara
Bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara, kerajaan komited untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi negara melalui mempelbagaikan sumber kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dengan meneruskan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada 1 April 2015 ini.
Kerajaan juga akan menghentikan sementara Program Latihan Khidmat Negara yang akan membawa kepada penjimatan sebanyak RM 400 juta. Seterusnya, mensasarkan penjimatan sebanyak RM 1.6 billion melalui mengoptimumkan pengurangan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan professional.
Kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan sebanyak 3.2 bilion ringgit. Kerajaan juga akan menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta ringgit
Kerajaan tidak mengambil tindakan menghentikan projek mega dan memotong kebanyakan perbelanjaan (austerity) dan menggalakkan rakyat berbelanja melalui penganjuran jualan mega dilihat adalah untuk memastikan kitaran ekonomi terus berjalan dan mengelakkan kelembapan ekonomi disebabkan oleh perlahannya kitaran duit dalam negara.
Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak mengambil keputusan untuk meningkatkan kadar bunganya seperti mana negara yang lain agar tidak membebankan rakyat. Persoalan yang paling utama perlu diamati dan dijawab dalam menanggapi isu kejatuhan mata wang ini adalah, “Adakah perlu untuk naikkan semula nilai mata wang atau fokus kepada kestabilan ekonomi?”.




Saturday, January 21, 2017

PENAWARAN DAN PERMINTAAN

Apakah yang menyebabkan berlakunya peningkatan dan penurunan permintaan?

Faktor peningkatan:

Perkembangan sektor eksport

Untuk mengimport barangan daripada sesebuah negara, perlu menggunakan mata wang negara tersebut. Negara yang produknya kompetitif  dalam persaingan eksport, nilai mata wangnya kukuh kerana permintaan terhadap mata wangnya tinggi.

Kadar bunga (interest) tinggi

Kadar bunga yang tinggi yang ditetapkan oleh bank negara menjadi tarikan kepada pelabur asing untuk menyimpan dalam negara tersebut. Secara tidak langsung akan mengembangkan permintaan terhadap mata wangnya.

Peningkatan permintaan  dalam pasaran tukaran mata wang asing

Apabila sesuatu mata wang dijangka nilainya akan meningkat, biasanya akan membawa kepada pembelian mata wang negara tersebut oleh pemain pasaran dan seterusnya melonjakkan nilainya.

Kemasukan pelabur asing

Negara yang dilihat menjadi destinasi yang menarik untuk perlaburan akan membawa kemasukan pelabur luar ke dalam negara (capital inflow). Mereka perlu membeli mata wang negara tersebut untuk terlibat  dalam perlaburan di negara tersebut.

Campur tangan bank negara

Terdapat negara yang sengaja merendahkan mata wangnya seperti yang dilakukan oleh China. Bank pusatnya akan membeli bon terbitan AS supaya mata wangnya akan menjadi lebih rendah daripada dollar. Tindakan ini dibuat supaya barangan lokalnya mampu kekal lebih murah dan mampu mengekalkan momentum persaingan  dalam pasaran eksport.

Kadar pengangguran rendah dan peningkatan pendapatan rakyat

Kadar pengangguran yang rendah dan tahap pendapatan rakyat yang tinggi meningkatkan permintaan wang  dalam pasaran domestik seterusnya meningkatkan nilai mata wang negara tersebut.

Faktor penurunan:

Kadar bunga yang rendah

Kadar bunga yang rendah akan mengurangkan tarikan yang ada untuk pelabur luar menyimpan  dalam sesuatu negara.

Peningkatan inflasi

Inflasi yang tinggi akan mengurangkan kuasa beli yang dimiliki oleh pengguna  dalam sesebuah negara, seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kesannya, ekonomi negara tersebut dinilai sebagai lemah dan tidak stabil oleh pelabur asing.

Aktiviti spekulator

Tindakan spekulator  dalam pasaran tukaran mata wang asing menjual mata wang sesebuah negara dalam jumlah yang besar berupaya menyebabkan kekacauan dan ketakutan dalam kalangan pasaran saham.

Campur tangan kerajaan

Seperti mana yang pernah dilakukan oleh AS  melalui tindakan Quantitative Easing. AS membeli bon terbitan negaranya sendiri dan secara tidak langsung mengwujudkan impresi permintaan yang tinggi terhadap dollar.

Faktor Kejatuhan Nilai Ringgit

Setelah kita memahami punca naik dan turunnya mata wang sesebuah negara, kita akan lebih mudah untuk mengenal pasti punca penguncupan nilai mata wang negara kita.

Penurunan ketara harga minyak dunia

Mutakhir ini, harga minyak menah dunia telah mencatatkan sejarah apabila mencecah serendah 48 USD/setong pada 19 Januari yang lalu. Penurunan harga hampir 50% daripada harga tahun lalu yang setinggi USD100-115/setong telah menjejaskan pendapatan Malaysia yang merupakan negara pengeksport minyak mentah.

Penghasilan minyak dunia yang meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi AS yang berupaya menghasilkan shale oil dan kelembapan ekonomi yang dialami oleh negara penyumbang utama ekonomi dunia seperti China dan Jepun telah mengurangkan permintaan terhadap minyak seterusnya menjadi faktor kejatuhan harga minyak dunia.

Keputusan Organisasi Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang diwakili oleh Saudi  dalam kenyataan media sebelum ini bahawa mereka tidak akan mengurangkan penghasilan minyak  untuk mengembalikan semula harga asal minyak telah memberikan ramalan bahawa harga minyak mentah akan kekal pada kadar yang rendah.

30% daripada pendapatan Malaysia datang daripada sektor minyak. Dalam Bajet 2015, diunjurkan bahawa sektor ini bakal menyumbang sejumlah RM 82 billion atau 11.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Akan tetapi apabila berlaku kejatuhan harga minyak dunia secara drastik sebegini, Malaysia dijangka akan mengalami kehilangan pendapatan sebanyak RM 25 billion. Kelompongan pada pendapatan negara ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh lebihan yang dinikmati melalui penghapusan subsidi petrol sebanyak RM 18 billion.

Kebimbangan timbul terhadap status Imbangan Akaun Semasa negara (trade account/current account). Akaun semasa ialah jumlah baki perdagangan (jumlah eksport – jumlah import barangan dan perkhidmatan). Penguncupan lebihan pada akaun semasa (import lebih daripada eksport) akan menunjukkan marginal surplus yang makin mengecil. Dibimbangi sekiranya pendapatan melalui aktiviti eksport minyak mentah kita terjejas akan membawa kepada defisit pada akaun semasa seterusnya menjerumuskan Malaysia ke dalam masalah yang dipanggil defisit berkembar (twin-deficit).Ketidakstabilan ini mengurangkan keyakinan dan tarikan terhadap pelabur luar.

Polisi dan urustadbir kewangan kerajaan

Sebelum daripada berlakunya kejatuhan harga minyak mentah dunia, ramai penganalisa ekonomi sudah menjangkakan akan berlaku penurunan nilai mata wang Ringgit Malaysia kerana polisi kewangan yang dilihat tidak fleksibel dan kurang mesra pelabur berbanding negara membangun yang menjadi pesaing kepada Malaysia seperti Indonesia dan India.

Malaysia kini dilihat sebagai prospek yang berisiko kepada pelabur; takat hutang awam yang tinggi, peningkatan hutang asing dan penguncupan marginal lebihan akaun semasa telah menjadi antara faktornya.

Pegangan hutang oleh pelabur asing mewakili 45% daripada hutang negara telah meletakkan Malaysia dalam posisi yang membimbangkan. Ini berbeza dengan Indonesia yang hanya mempunyai 32.5% sahaja hutangnya daripada luar. Begitu juga India dengan hanya serendah 2 %.

Kekukuhan dollar Amerika Syarikat (USD)


Sejak tahun lepas, AS telah meningkatkan kadar faedahnya. Menyebabkan berlakunya kemasukan modal (capital inflow) ke dalam negaranya seterusnya mengukuhkan kedudukan USD itu sendiri.

Thursday, January 19, 2017

ANDA TAHU ?

Kenapa Nilai Mata Wang Sesebuah Negara Jatuh/Meningkat?

Untuk memahami punca jatuh naik (appreciate/depreciate) sesuatu nilai mata wang, sewajarnya kita memahami terlebih dahulu konsep permintaan-pembekalan (demand-supply).


Mata wang diniagakan dalam pasaran tukaran mata wang asing (Foreign Exchange Market) dan turun naik nilainya bergantung kepada tahap permintaan dan jumlahnya yang berada  dalam pasaran. Secara asasnya, semakin tinggi permintaan terhadap sesuatu mata wang, maka nilainya akan meningkat. Manakala, jika pemintaan terhadap sesuatu mata wang menurun atau ramai menjualnya sehingga berlaku lebihan  dalam pasaran, maka nilainya akan jatuh.

Wednesday, January 18, 2017

SEJARAH PENGGUNAAN WANG KERTAS

Sebelum kita memasuki perbincangan ini dengan lebih mendalam, sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang kertas terlebih dahulu.

Kita biasa menggambarkan bahawa wang yang digunakan oleh masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak sebagaimana yang sering disajikan dalam filem dan penulisan klasik. Begitu juga jika kita mengamati sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan himpunan hadith, kita tidak akan terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan dinar (emas) dan dirham (perak) dalam urus niaga ketika zaman tersebut. Persoalannya di sini, bilakah bermulanya penggunaan wang kertas?

Emas dan perak telah digunakan secara meluas dan diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh dunia berikutan nilai yang tersimpan dalam logam berharga itu sendiri. Ibn Khaldun  dalam Muqaddimah turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan perak sebagai medium perantaraan jual beli dan penyimpan nilai usaha dan kekayaan manusia:

“Allah telah menciptakan dua jenis logam, iaitu emas dan perak sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal. Penduduk dunia menganggapnya sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila berada dalam keadaan-keadaan tertentu, barang-barang lain dikehendaki,  tidak lain daripada mencapai tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh emas dan perak. Semua barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran, sementara emas dan perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar keuntungan, harta dan kekayaan.”

Walau bagaimanapun, emas dan perak mempunyai kelemahan yang ketara iaitu kesukaran untuk membawanya dalam kuantiti yang banyak dan wujud kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa  dalam perjalanan yang jauh. Perkembangan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang menuntut kepada penggunaan wang dalam nilai yang besar telah membawa kepada inovasi penciptaan wang kertas. Pada permulaan penggunaannya, ‘wang kertas’ tersebut tidak dikira sebagai mata wang. Fungsinya hanya sebagai dokumen bukti atau resit bagi mewakili nilai emas atau perak yang dimiliki oleh pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan oleh individu atau institusi yang diamanahkan untuk menjaga emas dan perak tersebut.

Penggunaan wang kertas mula dikesan pengamalannya di China pada seawal abad ke-7 Masihi. Manakala, negara Barat pula mula menggunakannya sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang kertas di dunia Islam pula hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khalifah Turki Uthmaniyyah.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dunia umumnya menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan  wang kertas pada mula pengenalannya tidaklah sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang kertas hanya mewakili simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank dengan menukarkannya. Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas (gold-standard).

Akan tetapi, peredaran masa telah membawa kepada dominasi penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau perak itu sendiri. Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang kertas dengan emas atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan duit kertas telah melebihi simpanan emas seperti yang pernah terjadi pada tahun 1759 di England.

England merupakan antara negara pertama yang meleraikan ikatan mata wangnya daripada emas pada tahun 1931 lanjutan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia barat (Great Depression). Pada tahun 1944, konferens Bretton Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan untuk mengstrukturkan semula polisi kewangan dunia pasca perang dunia kedua. Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya secara tidak langsung telah memainkan peranan sebagai mata wang dunia. Semua mata wang telah diikat dengan dollar, manakala dollar pula diikat kepada emas dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan 35 oz emas.

Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971. Sejak daripada itu, mata wang di seluruh dunia tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden Nixon pada tahun 1971 itu telah membuka lembaran sejarah yang baharu  dalam sejarah pengamalan kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wang fiat. Dinamakan fiat kerana  merujuk kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada apa-apa komoditi melainkan hanya anggapan semata-mata.


Sejak nilai mata wang telah diapungkan nilainya bergantung kepada kondisi pasaran. Oleh sebab itu,  mudah terdedah kepada risiko spekulasi dan ketidakstabil. Pelaksanaan sistem Fractional Reserve yang menjadi asas kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa implikasi yang lebih teruk apabila menjadi faktor utama kepada inflasi.

Tuesday, January 17, 2017

PENURUNAN NILAI RINGGIT

Penurunan Nilai Mata Wang Ringgit: Apa Yang Kita Perlu Tahu?

Fenomena kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) secara berterusan semenjak nilai tinggi terakhirnya pada bulan Ogos 2014 (3.1463) telah menimbulkan keresahan kepada ramai pihak. Ringgit telah mengalami kejatuhan drastik dalam tempoh dua hari dengan kejatuhan sebanyak 2.4% pada tarikh 1 Disember 2014 (3.3465 menjadi 3.4300). Penurunan nilai Ringit ini merupakan yang terteruk berbanding semasa krisis ekonomi Asia 1997 sebelum ini.

Pada masa artikel ini ditulis 30 June 2015 nilai ringgit kita jatuh lagi 1 USD bersamaan RM3.78.

Pelbagai persoalan timbul sebagai reaksi kepada situasi ini. Apakah yang menjadi punca penyusutan nilai matawang negara kita berbanding USD? Adakah situasi itu memberikan impak negatif kepada kehidupan kita? Adakah krisis ini berpanjangan?


Penulisan ini akan membantu pembaca untuk memahami faktor yang menjadi pemain utama di sebalik kenaikan/penurunan mata wang dunia, kesannya kepada kesihatan ekonomi negara dan bagaimanakah jalan terbaik untuk kita menghadapinya.

Monday, January 16, 2017

SISTEM PAJAK GADAI ISLAM 6

Beberapa kelebihan Ar-Rahnu berbanding sistem pajak gadai konvensional ialah:

Perbezaan utama antara Ar-Rahnu dan sistem pajak gadai konvensional adalah pada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Dalam perjanjian Ar-Rahnu, pinjaman yang diberi tidak dikenakan faedah iaitu riba di mana riba diharamkan oleh Islam.

Nilai gadaian bagi barang yang ingin ditebus semula tidak berubah serta tidak berlaku penyelewengan. Tidak akan timbul keadaan di mana barang kemas yang anda tebus kurang berat daripada sebelum digadai!

Semua barang kemas yang disimpan semestinya selamat. Penerima gadaian akan menjamin pemeliharaan ke atas barangan kemas yang diberi oleh pemberi gadaian. Anda juga dapat jimat kos menyimpan di peti simpanan deposit yang agak mahal?

Wang gadaian yang lebih akan dipulangkan. Kalau pemberi gadaian tak mampu nak bayar balik hutang yang ditanggung bila tempoh perjanjian tamat, pemberi gadaian akan dimaklumkan tentang barang gadaian yang terpaksa dijual. Kalau harga jualan melebihi baki hutang, lebihan tersebut akan dipulangkan.

Caj perkhidmatan di Ar-Rahnu jauh lebih murah daripada kedai pajak gadai konvensional. Silap-silap hari bulan, ada je tauke kedai pajak gadai konvensional yang meminta wang pendahuluan daripada penggadai walaupun akta melarang kegiatan tersebut.

Ar-Rahnu adalah sebuah Pajak Gadai Islam yang boleh bertolak ansur dengan pelanggannya berkaitan tempoh bayar balik wang pinjaman. Tempoh bayar balik pun munasabah. Tak macam sesetengah kedai pajak gadai konvensional yang meminta wang tambahan sekiranya tempoh pinjaman ingin dilanjutkan.
Di Ar-Rahnu, sebarang nilai timbangan akan ditunjukkan kepada pemberi gadaian. Maka pemberi gadaian tidak perlu risau dengan penipuan-penipuan yang sering berlaku semasa timbangan dibuat.

Ar-Rahnu dijamin memberi nilai gadaian yang sepatutnya.

Terdapat unsur penipuan dalam sistem pajak gadai konvensional kerana Akta Pemegang Pajak Gadai tidak menetapkan nilai tara untuk menilai gadaian berkenaan. Dalam Ar-Rahnu, penerima gadaian akan memberi nilai gadaian yang sepatutnya dengan barang gadaian yang digadai oleh penggadai.

Pihak penerima gadaian akan memberi notis kepada pihak penggadai sekiranya barang gadaian mereka hendak dilelongkan dan tempoh masa membayar balik untuk mereka telah habis. Dengan ini pihak pemberi gadaian akan mengetahui bahawa tempoh masa membayar balik yang diperuntukkan untuk mereka telah habis dan barang gadaian mereka akan dilelongkan.


Semoga dengan adanya Skim Pajak Gadai Islam Ar-Rahnu ini, ia dapat memberi pilihan kepada masyarakat Islam yang memerlukan pinjaman segera agar tidak lagi terbelenggu dengan sistem pajak gadai konvensional yang lebih bersifat menindas.

Sunday, January 15, 2017

SISTEM PAJAK GADAI ISLAM 5

Baiklah, setelah ilmu penuh di dada, di sini diterangkan cara manipulasi yang diamalkan golongan pelabur emas muda yang disebut di awal artikel. Caranya mudah sahaja, sangat common sense. 

Begini, ketika harga emas rendah (harga komoditi emas harian boleh dilihat di www.kitco.com), mereka memajakkan emas di Ar-Rahnu. Dengan hasil pajakan yang sampai 65-70%, mereka beli lagi emas, contohnya Syiling Emas UOB, Kijang Emas atau jongkong emas Public Gold. Kemudian, mereka memajakkan pula emas-emas yang baru dibeli itu. Hasil pajakan kali kedua digunakan untuk beli lagi emas fizikal. Proses diulang-ulang sehingga 2-3 kali. Di hujung proses, emas fizikal dipastikan ada di tangan. Apabila harga emas naik, mereka menjual emas fizikal di tangan dan hasil jualan digunakan untuk tebus emas di dalam Ar-Rahnu dan proses diulangi sehingga semua emas habis ditebus. Di akhir proses, mereka akan dapat semua emas yang pertama. Inilah cara mereka membuat keuntungan kerana jualan emas pada harga tinggi boleh menampung kos upah simpan di Ar-Rahnu bagi emas-emas yang digadaikan. Hebat?

Jika anda masih tidak yakin, teruskan membaca…


Saturday, January 14, 2017

SISTEM PAJAK GADAI ISLAM 4

Menjawab persoalan yang disebut di awal artikel, ya sistem ‘buat duit’ ini adalah halal kerana memenuhi ciri-ciri berikut:

Bebas dari unsur-unsur riba, selari dengan kehendak dan hukum Islam.
Ianya berkonsepkan fardu kifayah; iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.
Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi
pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh Syarak.
Paduan yang syumul antara sifat-sifat komersil dan amal jariah; adil dan tidak membebankan peminjam.
Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha; menyimpan
barang gadaian tersebut dengan baik.
Transaksi perniagaan yang lebih telus; bersandarkan kepada harga
semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas).


Dari segi rukun, Ar-Rahnu terbahagi kepada:

Penggadai: orang yang menggadai/orang yang berhutang.
Penerima Gadaian: pemegang gadaian/pemberi pinjaman.
Barang Gadaian : barang yang berharga yang terletak di bawah
simpanan penerima gadaian.
Tanggungan Gadaian: jumlah yang terhutang.
Sighah/Perjanjian: perjanjian berkaitan pinjaman yang diberikan atau hutang dan gadaian.


Selain daripada itu, ada beberapa terma yang perlu anda ketahui, antaranya ialah:

Margin Pinjaman adalah 50 peratus nilai semasa di pasaran ke atas cagaran. Biasanya margin ini boleh mencecah sampai 70% (Agro Bank).
Kadar Upah Simpan ialah sebanyak RM0.60 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang kurang daripada RM1000). RM0.70 sebulan setiap RM100 nilai marhun (nilai marhun yang lebih daripada RM1000). Ini sebenarnya adalah cara Ar-Rahnu membuat keuntungan memandangkan sistem pajak gadai Islam tidak mengenakan faedah ke atas pinjaman yang diberikan seperti mana kedai pajak gadai dan bank konvensional.
Tempoh Pinjaman pula ialah enam bulan untuk maksimum. Jika penggadai gagal menebus dalam tempoh tersebut, pihak Pajak Gadai Islam boleh memberi tempoh kelonggaran penebusan untuk 2 bulan lagi tanpa permohonan daripada peminjam. Di peringkat ini, peminjam tidak semestinya membayar upah simpan.
Jika penggadai masih tidak menebus dalam tempoh kelonggaran, tempoh gadaian boleh dilanjutkan untuk tempoh maksimum 2 bulan lagi dengan syarat penggadai membuat permohonan melanjutkan tempoh dan menjelaskan upah simpan pada tempoh gadaian yang asal dan tempoh kelonggaran selama 8 bulan.
Cagaran ialah emas tulen (bergantung kepada keadaan fizikal dan jenisnya).
Hasil Lelongan yakni barang gadaian yang tidak ditebus selepas tamat tempoh pinjaman akan dilelong mengikut harga pasaran semasa. Hasil lelongan akan ditolak pinjaman yang tidak berbayar, upah simpan dan kos-kos lain yang terbabit. Bakinya akan dipulangkan kepada penggadai. Pastikan anda jangan sampai ke tahap ini!