Monday, May 31, 2010

Pelacur Tua, Shahrizat, dan Dr. Mashitah

Baru-baru ini tersiar berita seorang pelacur tua, berusia 50-an, patah tangan kiri kerana terjun dari tingkat satu sebuah pusat pelacuran di Lorong Haji Taib, dekat Chow Kit. Dia mahu mengelak daripada dicekup oleh pihak berkuasa agama.

Peristiwa ini tentunya menyentuh hati kita. Dalam usia senja sebegitu dia terus menjual tubuh untuk sesuap nasi. Bayangkan nasib yang terpaksa ditempuhnya apabila segala-galanya tidak boleh digunakan lagi untuk memberi apa-apa jua perkhidmatan.

Masih ramai wanita senasib pelacur tua itu di seluruh negara kita. Adakah dengan menerima hakikat pekerjaan tertua di dunia ini tidak mungkin dibanteras kita tidak berbuat sesuatu? Kita tidak pernah mendengar hal ini keluar dari mulut Shahrizat. Tidakkah permasalahan moral ini menjadi tugas dan tanggungjawab kementeriannya?

Ketika kementerian wanita tidak peka dengan penyakit sosial itu, wanita PAS pula yang menunjukkan keprihatinan melalui aktiviti mendekati golongan tersebut. Oleh sebab itu, kita tertanya-tanya adakah kementerian tersebut tidak berbuat sesuatu kerana akur dengan kenyataan Dr. Mashitah bahawa menjual diri kerana darurat hukumnya harus?

Jika demikian keadaannya, kita tidak mempunyai sebarang alasan yang kukuh untuk menangani gejala pelacuran di negara ini sekalipun aktiviti itu salah dari sudut agama dan moral. Amat tidak masuk akal bagi sesiapa juga membiarkan sahaja perbuatan maksiat yang berlaku di hadapan matanya!!!

Sunday, May 30, 2010

Ulama Bisu atau Dibisukan ?

Rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam kini termangu-mangu menanti kata-kata keramat para ulama tentang penghalalan judi oleh UMNO. Kesemua mereka membisu seribu bahasa dalam kes ini.

Anehnya, mereka membingitkan angkasa raya Malaysia apabila mahkamah membenarkan majalah Kristian menggunakan kalimah Allah untuk menggantikan God. Mereka juga gamat menentang penyertaan peguam bukan Islam di mahkamah syariah.

Dahulu mereka mempertikaikan dakwaan seorang mufti tentang orang Melayu murtad. Kini mufti itu disanjung kerana terlihat menyebelahi mereka dalam banyak perkara. Hal-hal seumpama ini telah mengelirukan bukan sahaja umat Islam malahan juga orang bukan Islam.

Banyak kes yang berlaku dalam bidang agama Islam menampakkan UMNO mengamalkan sikap mundur ke belakang. PAS yang dahulunya dituduh ekstrem kini beransur-ansur diterima oleh bukan Islam kerana berpegang kepada prinsip orang Islam itu bersaudara dan wujud hubungan sesama insan antara Islam dan bukan Islam.

Selaras dengan prinsip itu, PAS menyertai Pakatan Rakyat dan bermuafakat dengan PKR dan DAP yang dicap oleh UMNO sebagai parti cauvinis Cina. Di samping itu, PAS telah menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai oleh orang Cina dan India.

UMNO terkedu apabila peristiwa ini berlaku. PAS mendahului mereka membanteras perkauman sempit. PAS memperjuangkan Islam. UMNO memperjuangkan Melayu. Jelaslah di sini betapa sempitnya perjuangan UMNO dalam sebuah negara pelbagai kaum, agama, dan budaya seperti Malaysia; sedangkan mereka melaung-laungkan konsep 1 Malaysia.

Konsep 1 Malaysia akan terjun sungai sekiranya UMNO tidak mampu meyakinkan rakyat tentang keserasian konsep itu dengan prinsip Islam yang serba sempurna. Perlu diingat bahawa mereka telah dikejutkan oleh respon negatif penganut Kristian di Sibu. Penolakan bukan Islam terhadap UMNO akan berpanjangan sekiranya toleransi beragama yang sedang disantuni oleh PAS direalisasikan secara relatif sempurna.

UMNO akan ketinggalan jauh ke belakang dalam bidang keagamaan sekiranya bergantung kepada ulama yang bukan sahaja takut berkata benar malahan juga memutarbelitkan kata-kata dan tidak konsisten dalam berhujah.

Islam di Malaysia memerlukan ulama yang berani, tegas, dan jitu bukannya ulama cari makan yang menjaga periuk nasi sendiri sahaja. Sudah sampai masanya mereka keluar dari kepompong ketakutan dan ampu bodek yang membinasakan umat itu.

Saturday, May 29, 2010

UMNO @ Syarikat Direct Selling

Dalam sejarah politik Malaysia pascamerdeka, subsidi menjadi aparatus paling berkesan kepada UMNO-Perikatan-BN untuk mengekalkan kuasa. Kedudukan ekonomi yang sentiasa berada pada tahap cemerlang meletakkan negara dalam situasi makmur dan selesa. Kemakmuran diperoleh melalui kekayaan sumber alam seperti bijih timah, getah, kelapa sawit, dan sebagainya. Kekayaan yang melimpah-ruah dikecapi apabila petroleum menjadi sumber baru pendapatan negara sehingga negeri-negeri pengeluar petroleum diberi royalti sebanyak 5%.

Sehubungan itu, rakyat menikmati pelbagai subsidi untuk menjalani kehidupan; bermula dari subsidi barang-barang keperluan, buku teks, dan baja sehinggalah bahan bakar untuk kenderaan. Namun, setelah sekian lama menikmatinya, kini kita dikejutkan dengan kenyataan Idris Jala bahawa negara akan bankrap pada tahun 2019 apabila subsidi mencapai tahap 100%. Ini bermakna kita tidak akan mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Apa muslihatnya?

Jika kita menoleh ke belakang, gambaran kegagalan kerajaan Perikatan jelas terserlah. Kesejahteraan rakyat tidak diberi tumpuan. Kemiskinan orang Melayu, kesombongan pegawai tinggi kerajaan, terutama MCS, dan kebobrokan wakil rakyat menjadi tema utama pilihan para penulis. Layanan kurang mesra terhadap kaum bukan Melayu juga berleluasa. Itulah yang menyebabkan berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969.

DEB muncul sebagai serampang dua mata. Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyatupadukan rakyat. Banyak projek dan wang beredar untuk menjayakan dasar itu. Ketika inilah muncul pemimpin yang tamak. Rasuah, kronisme, dan salah guna kuasa pun membiak. Akhirnya dasar ini gagal mencapai matlamatnya. Orang Melayu hanya dapat 18% tetapi orang Cina dapat 40%. DEB hanya mengkaya-rayakan Melayu tertentu yang menjadi kroni pemimpin UMNO walaupun tidak dinafikan wujudnya peningkatan orang Melayu dalam bidang pendidikan.

Harus juga diingat bahawa kronisme telah menumbuhkan terlalu ramai kontraktor Kelas F. Keramaian golongan ini telah mendatangkan masalah kepada UMNO untuk menyara mereka pada masa ini lantaran mereka tidak boleh berdikari. Keadaan menjadi bertambah parah apabila dua buah negeri industri yang kaya, iaitu Pulau Pinang dan Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Kesempitan dan keperitan itu menyababkan UMNO-BN diserang sawan. Mereka tidak dapat menerima hakikat. Prinsip-prinsip demokrasi diketepikan. Perak dirampas. Mahkamah, SPR, dan PDRM dijadikan alat oleh parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa. Mereka kalah 8 daripada 11 PRK yang dijalankan pasca-PRU Ke-12. Mereka hanya mampu bertahan di kawasan yang mundur atau kawasan yang mempunyai ramai bilangan pengundi pos atau pengundi-pengundinya masih boleh dibeli dengan harga murah. Trend ini menjadikan UMNO sebuah syarikat direct selling.

Kaedah ini dimanfaatkan oleh UMNO-SUPP di Sibu. Namun, kerendahan mutu barang jualan tidak menarik hati pelanggan walaupun banyak special offer yang mengancam ditaburkan secara terbuka.

Wajah politik Malaysia dibumbui rasuah yang tidak berkesudahan oleh UMNO-BN. Kini mereka sudah berani menghantar mesej rasuah secara terbuka di hadapan rakyat. Bagi golongan yang memperjuangkan integriti, hal ini merupakan sesuatu yang amat menjijikkan dan pencemaran maruah diri yang nyata. Walau bagaimanapun, menjual maruah melalui direct selling ini tidak pernah menjadi faktor penentu kejayaan UMNO-BN.

Mereka terus gagal meyakinkan orang Cina dan Melayu yang menghuni bandar dan pinggir bandar. Kegagalan UMNO-BN ini menjadi kekuatan Pakatan Rakyat. Namun, majoriti kerajaan tempatan di negara kita masih lagi majlis daerah. Jika keadaan ini tidak berubah dan minda penghuninya tetap di takuk itu, sukar bagi Pakatan untuk menggapai cita-cita menakluk Putrajaya.

Sungguhpun begitu, keyakinan perlu disandarkan kepada perubahan positif yang ditunjukkan di Hulu Selangor dan Sibu. Undi untuk PKR bertambah. Ini menunjukkan bahawa tidak semua orang Melayu terpikat dengan direct selling UMNO-BN. Undi untuk DAP begitu mendadak. Ini menunjukkan bukan sahaja orang Cina bersama Pakatan malahan juga orang Melayu dan Bumiputera Sarawak mula menyokong DAP. Perkembangan sihat ini perlu dikekalkan dan dikembangkan menjelang kedatangan PRU Ke-13 nanti.

Dengan kedudukan kewangan negara yang semakin menguncup, UMNO-BN sudah kelihatan terdesak. Mereka sudah berani menghalalkan yang haram. Bantuan bertaraf nasional kepada badan-badan dan institusi-institusi tertentu sudah semakin ciput. Dari sudut yang lain, mereka sudah "membela" taukeh-taukeh besar untuk mengumpul dana pilihan raya. Usaha ini pasti terjejas sekiranya masih ada beberapa siri PRK selepas ini atau sehingga tamat tempoh PRK boleh diadakan.

Peristiwa-peristiwa yang telah kita saksikan dahulu dan sekarang ini menjadi penanda aras kepada tindakan-tindakan UMNO-BN seterusnya. Pembangunan luar bandar melahirkan pelbagai cabang subsidi. Subsidi baja. Bantuan pekebun kecil getah. Subsidi tanam semula getah. Sistem parit dan tali air. Balai raya. Kelas Dewasa. KEMAS. Semuanya menjadi aset penting UMNO-Perikatan-BN. Hal ini diperpanjangkan kepada subsidi barang-barang keperluan seperti beras, gula, tepung, minyak masak, dan bahan bakar.

Kesan yang diterima kerajaan melaluinya ialah sokongan tidak berbelah bagi rakyat kepada mereka. Sokongan orang Cina dan India terhadap kerajaan diperkukuhkan dengan doktrin menakut-nakutkan mereka terhadap kengerian pelaksanaan undang-undang Islam bagi menutup rapat kepercayaan terhadap perlunya wujud negara Islam yang dihasratkan PAS.

UMNO-BN selesa dan gembira dengan kewujudan keadaan itu. Bagi pemimpin yang tamak, inilah masanya untuk mengenyangkan perut sendiri dan membentuk kroni. Maka bersepahlah Ali Baba untuk kaya atas angin. Maka wujudlah kontraktor Kelas F untuk cari makan sikit-sikit. Berkembang biaklah rasuah untuk memperoleh apa-apa jua yang tidak sepatutnya. Wujudlah projek terbengkalai. Bangunan yang baru siap runtuh, tayar monorel hempap orang hingga mati, bumbung pangsapuri tercabut diterbangkan angin, dan pelbagai lagilah kecacatan memalukan sehingga parlimen pun bocor dua tiga kali dan hospital pun tak sempurna.

Kegembiraan bercampur noda itu direntap kemelesetan ekonomi dunia, perpindahan pelabur ke negara lain, keengganan pelabur baru membuka perniagaan, dan joli katak kerajaan. Apabila kantung kerajaan sudah menipis, dan penjanaan tidak mampu dilakukan, rakyat jugalah yang dibebankan. Kenaikan harga barang dan perkhidmatan terpaksa ditanggung oleh rakyat. GST pun hendak dilaksanakan. Kini mereka mula mengorak langkah untuk memancing simpati rakyat dalam usaha mengurangkan subsidi. Ternyatalah bahawa banyak lubang yang perlu ditutup setelah tersalah gali. Rakyat digalakkan berjudi kononnya untuk menjana pendapatan negara. Maka setiap pembacaan rakyat terhadap tindak-tanduk kerajaan itu menimbulkan rasa meluat dan marah. Subsidi yang dahulunya menjadi jambatan penting sokongan rakyat kini sudah hampir patah dan punah. Kemesraan yang hilang itu rupa-rupanya memakan diri UMNO-BN.

Dengan demikian, fokus utama Pakatan Rakyat sekarang ini ialah mengumpul seberapa banyak sokongan daripada pengundi-pengundi di kawasan majlis daerah tanpa mengkesampingkan sokongan para pengundi di pedalaman. Kawasan-kawasan majlis daerah masih mudah dimasuki dan penduduknya telah menerima kemudahan asas yang mencukupi.

Berkat sumbangan daripada hartawan yang sentiasa mahu melihat konsep memasyarakatkan kekayaan negara direalisasikan, kita percaya keadilan yang sejati akan memberi harapan baru kepada rakyat. Merekalah yang berhak menikmatinya. Segala bentuk penganiayaan perlu dibanteras setelah sekian lama membelenggu kehidupan rakyat jelata.

Berpuluh tahun Terengganu menerima royalti petroleum, rakyatnya menduduki tempat ketiga termiskin di Malaysia. Sudah lebih 40 tahun Sarawak yang kaya dengan pelbagai hasil bumi merdeka di bawah Malaysia, rakyatnya menduduki tempat kedua termiskin di Malaysia. Demikian juga Sabah, kekayaan buminya hanya mampu meletakkan mereka sebagai negeri pertama termiskin di Malaysia. Johor yang merupakan tempat lahir UMNO dan penduduknya dikatakan rela sehidup semati dengan UMNO pun dibiarkan hidup dalam keadaan daif. Apa maknanya semua ini?

Dana berjumlah RM54 bilion untuk membantu golongan Bumiputera kini tinggal RM2 bilion. Siapa yang songlap RM52 bilion tu? Bolehkah dana RM2 bilion melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera seperti yang dihasratkan oleh Dasar Wawasan Negara yang akan tamat hujung tahun ini? Jangan mimpilah. Ketiadaan golongan ini menyebabkan anak-anak Melayu yang mahir terpaksa bergantung kepada GLC atau berhijrah ke luar negara mencari penghidupan. Dalam pada itu pun kita lihat Sime Darby dan Pos Malaysia rugi teruk. Siapakah yang boleh kita harapkan untuk melonjakkan orang Melayu ke atas? Kalau tidak ada, sampai bila-bila pun kita di bawah. Orang bukan Melayu pun dah mula meluat tengok perangai bodoh kita. Sampai bila nak diberi tongkat? Tongkat pun dah malas dan malu nak sakti!!!

Kita tidak boleh terus-terusan menyalahkan takdir. Kita tidak boleh terus-terusan menyalahkan orang lain. Kita tidak boleh terima kenyataan bahawa bila UMNO lemah, bukan Melayu akan panjat atas kepala kita. Kita pun melenting tak tentu pasal bercakap tentang perkauman sempit. Jangan jadi gila. Hak kita sudah terpampang dalam Perlembagaan Malaysia. Hak orang lain pun turut dicatatkan. Tidak ada siapa nak kacau. Yang buat kacau ialah Melayu-UMNO. Melayu yang tipu Melayu. Kalau Melayu tidak tipu Melayu, Melayu tak akan jadi lagu ni sekarang.

Bodohlah kita yang bersandar harapan kepada UMNO. Bodohlah kita menaruh harapan tinggi kepada penipu. Kita perlu mengubah nasib tanpa bergantung kepada penipu. Kita perlu mengubah nasib tanpa bergantung kepada UMNO. Kita tolak UMNO. Kita ketepikan UMNO. Mereka tidak berpegang kepada lunas-lunas Islam pun. Bagi mereka semua boleh. Arak boleh. Judi boleh. Rasuah boleh. Kronisme boleh. Nepotisme boleh. Berkawan dengan Yahudi boleh. Guna perkhidmatan APCO boleh. Guna SPR, PDRM, dan mahkamah untuk kekal berkuasa pun boleh. Islam saja yang tak boleh. Bila buat taik di Selangor, suruh Pakatan bersihkan. Banyak dia punya cantik! Kita perlu buang UMNO jauh-jauh. Kita perlu nyahkan UMNO. Nyahkan UMNOOOOOOOOOO!!!

Friday, May 28, 2010

UMNO Menjerat Leher Sendiri ?

Ketika UMNO/BN yang mengambil nasihat Yahudi melalui APCO dimarahi kerana menyerahkan dua telaga minyak yang kaya kepada Brunei yang juga kaya minyak dan menghalalkan judi bola sepak, UMNO berkelahi dengan MIC. Perkelahian itu pula tercetus semasa kerajaan UMNO-BN menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura kononnya untuk diusahakan bersama. Anda perlu ingat bahawa seluruh pulau itu telah diserahkan Tunku kepada Lee Kuan Yew dan mereka menambahnya dengan Pulau Batu Puteh serta memberi pulau tenggelam timbul kepada Malaysia sebagai win-win situation (seperti didakwa Rais Yatim).

Gerakan Anti Samy (GAS) telah dibentuk. Vell Paari menuduh UMNO menjadi dalang untuk menjatuhkan bapanya. Muhyiddin menafikan perkara itu sekeras-kerasnya. Mahathir meminta bukti penglibatan UMNO dan menyindir Samy supaya berhenti jadi Presiden MIC. UMNO membenarkan premisnya dijadikan tempat mesyuarat GAS. Sukarlah untuk menyatakan UMNO tidak terlibat dalam hal ini.

Keberseliratan masalah yang membelenggu UMNO sekarang ini adalah hasil ketidakcerdikan pemimpinnya. Mereka sudah tiada upaya untuk membuat keputusan yang baik bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini. Terlalu banyak wang yang dibazirkan dalam 11 pilihan raya kecil pasca-PRU Ke-12 dan mungkin juga pembelian ahli-ahli politik katak menjadi puncanya.

Kita tidak tahu berapa lagi pilihan raya kecil akan diadakan sebelum tarikh 8 Mac 2011 tiba. Kesemuanya bergantung kepada kehendak Allah Subhanahu wa Ta'ala. Malaysia mungkin akan bankrap lebih awal daripada jangkaan Idris Jala jika ada 10 lagi pilihan raya kecil selepas ini jika teknik dan taktik yang sama digunakan oleh UMNO-BN.

UMNO sudah kehilangan taring menurut pandangan parti-parti komponen lain dalam BN. Ini merupakan satu persepsi yang menjunamkan kredibiliti UMNO yang sememangnya tidak seberapa itu. Fenomena ini ditambah dengan sikap rakyat yang menolak mereka, terutama kaum Cina. MCA, Gerakan, SUPP, LDP, dan lain-lain sudah tidak berfungsi lagi. UMNO pasti menyedari hal ini dan berasa terlalu cemas dengannya.

Dalam ketidaktentuan arah itulah UMNO melanggar perintah Allah. UMNO mengamalkan rasuah. UMNO berkawan dengan Yahudi. UMNO menghalalkan judi. UMNO menjual maruah negara. UMNO menikam kawan dari belakang. UMNO menabur wang demi mengekalkan kuasa. Demikianlah nasib pertubuhan yang tidak berlandaskan Islam dan taksub dengan semangat kebangsaan lapuk serta materialisme-sekularis.

Majoriti rakyat sebenarnya sudah hilang sabar dengan UMNO. Namun demikian, mereka masih dapat bertahan kerana menguasai media untuk mengelirukan pemikiran rakyat. Jika itulah satu-satunya alat yang ada bagi menyelamatkan UMNO-BN, Pakatan perlulah menggunakan perang saraf di segenap pelosok negara untuk memadamkan kekeliruan rakyat itu.

Thursday, May 27, 2010

Maruah yang Parah

Pada tahun 1965, Tunku Abdul Rahman menyerahkan Singapura kepada Lee Kuan Yew. Pulau itu menjadi negara baru yang berdaulat sehingga sekarang dan mendahului Malaysia dalam banyak perkara.

Pak Lah menyerahkan wilayah Malaysia, iaitu telaga minyak L dan M kepada Brunei. Terdahulu daripada itu melepaskan Pulau Batu Puteh kepada Singapura kerana kalah dalam perbicaraan.

Najib mengambil giliran menjual maruah negara apabila melepaskan hak Malaysia, iaitu tanah yang dipegang oleh KTMB kepada Singapura. Tidaklah diketahui maruah Malaysia yang mana lagi akan diserahkan kepada negara lain.

Pemimpin-pemimpin UMNO gemar menyusu kera di hutan dan membiarkan anak di rumah terkapai-kapai. Royalti petroleum yang diminta kerajaan Kelantan tidak dihiraukan, hak negara pula terlepas satu demi satu.

Rakyat boleh mengukur sendiri tahap kecerdikan pemimpin mereka. Jika mereka berasa malu dengan keadaan itu, tukarlah kerajaan, jangan tunggu-tunggu lagi. Lebih lama mereka berkuasa keadaan akan menjadi lebih parah.

Wednesday, May 26, 2010

UMNO Dihanyutkan Arus Lautan Kemaksiatan

Setelah gagal menjadi parti pelbagai kaum dan hanya berjaya menjadi juara perkauman, UMNO dihinggapi penyakit sawan. Mereka terperanjat besar apabila parti yang pernah mereka cap sebagai ekstremis berubah menjadi parti yang disokong oleh pelbagai kaum; sedangkan mereka masih di takok lama. Yang berubah ialah mereka semakin akrab dengan musuh Islam, iaitu Yahudi dan menjadi orang Islam yang menghalalkan judi. Di samping itu, tidak segan silu menyerah telaga minyak kepada negara lain dan yang terbaru buat hal pula dengan tanah KTMB di Singapura.

Semua umat Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar perlu mencurigai Melayu-Islam dalam UMNO. Golongan yang mengetepikan halal-haram dan dosa-pahala itu telah dipertikaikan keislaman mereka. Agamawan dalam UMNO dan alim-ulamak yang menyokong mereka juga menimbulkan syak wasangka dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Seluruh rakyat Malaysia (Islam dan bukan Islam) tertanya-tanya tentang tuju arah Melayu-Islam UMNO yang semakin hanyut dalam lautan kemaksiatan. Tindakan golongan tersebut bukan sahaja membingungkan malahan juga menggerunkan. Tidakkah mereka mengambil kira kesan buruk perjudian? Mengapa mereka memilih jalan mudah memperoleh wang tetapi mengundang kemudaratan? Berapa ramaikah yang akan bankrap dan dikejar along hasil penglibatan dalam judi bola sepak Piala Dunia 2010 itu nanti?

Tndak-tanduk UMNO belakangan ini menyerlahkan kecenderungan mereka kepada arak, judi, dan perempuan. Persepsi rakyat ialah pemimpin-pemimpin UMNO terlibat sama ada dalam ketiga-tiga aspek itu atau mana-mana dua daripadanya atau sekurang-kurangnya satu daripada tiga yang disebutkan itu. Sehubungan itu, perlukah kita menaruh harapan yang tinggi kepada golongan yang ternyata bobrok itu?

UMNO yang sedang dihanyutkan oleh arus kemaksiatan itu perlu dijauhi. Rasionalnya ialah keengganan Najib untuk membicarakan isu haram ini. Mereka yang cakap berdegar-degar tentang isu kalimah Allah sebelum ini pun diam membisu. Kewujudan sindrom itu menunjukkan bahawa UMNO dan suku-sakatnya mengamalkan ajaran Islam secara berpilih-pilih. Dakwaan Pakatan Rakyat terhadap mereka tentang perkara ini tiada yang tiada benar, melainkan benar belaka.

Kejahilan menyebabkan UMNO melenting tak tentu fasal apabila menentang keputusan mahkamah. Di luar negara, termasuk negara-negara Arab, penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian bukan lagi satu isu. Bible dalam bahasa Arab telah lama menggunakan kalimah Allah. Yang anehnya, apabila mereka terjerat dalam isu ini di Sibu, tahu pula mereka takut kerana tak terlawan. Terketar-ketar minta bantuan PDRM supaya isu itu tidak dijadikan modal pilihan raya. Tak ada telur betul mereka ini. Namun, kebenaran tidak dapat disembunyikan. UMNO-BN-SUPP tersungkur membaham tanah di Sibu !!!!

Tuesday, May 25, 2010

Berani MIC Belasah UMNO

Anak Samy Vellu mendakwa UMNO yang menjadi dalang kempen menyingkirkan ayahnya dari kerusi Presiden MIC. Dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh TPM yang turut meminta Samy Vellu mengajar anaknya supaya tidak biadab.

Perkara sebegini sudah kerap berlaku antara UMNO-MCA-MIC. Pada hakikatnya, UMNO tidaklah begitu suka kepada Samy Vellu. Jika tidak masakan Najib menyokong kuat penubuhan MMSP.

Harus diingat bahawa dakwaan tersebut datang sesudah MIC menang di Hulu Selangor dan Palanivel dilantik menjadi Senator. Kelihatan di sini seolah-olah UMNO melepaskan anjing yang tersepit.

Biar apa-apa jua yang berlaku, ikatan parti-parti dalam BN yang diterajui UMNO semakin hari semakin longgar. Presiden MIC tetap dengan egonya. Presiden MCA pula seolah-olah pasrah, tak jadi menteri pun tak apalah. Najib pun tidak bercakap tentang Soi Lek sehingga kini.

Pakatan tidak wajar teruja dengan keretakan itu. Lantaklah BN nak lingkup atau apa-apa pun. PAS-DAP-PKR perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan sokongan rakyat bukannya mengambil kesempatan atas kelemahan BN. Binalah kekuatan sendiri atas keyakinan bahawa rakyat perlukan perubahan pucuk pimpinan negara.

Monday, May 24, 2010

PAS Menunjangi Perpaduan Tulen

Politik Malaysia memasuki fasa baru apabila Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ditubuhkan bagi menggantikan Kelab Penyokong PAS. Langkah ke hadapan ini telah menukar imej PAS menjadi parti pelbagai bangsa yang berlandaskan Islam.

Tentulah peristiwa ini menjadi tamparan hebat kepada parti-parti perkauman yang tertua di Malaysia, iaitu UMNO, MCA, dan MIC. Parti-parti ini dengan sendirinya ketinggalan zaman.

Lanskap politik Malaysia sudah memasuki era baru, iaitu politik baru. Kita biarkanlah UMNO dan parti-parti perkauman yang lain memperjuangkan bangsa masing-masing yang bertentangan dengan konsep 1 Malaysia yang Najib sendiri melontarkannya. Kewujudan situasi ini menandakan UMNO-BN cakap tak serupa bikin.

PAS tidak berjuang untuk Melayu. PAS berjuang untuk Islam. Pelbagai bangsa di Malaysia memeluk agama Islam. Dari segi hubungan, semua umat Islam itu bersaudara. Penubuhan DPPP termasuk dalam kerangka hubungan sesama insan. Begitu jugalah hubungan ahli dan pemimpin PAS dengan ahli dan pemimpin bukan Islam dalam PKR dan DAP.

Kita mengharapkan hubungan ikhlas ini akan mewujudkan perpaduan tulen dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa di negara ini. Pada masa yang ke hadapan, hubungan saudara seagama dan hubungan sesama insan dalam Pakatan Rakyat akan bertembung dengan perjuangan perkauman sempit UMNO, MCA, MIC, dan lain-lain parti perkauman dalam BN.

Sama-samalah kita lihat bagaimana semangat perkauman sempit ditenggelamkan oleh perpaduan tulen yang muncul sebagai arus perdana di negara kita !!!

Sunday, May 23, 2010

PAS Satukan Semua Kaum Ketika Mahathir Jengkelkan Najib

Tahniah kepada PAS kerana menjadikan Kelab Penyokong PAS sebagai ahli PAS sepenuhnya. Kejayaan ini menandakan PAS betul-betul berusaha untuk menyatupadukan semua kaum di negara ini. UMNO dilihat masih memperjuangkan perkauman sempit melalui slogan Hidup Melayu dan sokongan padu kepada PERKASA yang mula dibenci oleh orang Cina dan India.

Barry Wain yang mendedahkan penyelewengan Mahathir benar-benar menjengkelkan Najib. Tidak lama lagi kita akan dapat melihat konflik terbuka Mahathir-Najib. Perkara ini tidak dapat dielakkan jika kita dasarkan kepada sikap Mahathir yang gemar menonjolkan diri dan tidak mahu dilupakan.

Mahathir memang sedang dilupakan sekarang. Sebagaimana sekalipun diusahakan, rakyat akan melupainya, apalagi dengan terbongkaikarnya kecurangan itu. Soalnya, beranikah Wain diseret ke mahkamah kerana pendedahan itu? Jika tidak, itulah punca yang akan menyukarkan hubungan baik Mahathir-Najib.

Sekali lagi tahniah untuk PAS. Bersediakah Najib untuk berperang dengan Mahathir?

Kalimah Allah Riuh Rendah Bantah, Halalkan Judi Membisu

Perihal UMNO mempermain-mainkan hukum Allah telah jelas di hadapan mata kita. Mereka membantah keputusan mahkamah kerana membenarkan penganut Kristian di Malaysia menggunakan perkataan Allah bagi menggantikan God. Bantahan itumenjalar hingga gereja dibakar.

Itulah hipokritnya UMNO terhadap Islam. Kepura-puraan mereka tidak dapat diselindung lagi apabila Malaysia menjadi negara Islam yang menghalalkan judi bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Bagi rakyat, UMNO sudah tidak lagi menghiraukan soal haram halal dan dosa pahala. Semuanya telah ditolak ke tepi demi pendapatan negara. Mereka perlukan cukai judi itu untuk menambah pendapatan negara yang sedang menguncup.

Ulama UMNO pun tak kata apa-apa. Menteri agama pun diam membisu. Katak-katak yang sokong UMNO dalam isu kalimah Allah pun terkatup rapat mulut mereka. Apa lagi PERKASA yang hanya tahu bercakap tentang Melayu saja. Orang bercakap tentang perpaduan tulen antara semua kaum, dia Melayu! Melayu! Melayu!

Friday, May 21, 2010

Judi ! Judi ! Judi !

Kerajaan UMNO-BN sering dikritik oleh PAS kerana enggan menjadikan Islam sebagai teras perjuangan. Setiap kali diserang, UMNO akan tetap mempertahankan bahawa mereka berjuang untuk mempertahankan agama, bangsa, dan negara. Setelah kemunculan Pakatan Rakyat, UMNO diserang lagi sebagai parti yang majoriti anggotanya terdiri daripada Melayu-Islam tetapi melaksanakan Islam secara berpilih-pilih. Dakawaan ini pun dinafikan.

Walau bagaimanapun, ketidakcaknaan UMNO terhadap Islam terserlah juga akhirnya. Pertama, mereka membantah keputusan mahkamah membenarkan majalah Kristian menggunakan kalimah Allah. Bantahan itu menjalar kepada peristiwa membakar gereja. Kesilapan pentafsiran UMNO terhadap perkara ini terbukti dengan nyata. Tidak ada salahnya bagi penganut Kristian menggunakan kalimah itu. Hakikatnya begitu.

Setelah itu, UMNO mengambil APCO sebagai penasihat komunikasi. Syarikat itu milik Yahudi yang memperjuangkan ideologi zionis. Sudah terang lagi bersuluh mereka ini memusuhi Islam. UMNO melakukannya tanpa merujuk kepada al-Quran.

Kini mereka menghalalkan judi bola sepak Piala Dunia. Sekali lagi UMNO diserang kerana perbuatan itu bercanggah dengan hukum Islam. Najib tidak mahu bercakap tentang hal itu bila ditanya wartawan. Tindakan tersebut bukan sahaja tidak bijak malahan juga mengundang lebih banyak kemarahan terhadap beliau.

Mereka telah melakukan kesalahan besar tetapi enggan mengaku dan kembali ke pangkal jalan. Bagi sesiapa pun,tidak masuk akal untuk sebuah kerajaan Islam menghalalkan judi. Mereka dengan sengaja mengkesampingkan hukum demi habuan yang banyak tanpa mengambil kira kesan buruk yang didatangkan oleh perjudian.

Nampaknya, dari hari ke hari, UMNO hanya menambahkan koleksi kemungkaran dalam diri mereka. Rasuah sudah mendarah daging dalam diri mereka. Penyalahgunaan kuasa meliputi segenap aktiviti sehinggalah dalam pilihan raya. Kronisme sudah lama membarah. Oleh sebab itu, rakyatlah yang berkuasa membanteras semua kemungkaran itu.

Thursday, May 20, 2010

Menggapai Kejituan Sokongan Terhadap Pakatan Rakyat

Faktanya ialah dalam PRU Ke-12 yang lalu majoriti orang Melayu memihak kepada UMNO-BN. Sebab itulah UMNO-BN mampu membentuk Kerajaan Persekutuan. Sokongan orang Cina kepada Pakatan sangat mengkagumkan dalam pilihan raya tersebut. Begitu juga dengan sokongan orang India. Namun demikian, ada sedikit keraguan yang timbul mengenai sokongan orang India terhadap Pakatan pada masa ini.

Kita tidak boleh mengandaikan bahawa orang India telah kembali kepada BN sekarang ini semata-mata kerana UMNO-BN menang dalam PRK Bagan Pinang dan Hulu Selangor. Jumlah orang India di kedua-dua kawasan itu tidaklah sebesar mana pun. Perkara ini hanya dibesar-besarkan oleh BN untuk tujuan propaganda.

Sokongan orang Cina kepada Pakatan masih tetap solid. Hal ini dapat dilihat dalam PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Air, Manek Urai, Penanti, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Hulu Selangor, dan Sibu. Pakatan menang 8 dan BN menang 3. Kedudukan ini sangat-sangat membanggakan kerana populariti Pakatan dalam kalangan rakyat terus stabil. Pakatan hanya gagal menembusi kubu kuat BN di Batang Air yang pengundi majoritinya orang Iban. Pakatan gagal di Bagan Pinang kerana timbunan undi pos memihak kepada UMNO. Pakatan kalah di Hulu Selangor kerana UMNO-BN merasuah pengundi. Di mana-mana tempat rasuah BN tidak laku, Pakatan menang.

Persoalan yang timbul kini ialah undi Melayu kepada Pakatan. Kelihatannya seperti ada turun naik. Namun demikian, tidak banyak faktor yang mempengaruhi situasi tersebut. Pakatan belum dapat membebaskan pemikiran pengundi Melayu daripada cengkaman UMNO, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar. Buktinya PAS hampir kalah di Manek Urai gara-gara berleluasanya taburan rasuah oleh UMNO.

Kawasan paling selesa untuk Pakatan sejak PRU Ke-12 hingga kini ialah kawasan bandar dan pinggir bandar walaupun DAP belum dicabar sepenuhnya. Kawasan-kawasan ini terbahagi kepada dua, iaitu kawasan majoriti Cina dan kawasan bercampur (Melayu + Cina + India + lain-lain). Pakatan perlu menguatkan cengkaman pengaruh terhadap pengundi di kawasan-kawasan ini kerana keretakan dalam MCA, MIC, Gerakan, dan PPP menjadi faktor utama kelemahan BN. Pada masa yang sama, politik usang yang digunakan oleh UMNO-BN tidak laku dan ada kalanya ditolak secara total di kawasan-kawasan ini. Realiti ini telah diterima oleh BN.

Senario politik Malaysia kelihatan mundur kerana rentak membosankan diguna pakai oleh UMNO-BN. Walaupun sudah lebih setengah abad merdeka, mereka masih mengamalkan politik gula-gula untuk mendapatkan undi. Sehubungan itu, setiap kali pilihan raya diadakan mereka melaksanakan projek mi segera seperti menurap jalan, membaiki sekolah, menyampaikan komputer, menabur pelbagai janji, dan sebagainya. Apabila perkara ini dikritik oleh Pakatan, mereka menepisnya dengan mengatakan kesemua yang dilakukan itu sudah ada dan diluluskan oleh NKRA. Kenyataan tidak cerdik ini tidak lagi laris di Hulu Selangor dan langsung tidak laku di Sibu walaupun ditambah dengan rasuah politik.

Tidaklah diketahui sampai bila taktik ini akan digunakan oleh UMNO-BN. Kebankrapan idea ini sudah sampai kekemuncaknya. Kini orang Melayu dan Bumiputera Sarawak pun sudah mula menyokong DAP. Perubahan ini pasti merebak ke serata tempat, termasuk Sabah seandainya UMNO-BN terus mempraktikkan teknik usang itu.

Kekunoan cara berpolitik itu menyebabkan kempen pilihan raya tidak berfungsi dengan baik. Kempen dipenuhi dengan penyebaran fitnah, caci-mencaci, dan pembunuhan karektor calon. Fungsi sebenar kempen untuk menyampaikan manifesto parti kepada pengundi 100% dikesampingkan. Aktiviti-aktiviti-aktiviti tidak berfaedah ini mengajar rakyat menjadi insan yang tidak bermoral, jika disandarkan kepada slogan "Kepimpinan Melalui Teladan".

Rakyat di negara ini teramatlah tidak bernasib baik kerana diajar oleh pemimpinnya untuk menganggap rasuah sebagai fenomena biasa yang diterima secara terbuka. Mereka menjadi dua kali tidak bernasib baik apabila disogokkan dengan penghalalan judi. Mereka menjadi tiga kali tidak bernasib baik apabila pemimpin mereka bersekongkol dengan musuh, iaitu Yahudi yang mendokong ideologi zionis demi menjahanamkan Islam.

Pendedahan kegilaan yang berbahaya ini belum merata dalam kalangan orang Melayu di luar bandar serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. Oleh sebab itu, mereka terus khayal dengan dendangan beracun UMNO-BN. Pasti ada cara yang boleh digunakan oleh Pakatan untuk membanteras gejala negatif ini. Idaman untuk bertapak di Putrajaya akan terbantut sekiranya majoriti golongan ini tidak dapat dikuasai oleh Pakatan. Tugas ini menjadi tanggungjawab penuh PAS dan PKR. Buatlah sesuatu yang mapan!!!

Wednesday, May 19, 2010

Mansuhkan Sahaja Undi Pos

Dapatan yang yang diperoleh ejen pengundi pos Pakatan Rakyat sememangnya memeranjatkan. Andaikata mereka tiada, sudah pastilah BN-SUPP memenangi PRK Sibu. Petugas SPR pun jadi pengundi pos, bukan askar dan polis sahaja. Orang yang tidak layak mengundi pun dijadikan pengundi pos.

Kita percaya perbuatan seperti ini pernah berlaku dalam banyak PRK yang terdahulu. SPR yang diperalatkan oleh BN telah melakukannya demi mengekalkan kuasa tuan mereka. Jika segala tuduhan yang dibuat oleh ejen itu tidak benar, SPR boleh mendakwa mereka di mahkamah.

Semakin hari semakin banyak tembelang SPR terbongkar. Tandatangan pun ditipu juga. Tanpa kehadiran ejen, semua itu akan terlepas. Yang pasti, kerusi Sibu milik BN-SUPP.

Untung juga hal ini diketahui pada masa ini. Jika tidak, sudah tentulah BN bergumbira ria dengan memanipulasi undi pos itu. Kejelekan BN dan SPR makin terserlah di hadapan mata rakyat.

Kita mahu keputusan yang 100% sah. Tiada sedikit pun penyelewengan. Pilihan raya berjalan dengan adil dan saksama. Jika undi pos tidak boleh berlaku adil dalam pilihan raya, mengapa masih diguna pakai?

Sudah sampai masanya undi pos dimansuhkan. Bebaskan anggota tentera, polis, dan pihak-pihak lain yang terlibat menggunakan saluran biasa untuk mengundi. Mereka berkemampuan. BN tidak lagi berpeluang untuk berkempen dalam kem. Pakatan tengok sahaja dari luar. Mana adil!!!

Tuesday, May 18, 2010

Ucapkan Selamat Tinggal kepada Politik Usang

Politik lama yang diamalkan oleh UMNO-BN sudah hampir ke penghujungnya. Amalan tersebut hanya laku dalam kalangan masyarakat yang belum menikmati kemajuan, terutama dalam bidang pendidikan. Masyarakat seperti ini wujud di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman. Pada zahirnya, masih banyak kawasan yang tergolong dalam kategori ini di negara kita.

Namun demikian, usaha DAP, PAS, dan PKR mendekati golongan ini di Sibu, Sarawak telah membuka satu lembaran baru dalam lanskap politik Malaysia. Kesannya juga boleh dibanggakan. Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat perlu menyusun strategi yang lebih komprehensif bagi mengeluarkan golongan ini dari kepompong yang dikawal ketat oleh UMNO-BN dengan menggunakan konsep kepatuhan tidak berbelah bagi kepada ketua. Ketua-ketua inilah yang dicukupkan serba-serbinya sebagai pengasahan taring yang menggerunkan anak buah mereka.

Pada masa yang sama, golongan ini menjadi begitu mudah ditundukkan. Sokongan mereka boleh dibeli dengan hanya sehelai kain pelekat, gula, beras, dan sebagainya. Namun demikian, riak-riak perubahan sudah dapat dilihat dengan jelas sejak belakangan ini. Orang Asli sudah mula tunjuk taring. Orang Iban di rumah panjang pun sudah semakin berani dan cerdik.

Petanda-petanda ini perlu terus disemarakkan semaksimum mungkin. Berkat keikhlasan, kesungguhan, dan usaha yang berterusan, pemikiran golongan ini dapat diaktifkan untuk menyedari betapa jauhnya mereka disisihkan dengan sengaja oleh pemimpin-pemimpin yang berjuang untuk mengekalkan kuasa semata-mata.

Skuad khas untuk memisahkan kebergantungan masyarakat luar bandar dan pedalaman kepada UMNO-BN yang sia-sia itu perlu ditubuhkan dengan segera. Cukuplah setakat ini mereka dipergunakan semahu-mahunya. Penghormatan membabi buta terhadap UMNO-BN perlu dihentikan dengan secepat mungkin.

Mereka juga berhak menikmati kekayaan negara. Sebagai warganegara yang setia, mereka perlu dibimbing dan dilatih menggunakan kail yang dibekalkan bagi memperoleh sebanyak mungkin ikan hingga mampu menjadikannya punca pendapatan.

Kita percaya kekayaan negara ini dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat jika diuruskan dengan betul, bertanggungjawab, dan amanah. Sehubungan itu, rakyat perlu dididik supaya mudah menghidu apa-apa juga perlakuan tidak bertanggungjawab dan mampu bertindak dengan berani untuk membanterasnya.

Malaysia memerlukan pemimpin yang berwibawa untuk memacu rakyat supaya turut sama dalam agenda perpaduan tulen, berkongsi kekayaan negara seadil-adilnya, dan bergerak seiring ke mercu kejayaan. Tiada sesiapa pun yang tercicir tanpa pembelaan !!!

Monday, May 17, 2010

DAP Menang, Dacing Tipu !!!

Tahniah DAP. Syabas PAS. Syabas PKR. Syabas semua penulis di blog yang menyokong Pakatan Rakyat tanpa henti walaupun kalah di Hulu Selangor kerana amalan rasuah yang berluasa oleh UMNO-BN. Kedudukan sekarang ialah 8 - 3.

Kemenangan ini bermakna janji Najib berbentuk rasuah yang terselit di dalamnya ugutan sebanyak RM5 juta tidak diterima oleh pengundi Cina. Dakwaan Shafie Afdal bahawa semua projek mi segera di Sibu merupakan peruntukan dalam NKRA diterima oleh pengundi Sibu atas dasar UMNO-BN menjalankan tanggungjawabnya sebagai kerajaan hanya ketika diadakan pilihan raya. Begitu jugalah dengan peruntukan yang melimpah-ruah Mahyuddin kepada sekolah-sekolah di Sibu.

Rakyat sememangnya sudah jelak dengan perangai buruk UMNO-BN yang tidak bermaruah itu. Mereka geli-geleman melihat PM tanpa segan silu mengeluaran kata, "Awak tolong saya, saya tolong awak." Untuk pertama kalinya PM terperangkap hidup-hidup dalam jala rasuah yang dipasang sendiri.

Rakyat Malaysia yang beragama Kristian marahkan UMNO yang menentang keputusan mahkamah tentang penggunaan kalimah Allah. Mereka bertindak menyokong Pakatan Rakyat yang menunjukkan toleransi yang tulen dalam beragama.

Pengundi-pengundi Sibu tidak termakan dengan isu negara Islam dan ugutan kehilangan hidangan mi orang Foo Chao. Mereka sudah dapat menghayati usaha Pakatan Rakyat memperjuangkan keadilan sosial dan merakyatkan kekayaan negara. UMNO tidak boleh tidur nyenyak melihat keakraban PAS dan DAP di Sibu. Sesuatu yang selama ini mereka ejek dan caci telah menjadi kenyataan. Di samping itu, herdikan Mahyuddin terhadap PKR sebagai Parti Kian Runtuh telah memakan dirinya sendiri. Dia telah terpaksa pulang awal ke Kuala Lumpur dengan membawa kekecewaan sebagai Pengarah Pilihan Raya Sibu yang kecundang.

Kebolehan dan kemanpuan UMNO-BN untuk menjanjikan peruntukan wang pada masa ini nampaknya semakin menurun jumlahnya. Untuk belia yang jumlahnya berjuta-juta orang di Malaysia hanya RM10 juta. Untuk orang orang Cina di Sibu hanya RM5 juta. Kita tidak tahu berapa jumlah yang diperuntukkan kepada usahawan Melayu di Pulau Pinang!!!

Situasi ini menunjukkan kedudukan kewangan negara tidaklah begitu baik seperti yang diuar-uarkan. Jika demikian keadaannya, politik hulur akan mendapat tamparan hebat seandainya ada lagi PRK selepas ini. Di mana lagi UMNO-BN nak korek duit untuk merasuah pengundi?

Pakatan Rakyat berada di landasan yang betul ketika ini. Kerjasama tulen perlu lebih dipereratkan untuk memberi ancaman serius kepada UMNO-BN. Kita biarkan Presiden BN tidak senang duduk apabila ada PRK di mana-mana sekalipun. Kalau dia terpaksa turun naik di Hulu Selangor dan Sibu, kita bagi dia terhencut-hencut dan tercungap-cungap di tempat lain. Kegelabahan PM di Hulu Selangor dan Sibu perlu diberi tekanan yang semaksimum mungkin jika Pakatan Rakyat berhasrat mengambil Sarawak dan berada di mercu Putrajaya. Jangan berasa kecewa dengan pemergian katak-katak yang tidak berguna satu sen pun itu.

Sunday, May 16, 2010

Budak-budak Tidak Boleh Simpan Banyak Duit

Media proUMNO menyebut sambutan Hari Belia di Putrajaya sebagai perhimpunan terbesar dan berjaya mencapai matlamat 1 Belia 1 Malaysia. Najib dengan bangganya mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk belia seluruh Malaysia. Buatlah apa-apa saja dengan duit itu asalkan jangan memanjakan belia. Orang yang cerdik akalnya akan berasa lucu dan ketawa hingga keluar air mata.

RM10 juta untuk 14 buah negeri di Malaysia. Purata sebuah negeri hanya mendapat RM715,000.00. Jika kita mengandaikan Johor mempunyai 500,000 orang belia, setiap orang akan hanya menerima RM1.45 sen. Nak sarapan pun tak cukup. Namun, itulah yang dianggap pemberian tidak ternilai UMNO-BN kepada belia. Anehnya, belia yang menghadiri perhimpunan itu bersorak dengan begitu gumuruh menyambut pemberian yang hanya lekat celah gigi itu.

Mentaliti budak-budak tidak boleh simpan banyak duit masih dipakai oleh UMNO-BN dan belia menerima hakikat itu. Orang dewasa di Malaysia menggaru kepala melihat begitu sekali mudahnya belia kita digula-gulakan. Mereka ialah tonggak negara pada masa depan. Jika begitulah kadar keupayaan berfikir mereka, bolehkah disandarkan harapan untuk membela negara ini kepada mereka?

Belia perlu berfikir dengan rasional. Mereka tidak boleh membiar dan membenarkan diri mereka diulit dan didodoi dengan gula-gula tersebut. Harga diri mestilah dipertahankan. Kita bukan hidup dalam tahun 50-an atau 60-an lagi. Ini zaman Atlantis meredah angkasa raya, bukan zaman layang-layang jatuh dalam lubang cacing!!!

Berfikirlah wahai belia Malaysia yang cerdik.

Saturday, May 15, 2010

Matlamat Ahli Politik Katak di Malaysia

Lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Malaysia sudah menjadi satu fenomena lazim tidak kira sebab-musababnya. Yang pasti golongan ahli politik sebegini terdiri daripada pemimpin separuh tiang yang tiada matlamat perjuangan.

Mereka hampir pasti tidak muncul lagi dalam PRU Ke-13. Adakah mereka akan diterima oleh UMNO, MCA, dan parti-parti komponen lain dalam BN? Rasa-rasanya hal itu tidak akan terjadi. Terlalu ramai orang UMNO, MCA, dan MIC yang berebut-rebut hendak menjadi wakil rakyat pada masa itu kerana terlalu yakin BN akan bangkit semula setiap kali selepas menghadapi kekalahan besar. Tiada tempat untuk katak-katak ini selain daripada bertanding atas tiket Bebas yang hampir pasti juga kalah teruk.

Jika demikian keadaannya, kita tertanya-tanya apakah matlamat mereka? Kemungkinan besar katak-katak ini merupakan musang-musang berbulu ayam yang menyusup masuk ke dalam PKR untuk menghancurkan parti itu. Kita harus ingat bahawa bekas pemimpin yang agak penting dalam PKR diberi kedudukan istimewa selepas berjaya mengkucar-kacirkan PKR apabila memasuki UMNO.

Matlamat mereka sekarang adalah untuk meruntuhkan Pakatan Rakyat, membinasakan Pakatan Rakyat, dan menghapuskan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat. Kita lihat sahaja aktiviti Katak Zul di Kedah. Katak yang tersepit kerana perbuatan sendiri yang tidak bijaksana ini kelihatan bertungkus-lumus mahu menjatuhkan Kerajaan Pakatan Kedah. Setakat ini dia masih gigit jari. Pakatan perlu membiarkan dia menggigit jari hingga PRU Ke-13 tiba. Kita sama-sama tengok UMNO akan meletakkan dia di mana sebagai calon.

Kita akan dapat lihat bagaimana nasib 3 katak di DUN Perak, nasib 3 lagi katak di Parlimen, nasib 2 katak di DUN Kedah, dan 1 kataka di DUN Selangor. Kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu!!!

Friday, May 14, 2010

UMNO MENGHALALKAN YANG HARAM

Selama ini UMNO menafikan tuduhan PAS bahawa mereka menolak Islam sebagai dasar perjuangan. Bukti-bukti yang diberikan termasuklah keengganan UMNO melaksanakan undang-undang Islam seperti hudud dan qisas. Ada kalanya perkara itu diperlekehkan oleh UMNO hingga sanggup mengecapnya sebagai zalim kerana nantinya ramailah orang yang kena potong tangan dan sebagainya.

Kini, usaha menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap negara Islam sedang berkumandang di Sibu. Sememangnya dari dulu lagi sikap UMNO terhadap undang-undang Islam begitu. Pegangan itu bertepatan dengan fahaman sekularisme yang mereka pegang dengan kemas.

Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika mereka menghalalkan perkara yang haram. Judi bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan sudah dihalalkan oleh UMNO. Banyak pihak termasuk mufti dan Pakatan Rakyat membantah tindakan tersebut dilaksanakan. Namun, bagi UMNO keuntungan dari judilah yang lebih penting daripada persubahatan mereka terhadapnya.

Dengan tindakan itu, maka terang dan jelaslah UMNO mengetepikan ajaran Islam demi kepentingan material. Negara mengaut pendapatan daripada wang haram. UMNO tidak ambil peduli halal dan haram lagi. UMNO tidak ambil kisah dosa dan pahala lagi. UMNO mempersetankan cakap sesiapa sahaja dalam hal ini.

Kata orang, berani buat berani tanggung. Melanggar larangan Allah ada balasan buruknya. UMNO terpaksalah menunggu bentuk balasan yang akan diturunkan-Nya. Sama-samalah kita tunggu!!!

Thursday, May 13, 2010

PAS/DAP MERACUNI UMNO-BN

Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, UMNO selalu mengejek persahabatan antara DAP dengan PAS sebagai tidur sebantal mimpi lain-lain. Apabila politik Malaysia memasuki alaf baharu, ungkapan atau sindiran demikian mati dengan sendirinya. UMNO tahu DAP dan PAS tidak main-main. UMNO tahu apa-apa juga yang tercatat dalam perlembagaan sesebuah parti sifatnya fleksibel. Perbezaan wajib diketepikan jika mahu berpakat. Pada masa ini, PAS dan DAP bekerjasama atas dasar persamaan, iaitu membentuk negara yang demokratik, adil, dan bersatu.

Dasar ini tidak sama dengan UMNO-BN kerana mereka masih tenggelam dalam lautan perkauman. Orang Cina dan India selalu kena sesah apabila UMNO tersepit. Namun sikap lembek MCA, MIC, dan Gerakan menyebabkan mereka terus berada dalam BN walaupun hati mereka terguris. Pemimpin-pemimpinnya pula lebih mementingkan kuasa dan jawatan. Oleh sebab itu, suara majoriti ahli yang menggesa hubungan itu diputuskan tidak diambil berat. Ternyatalah kini bahawa MCA, MIC, dan Gerakan tidur sebantal dengan UMNO tetapi mimpi masing-masing tidak sama!!!

Kekentalan hubungan antara DAP dengan PAS mendatangkan keperitan kepada BN-SUPP di Sibu pada masa ini. Keupayaan PAS mendekati masyarakat bukan Islam di Sibu, terutamanya penganut Kristian menjadi mimpi ngeri BN-SUPP. Mereka tak terlawan isu yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Maka terserlahlah imej PDRM sebagai penyelamat BN apabila melarang Pakatan menggunakan isu kalimah Allah di Sibu sedangkan fitnah dalam isu negara Islam yang dibawa oleh SUPP dibenarkan.

Gelanggang pilihan raya di Malaysia masih tidak rata. BN dibantu oleh pelbagai jentera kerajaan. Hal ini tidak berlaku di negara-negara maju. Sekali gus keadaan ini membuktikan bahawa negara ini masih mundur.

Walau bagaimanapun, Pakatan perlu terus mendekati pengundi di Sibu kerana tanda-tanda peningkatan sokongan terhadap DAP sudah dapat dilihat. Semangat juang yang tinggi akan membawa kejutan di Sibu. Kita perlukan semangat itu, bukannya semangat Melayu Bangkit yang mencurigakan kaum bukan Melayu itu.

Wednesday, May 12, 2010

Ke Mana Kejantanan UMNO?

UMNO pasti akan menggunakan tektik kotor di mana-mana juga pilihan raya jika mereka tidak dapat melawan sesuatu hujah yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat dengan berkesan. Di Permatang Pauh mereka tidak terdaya melawan isu Altantuya. Di Sibu mereka gagal melawan isu kalimah Allah.

Oleh sebab itu, mereka meminta bantuan PDRM. Polis sudah mengeluarkan kenyataan tidak boleh guna isu kalimah Allah sebagai bahan kempen di Sibu. Mengapa? Isu ini telah mencalarkan imej UMNO dengan teruknya. Mereka kehilangan status sebagai parti yang memperjuangkan Islam kerana menentang keputusan mahkamah yang membenarkan media kristian menggunakan kalimah Allah sebagai ganti perkataan God. Penolakan itu telah menyerlahkan perangai buruk UMNO terhadap keputusan yang tidak menyebelahi mereka. Imej mereka diburukkan lagi apabila beberapa gereja dibakar.

Kini mereka sibuk dengan isu Melayu Bangkit pula. Aktiviti perkauman ini akan diadakan pada 13 Mei 2010. Tujuannya adalah untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu supaya tidak diperlekehkan oleh orang lain. Jika demikian tujuannya, tidak payahlah diadakan aktiviti itu. Banyak cara lain yang boleh menaikkan imej orang Melayu. Semangat semata-mata tidak akan menaikkan imej Melayu. Melayu yang miskin hanya akan naik semangat untuk menyalahkan atau memarahi orang lain sebagai sasaran kekecewaan.

Perkara ini membahayakan keselamatan negara yang didiami pelbagai kaum. Perkara ini juga tidak sehaluan dengan konsep 1 Malaysia. Konsep itu tidak bertujuan untuk menegakkan Ketuanan Melayu. Orang Melayu akan hanya menjadi tuan kalau ekonomi mereka berada di mercu, bukan seperti sekarang.

Mengapa setelah DEB gagal mencapai matlamat kita dijangkiti histeria? Yang bersalah bukan orang Melayu tetapi pemimpin-pemimpin Melayu. Mengapa mengambil sikap orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya? Sudah-sudahlah dengan pemikiran sempit itu. Semua rakyat tahu Dasar Pembangunan Nasional pun gagal. Semua rakyat tahu Dasar Wawasan Negara pun tidak sampai ke mana. Kalau tidak masakan Model Ekonomi Baru timbul sebelum tarikh luput dasar itu.

Kita inginkan sebuah negara yang berkebajikan. Semua rakyat dapat berkongsi kekayaannya dengan adil. Kita tidak perlukan pemimpin yang mementingkan perut sendiri dan kroni sahaja. Mesej ini jelas. Tidak ada sedikit pun keraguan. Janganlah kerana takutkan bayang-bayang sendiri kita mengapi-apikan semangat perkauman di tengah-tengah sorak-sorai perpaduan.

Bukan rakyat di Sibu sahaja perlu menolak UMNO dan BN-SUPP. Rakyat di tempat lain pun sama juga. Di mana-mana pun mereka tidak berlawan sebagai anak jantan. Spesies manusia seperti ini tidak patut dijadikan pemimpin kerana mereka lembek dan selalu bersandar kepada orang lain untuk berkuasa hatta kepada musuh agama.

Tuesday, May 11, 2010

Kejahilan UMNO Terserlah di Sibu

Perkembangan yang menggalakkan telah berlaku di Sibu. Isu agama dibangkitkan oleh SUPP. Dakwaannya ialah undi untuk DAP merupakan sokongan kepada PAS untuk membentuk negara Islam. Rakyat sudah tahu bahawa UMNO telah berjaya menakut-nakutkan semua parti bukan Islam dalam BN tentang perjuangan PAS menegakkan sebuah negara Islam di Malaysia. Imej negara Islam ala PAS itu telah ditampalkan dengan ekstremisme dan konservatif. Maka dipancarkanlah ketidaksesuaian pelaksanaan undang-undang Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Dengan berbuat demikian, mereka mengkesampingkan fakta kerajaan Islam yang diwujudkan oleh Rasulullah dihuni oleh masyarakat yang menganut pelbagai agama. Kemuliaan Islam berjaya menyatukan semua anggota masyarakat yang berlainan keturunan dan pegangan agama itu.

Parti-parti bukan Islam dalam BN memang elergik terhadap Islam hasil didikan UMNO. Melalui pendekatan yang berhemah, PAS berjaya membawa pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam PKR dan DAP memahami Islam. Di samping itu, PAS berjaya menarik kaum Cina dan India menyertai Kelab Penyokong PAS. Sokongan pelbagai kaum kepada PAS dan perpaduan erat dalam kalangan pemimpin Pakatan Rakyat telah menimbulkan rasa gentar UMNO-BN. Sebab itulah mereka berusaha memecahbelahkan pakatan ini.

Harus diingat bahawa pembentukan negara Islam hanya wujud dalam PAS. Apabila PAS menyertai Pakatan Rakyat, teras perjuangan PAS itu tidak dipaksa menjadi teras perjuangan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat berjuang untuk membentuk sebuah negara mampu memberi keadilan kepada semua kaum tanpa menggugat Perlembagaan Malaysia. Sehubungan itu, merakyatkan kemakmuran negara dijadikan iltizam oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat. Dengan demikian, segala bentuk kedurjanaan yang selama ini dilakukan oleh UMNO-BN akan diperangi secara habis-habisan.

UMNO mendakwa mereka berjuang untuk agama, bangsa, dan negara. Hakikatnya merekalah yang menentang keputusan mahkamah dalam isu kalimah Allah. Mahkamah membenarkan majalah Kristian menggunakan kalimah itu bagi menggantikan God. UMNO menentangnya sehingga ada gereja yang dibakar. PAS tidak turut serta dalam kesilapan tafsiran yang dibuat oleh UMNO.

Kalimah Allah sememangnya telah lama digunakan dalam Bible berbahasa Arab. Perkara ini bukan satu masalah besar. PAS bersetuju kalimah itu digunakan oleh penganut Kristian asalkan tidak mengelirukan penganut agama Islam. Fakta-fakta sebeginilah yang dijelaskan oleh PAS kepada lebih 50 % penganut Kristian di Sibu. UMNO yang telah tersilap langkah dalam hal ini mula rasa tergugat kerana mereka telah dipersalahkan. Orang yang berprinsip sepatutnya berani buat beranilah tanggung!!!

Pengundi-pengundi di Sibu perlu diberi penerangan yang jelas tentang konsep hidup bersama dalam Islam bagi membersihkan tanggapan negatif terhadap ajaran agama itu yang diselewengkan oleh UMNO. Undi DAP bermakna undi untuk negara Islam PAS ialah propaganda lapuk BN-SUPP.

85% pengundi Cina di Bukit Gantang memilih Nizar. 80% pengundi Cina di Hulu Selangor memilih Zaid. Adakah mereka menyokong pembentukan negara Islam? Pakatan Rakyat tidak pernah pada bila-bila masa meletakkan Islam sebagai teras perjuangan. PAS memperjuangkan Islam dalam kalangan orang Melayu-Islam kerana UMNO menolak Islam dalam erti kata melaksanakan Islam secara berpilih-pilih. Hal ini tidak ada kena-mengena dengan orang bukan Islam.

Hubungan dalam kalangan umat Islam merupakan hubungan saudara segama. Hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam merupakan hubungan sesama insan. Kedua-dua konsep ini akan menjadi pegangan PAS sampai bila-bila. Tidak perlu ada syak wasangka terhadap orang Islam dalam kalangan orang bukan Islam di Malaysia. Hal ini telah dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam PKR dan DAP. Biarkanlah UMNO dengan imej kelabu mereka terhadap Islam. Kejahilan mereka sudah sampai ke tahap menghalalkan judi bola sepak Piala Dunia!!!

Monday, May 10, 2010

KETUMPULAN AKAL SHAFIE AFDAL

Apabila kita hendak menipu orang, ilmu menipu perlu ada dalam diri kita. Kalau ilmu itu tidak ada, orang akan dapat mengesan penipuan kita dengan mudah. Kita akan diperlekehkan dan dianggap tidak cerdik.

Hal ini berlaku kepada Shafie Afdal. Dia mendakwa UMNO-BN tidak merasuah dalam kempen pilihan raya. Alasannya ialah semua yang diberikan pada masa itu sudah diluluskan oleh kerajaan melalui NKRA.

Orang yang cerdik akan segera ternampak aspek kurang cerdik menteri dari Sabah ini. Maksud kenyataan yang dikeluarkannya itu ialah BN sudah menyiapkan wang untuk setiap bahagian pilihan raya sebelum wakil rakyatnya meninggal dunia lagi. Wang itu terus disalurkan setelah wakilnya pergi untuk selama-lamanya. Sejak bila pula UMNO-BN bijak dalam soal ramal-meramal ni?

Jika demikian keadaannya, rakyat ingin mencabar Shafie supaya mendedahkan beberapakah peruntukan yang diberikan kepada DUN Kubang Rotan yang menghadapi kemungkinan diadakan PRK? Berapa pula peruntukan yang telah disediakan kepada DUN Changkat Jering, DUN Behrang, dan DUN Jelapang sekiranya ada PRK di situ?

Kenyataan mendahului masa itu sangat perlu dihebahkan untuk menutup mulut pembangkang yang setiap kali PRK menuduh UMNO-BN merasuah pengundi. Rakyat akan tabik menteri ini jika berani mengeluarkan statistik lengkap tentang peruntukan sebelum sesuatu PRK diadakan. Mustahil untuk beliau mengetahui wakil rakyat mana yang akan meninggal dunia!!!

Dia perlu ingat bahawa selepas diberi tabik hormat, dia akan dikutuk habis-habisan. Rakyat akan kata, "Sudah tahu peruntukan itu ada, mengapa tidak disalurkan sebelum PRK diadakan? Mengapa terhegeh-hegeh memberikannya semasa berkempen? Tidakkah itu bermakna UMNO-BN menangguk di air keruh? Tidak rasuah politikkah namanya?"

Kong kali kong, UMNO-BN kena juga. Mereka tidak boleh menutup kesalahan moral itu. Rasuah politik ialah senjata mereka. Pengundi-pengundi di Sibu perlu menyedari hal ini. Anda sedang diulet dan digiankan dengan dadah berbentuk rasuah politik sekarang ini. Apa-apa juga yang didakwa oleh Shafie Afdal itu kelentong saja. UMNO-BN memang kaki kelentong nombor wahid.

Sunday, May 9, 2010

DERHAKA DAN NASIB MELAYU

UMNO sememangnya menjuarai semua kes penderhakaan terhadap raja di Malaysia. Dengan segala riuh rendah mereka menghentam Zaid yang mentafsir undang-undang berkaitan kuasa sultan menurut konsep Raja Berperlembagaan bagi menunjukkan kepada rakyat betapa derhakanya pemimpin PKR itu. Hal itu mereka lakukan setelah melempar batu sembunyi tangan.

Di Hulu Selangor, UMNOlah yang menggunakan masjid untuk tujuan politik. Buktinya dapat dilihat pada kain rentang yang terpampang semasa kempen PRK Parlimen kawasan itu. Seperti biasa, mereka akan berdiam diri apabila terkena batang hidung sendiri. Mereka berusaha mencari helah untuk menutup kecurangan itu dengan isu lain bagi mengenakan lawan. Zaidlah orangnya. Taktik ini telah lama mereka gunakan. Apabila mereka nampak jerat sudah mengena, maka ampu bodek terhadap raja pun berdendanglah seolah-olah semua dosa lampau mereka menderhaka kepada raja sirna begitu saja.

Orang Melayu masih sedar akan asal-usulnya. Bukan seperti yang didakwa oleh Rais Yatim. Melayu-UMNO sahaja yang tidak sedar diri mengkritik orang lain derhaka kepada sultan sedangkan merekalah yang tidak habis-habis menghina institusi itu tetapi tidak diambil apa-apa tindakan pun. Memang berjaya usaha Mahathir menghapuskan imuniti raja.

Rosmah mendakwa dirinya Wanita Pertama Malaysia. Dia bukan isteri ketua negara. Isteri ketua negara ialah Raja Permaisuri Agong. Takkanlah hal ini pun tidak diketahui oleh Najib. Nak berlagak pun tengok tempatlah. Oleh sebab lagak tidak bertempat itulah dia sanggup menderhaka kepada institusi raja. Seluruh rakyat Malaysia tahu, Rosmah telah menderhaka. Namun demikian, peristiwa itu sekadar menambahkan koleksi penderhakaan terhadap raja yang dilakukan oleh UMNO, tidak lebih daripada itu. Lagi pun tiada siapa yang takut berbuat demikian kerana tulah tidak lagi berdaulat setelah Mahathir menghapuskan imuniti raja.

Yang mendukacitakan kita ialah orang Melayu sendiri yang tidak endahkan kedaulatan raja. Kita tidak boleh mengharapkan orang bukan Melayu untuk menaikkan martabat raja-raja. Apabila kita sendiri memperlekehkan institusi itu, di mana lagi tonggak pergantungan kita? Maka mudahlah bangsa kita diperkotak-katikkan oleh orang lain. Ke mana perginya maruah kita sebagai bangsa yang bertamadun tinggi itu?

Sudah sampai masanya untuk orang Melayu merenung ke dalam diri mereka. Apa kekuatan yang mereka ada? Kekuatan ekonomi jauh panggang dari api. Dasar Ekonomi Baru (DEB)berlalu dengan pencapaian 18% daripada sasaran 30% gara-gara rasuah, salah guna kuasa, dan sebagainya. Dasar Pembangunan Nasional yang cuba menebus kegagalan itu hangus begitu sahaja. Siapa yang percaya Malaysia akan muncul sebagai negara maju sepuluh tahun dari sekarang? Dasar Wawasan Negara sudah tentulah gagal mencapai matlamat asal DEB kerana belum sempat habis tempoh, Model Ekonomi Baru pula diperkenalkan tanpa meletakkan sasaran berasaskan kaum seperti DEB untuk mengelak daripada terus dicaci sekiranya gagal dicapai. Helah itu sememangnya menjadi pilihan pemimpin yang tidak yakin kepada kebolehan sendiri dan tidak benar-benar ikhlas berkhidmat kepada kaumnya.

Adakah orang Melayu sudah hebat pencapaiannya dalam bidang pendidikan? Apa sandarannya? Yang pandai jadi pelacur. Yang hebat menabur bakti di luar negeri kerana tidak tahan dengan karenah birokrasi di negara sendiri. Hal ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, orang Cina dan India pun begitu juga. Majoriti pekerja yang otaknya sederhana ke bawah sahaja yang tinggal di negara ini. Betulkah begitu? Jika betul janganlah berangan-angan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

Adakah orang Melayu hebat dalam bidang politik? Buat persempadanan kawasan pilihan raya pun merugikan bilangan ahli Melayu dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Pangkah undi pun tak pandai. Bila Perak jatuh ke tangan Pakatan, orang Melayu histeria kerana ramai Cina dalam kerajaan, majoriti Melayu jadi pembangkang. Mereka jadi histeria kerana perbuatan sendiri. Tidak ada kena-mengena dengan orang Cina dan India langsung. Orang Melayulah yang sokong UMNO hingga jadi pembangkang di Perak. Hal ini tidak akan terjadi kalau mereka sokong Melayu PAS dan Melayu PKR. Tidak timbul jugalah kuasa Melayu terhakis. Orang Melayu hanya nampak kuasa mereka terhakis apabila ADUN Melayu UMNO tertonggok sebagai pembangkang di DUN Perak. Apa mereka buat? Rampas kuasa.

Hebatkah Melayu Perak sekarang? Dulu mereka tuduh Nizar boneka Cina. Kini mereka beri RM50,000.00 kepada setiap bahagian MCA di Perak. Tidakkah itu juga mencerminkan UMNO boneka Cina. Suku-sakat mereka tidak kata begitu. Kalau UMNO buat tak apa. Sebab itulah ambil Tanah Simpanan Melayu tak ganti sampai sekarang pun tak apa. Siapa yang lebih lahanat (pinjam kata orang Melaka) dalam hal ini? Melayu UMNOlah.

Orang Melayu tidak pernah hebat di negara ini. Orang Melayu suka susukan kera di hutan, anak di rumah mati tak makan. Hilang pulau pun tak apa. Hilang telaga minyak pun tak apa. Mengapa? Situasi Menang-Menang!!! Bawa APCO masuk dalam kelambu pun tak apa. Halalkan judi bola sepak Piala Dunia pun tak apa kerana UMNO ialah sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Itu yang mereka kata apabila dilanyak oleh PAS.

Hingga ke tahap ini, UMNO memang sudah tidak keruan. Mereka sudah hilang akal. Mereka tidak kenal lagi halal dan haram. Mereka tidak tahu lagi dosa dan pahala. Mereka tidak hirau lagi ayat al-Quran tentang larangan berkawan dengan Yahudi. Yang mereka champion ialah kedarah rasuah, main isu perkauman, caci orang Cina dan India, dan berbuat baik semasa ada pilihan raya. Rakyat yang pening-pening lalat digiankan oleh rasuah politik terus pangkah dacing walaupun kena kencing lebih daripada setengah abad!!!

Saturday, May 8, 2010

KELAPOKAN PEMIKIRAN PEMIMPIN

Sekarang bukanlah masa untuk bersenang-lenang, bersantai, dan sebagainya. Sekarang merupakan masa yang sangat sesuai untuk menghisab kekuatan dan kelemahan diri. Hampir separuh penggal telah berlalu sejak PRU Ke-12 diadakan. Sepanjang tempoh itu, dunia politik di Malaysia dihiasi dengan politik mundur dunia ketiga.

BN cerca Pakatan. Pakatan cerca BN. Itu sahaja yang mampu dikehadapankan. Tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan menjadi satu benda yang terbengkalai. Mengapa pemikiran ini menguasai kita? Sebabnya ialah kebanyakan parti siasah di Malaysia terlalu taksub dengan politik lama.

Yang tercabar bukan sahaja tidak mampu memikirkan cara terbaik untuk menawan kembali hati rakyat malahan juga bertempek-tempek dengan kedurjanaan dan kemungkaran. Apabila mereka cuba mengenakan lawan, tempelakan itu datang semula kepada mereka. Ketidakbolehan menampan arus serangan itu menyebabkan mereka bermain kotor. Maka politik berbalas serangan yang tidak menguntungkan rakyat ini menjadi budaya politik Malaysia.

Rakyat sudah jemu dengan teknik dan taktik yang telah diamalkan sejak negara ini mencapai kemerdekaan. Mereka mahu melihat tindakan bukan percakaran. BN ada kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri untuk ditadbiruruskan. Pakatan ada kerajaan-kerajaan negeri yang wajib diurustadbirkan. Tidak bolehkah perkara ini diutamakan? Patutkah BN menyibukkan diri dengan menelanjangi keburukan Pakatan sedangkan mereka sendiri diselaputi pelbagai noda yang tidak mampu dibanteras?

Rakyat tahu BN gagal walaupun sudah lebih 50 tahun memerintah. Rakyat tahu terlalu sedikit yang boleh dilakukan oleh Pakatan dalam tempoh dua tahun lebih sedikit ini. Mengapalah perkara itu yang diulang tayang saban waktu? Cetek sangatkah kebolehan minda mereka? Jika demikian, tidak payahlah bersusah-susah untuk menjadi pemimpin.

Perihal negeri-negeri yang dikuasai Pakatan mendapat pujian pelbagai pihak telah dimaklumi oleh rakyat. Perihal jabatan-jabatan kerajaan berbelanja tidak berhemah juga telah diketahui oleh rakyat. Mereka tahu siapa yang lebih baik. Jika demikian, mereka akan menyokong Pakatan. Hakikatnya perkara itu tidak berlaku. Candu dalam bentuk rasuah politik juga yang mereka giankan.

Kini penagih rasuah politik yang tegar melebihi mereka yang bersih daripada noda itu. Pemimpin yang melakukannya dimuakan kerana institusi yang diberi tanggungjawab membanterasnya membutakan mata dan memekakkan telinga. Realiti yang semakin menyubur ini akan meruntuhkan kredibiliti ummah di Malaysia.

Mereka tidak kenal halal haram lagi. Mereka tidak peduli dosa dan pahala lagi. Hati mereka semakin jauh dengan petunjuk dalam Kitab Suci al-Quran. Sehubungan itu, PAS perlu menggembleng tenaga untuk memerangi kekufuran ini. Dana berjumlah RM20 juta tidak cukup untuk menawan Putrajaya. Dana untuk memenangkan Islam itu perlu digandakan dan diusahakan seberapa segera yang boleh.

Atas keyakinan bahawa hanya Islam yang mampu membetulkan semua kedurjanaan yang sedang bermaharajalela sekarang ini, seluruh umat Islam di Malaysia perlu menyahut seruan tersebut. Kita tiada pilihan lain. Musuh sudah berada dalam kelambu kita. Rasuah tidak menjadi sesuatu yang menjijikkan lagi. Keuntungan daripada hasil arak dan judi menjadi sebahagian daripada pendapatan negara. Pendapatan yang diterima oleh rakyat, termasuk imam, kadi, dan mufti masih bolehkah dianggap suci?

Friday, May 7, 2010

KESERABUTAN YANG MENYELIRAT

Suasana serabut sedang menyelubungi angkasa raya negara kita. Bermacam-macam hal yang tidak enak didengar berlaku dan terus berlaku. Kita dikejutkan oleh hubungan kerajaan pusat dengan YAHUDI- ZIONIS-APCO. Kita menyaksikan rasuah politik terpaksa digunakan di Hulu Selangor apabila pembunuhan karektor melalui fitnah bukan sahaja gagal berfungsi malahan kena batang hidung sendiri. Kita disogokkan dengan isu politik di masjid yang cuba sedaya upaya melaga-lagakan Sultan dengan Pakatan Rakyat. Kita diusik oleh isu RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah. Kita dikedukan dengan kehilangan dua telaga minyak bernilai ratusan bilion ringgit kepada Brunei. Kita terperanjat besar apabila polis menembak mati budak sekolah berusia 15 tahun.

Kesemua ini membayangkan pihak yang berkuasa di negara ini tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan betul. Keikhlasan mereka boleh dipersoalkan. Kesannya ialah munculnya krisis kepercayaan terhadap institusi-institusi yang disandarkan harapan untuk memartabatkan maruah agama, bangsa, dan negara.

Sehubungan itu, kita pun bertanya, "Apa hendak jadi dengan negaraku ini?" Dari sehari ke sehari kita menyaksikan kebatilan demi kebatilan muncul di hadapan mata. Tuhan Yang Maha Kuasa menunjukkan kepada kita hakikat yang sebenarnya. Terpulanglah kepada kita untuk memberi respon terhadapnya.

Situasi "harapkan pagar, pagar makan padi" kini terserlah. Mahu atau tidak, kita perlu membuat keputusan bagi mengelakkan bencana yang lebih besar. Rakyat perlu menggunakan kuasa mereka untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sendiri terjamin di negara tercinta ini.

Thursday, May 6, 2010

RASUAH BUDAYA MALAYSIA?

Kebudayaan bermaksud cara hidup yang menyeluruh. Cakupannya ialah sosial, politik, dan ekonomi. Bidang sosialnya termasuklah agama, pendidikan, kesihatan, perundangan, dan sebagainya. Bidang politiklah termasuklah kepartian, pemerintahan, pentadbiran, dan hubungan antarabangsa. Bidang ekonominya termasuklah kewangan, perniagaan, perindustian, dan perkhidmatan.

Kesemua aspek yang disebutkan itu mengandungi nilai dan peraturan yang dipersetujui secara bersama dan bersepakat serta diamalkan dalam kalangan masyarakat yang mendukunginya.

Kini timbul satu persoalan yang tidak kurang pentingnya dalam negara ini. Adakah rasuah sudah menjadi satu budaya dalam masyarakatnya? Kita perlu melihatnya dari pelbagai sudut. Dalam komuniti UMNO, rasuah sudah boleh dianggap sebagai barah yang sukar disembuhkan. Tanggapan ini dibuat kerana entiti itu telah menjadi amalan biasa setiap kali diadalah pemilihan parti. Dalam komuniti pentadbiran, rasuah menjadi sebahagian daripada pelbagai bentuk kecurangan yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Dalam komuniti pemerintahan, rasuah diamalkan secara berleluasa dalam projek pembelian harta dan pembangunan negara. Dalam pilihan raya, rasuah bukan lagi sesuatu yang dianggap jijik oleh rakyat. Anehnya, pemberian rasuah dilakukan secara terang-terangan oleh parti pemerintah kepada pengundi dengan pelbagai alasan yang sudah dimaklumi oleh kebanyakan orang.

Dengan sedemikian banyak sektor dan anggota masyarakat yang terlibat dengan gejala rasuah, kita sudah boleh membuat kesimpulan bahawa aspek itu sekurang-kurangnya sudah mencapai tahapnya sebagai alat yang sangat berkesan dalam bidang politik. Memberi rasuah akan menentukan kemenangan seseorang calon dalam pilihan raya. Kesannya menjalar kepada sistem pentadbiran dan pemerintahan. Apabila sistem ini korup, maka seluruh jentera kerajaan dijangkiti oleh penyakit yang sudah mencapai tahap kronik itu.

Keadaan ini sangat bahaya bagi pertumbuhan masyarakat kerana ahli-ahlinya akan beranggapan mereka tidak boleh hidup tanpa rasuah. Rasuah perlu dihulur untuk mendapatkan sesuatu yang berharga. Pertimbangan ini akan meruntuhkan maruah penghuni sesebuah negara. Oleh sebab itu, semua pihak perlu memeranginya pada setiap bahagian, tanpa kecuali.

Wednesday, May 5, 2010

SINGKIRKAN PENGKHIANAT

Ada dua perkembangan mutakhir yang membuktikan pemimpin-pemimpin UMNO mewajarkan segala perbuatan mereka. Sebaliknya, mereka menyebarkan pelbagai fitnah untuk menjahanamkan imej lawan.

Ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak, Nizar telah ditohmahkan sebagai boneka Cina, kuda tunggangan DAP, dan mengetepikan hak Melayu. Perkara ini dilaung-laungkan di semua media massa tanpa henti.

Kini, Zambry memberi RM50,000.00 kepada setiap bahagian MCA di Perak walaupun parti itu hanya menang satu kerusi dalam PRU Ke-12 dahulu. Langkah ini memperlihatkan kepada kita bahawa UMNOlah yang sebenarnya menjadi kuda tunggangan MCA, sebuah parti perkauman Cina.

Perlu diingat bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah melakukan perkara sedemikian semasa memegang tampuk pemerintahan. Nampaknya UMNO ludah ke langit kena batang hidung sendiri dan paku dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih.

Najib tanpa segan silu menipu rakyat Sarawak, terutamanya pengundi Sibu. Dia kata keputusan rundingan yang menyebabkan Malaysia kehilangan hak telaga minyak yang bernilai ratusan bilion ringgit kepada Brunei sebagai win-win situation. Suatu ketika dahulu, Rais kata benda yang sama semasa Pulau Batu Puteh jatuh ke tangan Singapura dan Malaysia hanya dapat terumbu batu yang timbul tenggelam.

Rakyat tidak mungkin terpesona dengan kata-kata manis yang dikeluarkan oleh pemimpin negara yang ternyata kehilangan wibawa. UMNO sanggup melutut kepada MCA semata-mata kerana inginkan undi kaum Cina. UMNO sanggup melepaskan hak negara dan kemudian mengaku diri mereka juara rakyat. Sungguh tidak bermaruah golongan ini.

Rakyat perlu membuat keputusan yang betul untuk menghalang golongan ini daripada terus melakukan perbuatan khianat. Rakyatlah yang menjadi raja dalam negara ini. Pemimpin ialah hamba raja. Hamba raja yang khianat tiada tempat di negara ini. Mereka wajib disingkirkan.

Tuesday, May 4, 2010

MUSNAHKAN SEMUA KEPINCANGAN

Dengan berbekalkan sokongan yang kuat daripada pelbagai kaum di Malaysia, Pakatan Rakyat perlu terus maju ke hadapan tanpa mempedulikan carcaan yang dihamburkan oleh Barisan Nasional yang gentar dengan keeratan hubungan antara PAS, DAP, dan PKR.

Kita akui ada masalah pemimpin hampas dalam PKR tetapi kesemua mereka sudah angkat bungkus kerana mendapat habuan yang istimewa daripada Barisan Nasional. Keberangkatan mereka tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan. Hal ini terbukti dengan peningkatan undi di Hulu Selangor walaupun taktik teramat kotor dilaksanakan oleh Barisan.

Pakatan perlu terus memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat negara ini berasaskan Perlembagaan Malaysia. Kemakmuran negara perlu dinikmati oleh semua kaum bukannya segelintir kroni dan para pemimpin yang rakus menghentam khazanah negara.

Penentangan terhadap amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan segala macam kemungkaran perlu diteruskan biar seperit mana sekalipun. Serangan demi serangan pasti dilancarkan oleh Barisan terhadap Pakatan. Situasi ini tidak akan ada noktahnya ketika Barisan sedang dihimpit oleh dosa yang mereka sendiri tempah.

Mereka membiarkan hak negara terlepas ke tangan orang lain. Mereka mendedahkan keselamatan negara kepada musuh yang telah Allah nyatakan dalam kitab suci al-Quran. Sampai bila kita harus membiarkan semua kecurangan ini berlalu begitu sahaja?

Mereka berkhidmat hanya ketika kempen pilihan raya. Bagi mereka tugas dan tanggungjawab kerajaan itu perlu dihimpun dan dicurahkan kepada pengundi di kawasan yang ada PRK sahaja. Rakyat di kawasan lain tiada hak untuk mendapatkannya sekalipun terletak bersebelahan dengan kawasan PRK tersebut. Inilah nasib rakyat Malaysia yang diburukkan oleh UMNO-Barisan.

Rakyat Malaysia telah melihat segala-galanya dengan mata kepala mereka sendiri. BN tidak pernah berubah sekalipun sudah berkali-kali PRK diadakan pasca-PRU Ke-12. Ketiadaan perubahan itu diakibatkan oleh sifat tidak ikhlas mereka sebagai pemimpin. Kitalah yang perlu mengubahnya.

Monday, May 3, 2010

PENGKHIANAT MENGAKU BAIK

Najib menyindir Pakatan Rakyat semasa berucap di Sibu, Sarawak. Dia membayangkan seolah-olah Pakatan Rakyat tidak pandai berpolitik kerana menggunakan taktik jahat. Katanya lagi, BN akan tunaikan janji untuk memacu kemajuan kawasan dan negara.

Sesiapa juga yang mendengar kenyataan itu akan rasa terpesona. Namun, semua rakyat sudah tahu BN bermain kotor bukan sahaja di Hulu Selangor malahan juga di tempat-tempat lain sebelum ini.

BN tidak akan berjaya untuk berlindung di sebalik sehelai lalang tentang hal ini. Mereka menyogok wang kepada pengundi setiap kali pilihan raya diadakan, tidak kira PRK ataupun PRU. Aktiviti merasuah dan membeli undi ini dipandang sebelah mata sahaja oleh SPRM. Jumlah wang yang beredar itu banyak jumlahnya, puluhan dan ratusan juta ringgit.

BN tidak pernah menunjukkan sikap gentleman apabila menang atau kalah dalam sesuatu pilihan raya. Semasa kalah di Bukit Gantang, mereka mengutuk kaum Cina sebagai tidak tahu berterima kasih walaupun diberi bantuan berjuta-juta ringgit hanya sanya kerana memangkah Pakatan Rakyat. Semasa menang di Hulu Selangor, mereka terus mengutuk kaum Cina yang memberi undi kepada Pakatan Rakyat.

BN bukan pejuang demokrasi. Mereka mahu rakyat mengundi BN sahaja dalam pilihan raya. Jika begitu kehendaknya, Malaysia perlu menggunakan sistem satu parti. Habis cerita.

Kutukan terhadap orang Cina akan berterusan selagi BN gagal menawan hati kaum Cina. Kutukan terhadap kaum India kini dihentikan kerana dikatakan kaum ini telah kembali kepada BN. Sebelum ini, kaum India juga menerima kutukan yang serupa dengan kaum Cina. Namun demikian, masih terdapat ramai kaum India yang menyokong Pakatan Rakyat. BN masih gagal menguasai kaum India sepenuhnya.

Sikap UMNO-BN memang aneh. Pemimpin mereka tidak menerima perbuatan seumpama itu sebagai rasis. Alasan yang diberikan ialah mereka tidak pernah melakukan pembersihan etnik seperti yang pernah berlaku di Eropah. Yang mereka lakukan ialah mempamerkan rasa sayangkan bangsa, membanggakan bangsa, dan membela bangsa.

Mereka lupa bahawa bahawa merekalah yang mengkhianati bangsa mereka sendiri selama lebih daripada 50 tahun. Beranikah pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan bahawa setelah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, dan Dasar Wawasan Negara dilancarkan, orang Melayu sudah setanding dengan orang Cina? Jika tidak berani usahkan cakap berdegar-degar di khalayak ramai kerana orang akan mengecap anda dengan kutukan "Kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik".

Sunday, May 2, 2010

UMNO MENJERAT DIRI DENGAN RASUAH POLITIK

Hakikatnya Pakatan Rakyat tidak menang di Hulu Selangor kerana UMNO telah memberi rasuah politik kepada pengundi-pengundi Melayu dan India. Kenyataan ini diterima setelah membuat kajian terhadap laporan yang diberikan oleh pemerhati antarabangsa dan menilai maksud tersirat penjelasan Najib kepada rakyat bagi menjawab tuduhan Pakatan Rakyat.

UMNO terjerat dalam kes ini. Namun demikian, SPRM yang sememangnya menjadi kembar UMNO mengambil sikap pekak dan bisu terhadap kritikan tersebut. Kewujudan fenomena ini benar-benar mencemarkan proses demokrasi di Malaysia.

Setelah meneliti kembali statistik yang dikeluarkan tentang keputusan menyeluruh PRK itu, didapati bahawa sokongan pengundi Melayu dan India yang boleh dikategorikan sebagai penghuni pinggir bandar terhadap Pakatan Rakyat ternyata bertambah. Begitu juga halnya dengan sokongan peneroka Felda. Situasi tersebut terpancar dalam jumlah undi yang diperoleh Zaid melebihi jumlah undi yang diperoleh Allahyarham Dato' Zainal.

Keputusan akan menyebelahi Zaid sekiranya penyokong-penyokong Pakatan yang dipindahkan kawasan mengundi mereka kekal di Hulu Selangor. SPR telah lama menjadi parti komponen tidak rasmi BN.

Perkembangan ini melegakan Pakatan. Tidak semua pengundi pada abad ini sama ada di luar bandar, pinggir bandar ataupun bandar termakan dengan rasuah politik UMNO. Parti rasuah nombor wahid di Malaysia ini pasti tidak dapat menghulurkan rasuah politik sebesar di Hulu Selangor apabila PRU Ke-13 diadakan nanti. Ketika itu mereka akan menderita kekecewaan akibat kebebalan sendiri.

Fakta tidak mungkin dikalahkan oleh fitnah. Fakta hanya boleh dikalahkan oleh rasuah politik. Kedua-dua kenyataan inilah yang bersarang di Hulu Selangor. Sekali gus menjadi amaran awal kepada UMNO-BN. Pengundi-pengundi tidak boleh digula-gulakan selama-lamanya. Minda mereka yang dibuka oleh ledakan maklumat mudah mencium muslihat UMNO dan sekutu-sekutu mereka untuk mengekalkan kuasa.

Pakatan tidak perlu berduka lara dengan kegagalan di Hulu Selangor. Peningkatan sokongan perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Jentera Pakatan tidak boleh duduk diam. Mereka perlu menggempur pengundi-pengundi di kampung-kampung sekerap mungkin. Hal ini mampu dilakukan kerana cantuman ahli-ahli PAS, DAP, dan PKR ramai jumlahnya.

Siri ceramah perlu dikampungkan. Pendekatan yang digunakan perlu sesuai dengan tahap pemikiran orang kampung. Aktiviti-aktiviti kampung seperti gotong-royong, kenduri-kendara, bersunat, khatam Quran, Maulidur Rasul, cukur jambul, marhaban, berzanji,dan sebagainya perlu dimanfaatkan dengan segera. Melaluinya aktiviti penambahan ahli boleh dijalankan. Pungutan derma untuk mengisi dana perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini boleh dilaksanakan. Fakta benar tentang kebatilan UMNO dapat disebarkan. Fitnah UMNO terhadap Pakatan dapat dipatahkan.

Kita perlu sedar bahawa tidak ramai ahli UMNO yang cenderung kepada program-program keagamaan kerana sikap mereka yang sekular, keelitan, dan materialistik. Dengan perasaan rendah diri, Pakatan perlu mendekati golongan pengundi kampung tidak kira golongan veteran, golongan wanita, mahupun golongan muda secara berhemah.

Biarkanlah UMNO menjerat diri mereka dengan duit. Duit bukan segala-galanya dalam kehidupan ini. Sentuhan sanubari yang diiringi keikhlasan, kesungguhan, dan berterusan akan membawa kejayaan dengan izin Allah Subahanahu wa Ta'ala.

Saturday, May 1, 2010

JANGAN MAIN SESAH SAHAJA

Kes penyerahan telaga minyak kepada Brunei menjadi bahan pertikaian antara dua orang mantan Perdana Menteri. Hal ini tidak seharusnya berlaku. Namun, apabila berlaku, rakyat yang mengikutinya dirundung rasa jengkel yang memualkan.

Dari masa ke masa ada-ada saja perlakuan khianat ditonjolkan kepada rakyat. Barangkali inilah akibat kerja tidak berkat yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO. Rakyat yang semakin cerdik perlu memberi perhatian yang serius terhadap kedurjanaan tersebut.

Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlalu begitu sahaja. Yang pasti telah banyak kerja buat UMNO yang tidak bertanggungjawab. Tersangatlah dikesalkan apabila melihat reaksi negatif rakyat terhadap perlakuan-perlakuan tersebut. Seolah-olah mereka menerimanya dengan tangan terbuka.

UMNO-BN tidak dihukum di Hulu Selangor. Adakah BN-SUPP juga tidak akan dihukum di Sibu? Jika benar-benar terjadi, negara ini sedang menuju kehancuran. Rakyat membiarkan saja perbuatan buruk pemerintah.

Situasi tersebut menunjukkan mentaliti rakyat dan pemerintah berada pada tahap yang sama. Rakyat dan pemerintah sama-sama korup. Rasuah sudah menjadi rencah kehidupan di negara ini.

Sebelum terlambat, kita perlu pulang ke pangkal jalan. Kita perlu kembali menghayati ajaran agama. Kita perlu menyedari hukum-hakam. Dosa dan pahala. Balasan baik dan balasan jahat. Jangan main sesah sahaja.

Biarkanlah UMNO-BN dengan sekularisme mereka. Agama dipakai ketika perlu sahaja. Itu pun ambil secara berpilih-pilih. Janji Allah semuanya benar. Kita tiada pilihan. Kita bertanggungjawab membetulkan keterlanjuran dengan apa-apa cara sekalipun. Kita perlu ingat bahawa apabila bencana diturunkan, semuanya akan terkena, tidak kira siapa. Insaflah sebelum terlambat.