Suatu ketika dahulu, semasa UMNO kuat, PAS ditendang keluar dari BN. Mereka juga mengejek hubungan PAS-DAP sebagai tidur sebantal, mimpi lain-lain. Namun demikian, iklim politik Malaysia tidak selalunya menyebelahi UMNO-BN.
Mereka terkapai-kapai apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988. Mereka sesak nafas di Kelantan apabila PAS-Semangat 46 sapu semua kerusi DUN di Kelantan. Yang timbul ketika itu ialah penghinaan UMNO terhadap institusi raja.
Mereka terpukul lagi apabila kes mata lebam Anwar Ibrahim dan novel Shit karangan Dato' Shahnon Ahmad mencalar imej Mahathir sehingga akhirnya dia berundur dan digantikan oleh Pak Lah.
Pasang surut prestasi UMNO-BN seiiring dengan gabungan parti-parti pembangkang yang longgar dan sikap lalang beberapa buah parti di Sabah. Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, dan nama-nama lain bukan sahaja berjaya menyakiti UMNO-BN malahan juga retak di persimpangan jalan. DAP pernah masuk keluar gabungan itu. PBS sekejap jadi pembangkang tetapi lebih banyak tidur di bawah ketiak UMNO-BN.
Gaulan situasi ini memberi advantage kepada UMNO-BN. Mereka tetap berkuasa walaupun ada kalanya teramat perit. Dalam kenikmatan yang disekalikan dengan keperitan itu, UMNO dibuai dan diulit oleh kuasa sehingga mereka terlanjur melakukan pelbagai perbuatan mungkar.
Anehnya, pada masa itulah Pak Lah muncul sebagai individu yang disanjung sebagai Mr. Clean. Imej itu tidak sekata dengan keupayaannya memerintah. Banyak kesilapan yang dilakukan sehingga membangkitkan kemarahan rakyat. Banyak amalan kotor dilakukan oleh para pemimpin UMNO-BN sehingga menimbulkan rasa meluat rakyat kepada mereka lalu terhukum dalam PRU Ke-12.
Najib terus bergelumang dalam imej buruk itu kerana bukan sahaja enggan membersihkan dirinya tetapi juga menunjukkan sikap flip-flop dalam pemerintahan serta terbukti gagal mentadbir dan menjana ekonomi negara. Banyak kes yang tak sudah-sudah dibawa ke hadapan. Kes Altantuya. Kes rampasan kuasa di Perak. Kes Seks Presiden MCA. Kes PKFZ. Kes konspirasi liwat II, dan sebagainya. Kes-kes ini terapung bersama-sama dengan kes Teoh Beng Hock, kes Kugan, kes enjin jet TUDM, kes-kes mahkamah syariah, kes Pos Malaysia, kes FELDA bankrup, ke Sime Darby, dan pelbagai lagi. Timbunan kes-kes itu dilimpahi pula oleh kes APCO, kes kewarganegaraan kepada pendatang asing, dan kenaikkan harga barang.
UMNO-BN yang dipimpin Najib sendat dengan kes yang bertambah-tambah dari hari ke hati. Tiada satu pun yang menampakkan tanda penyelesaian, melainkan hanya didiamkan secara semula jadi. Bahayanya ialah semuanya muncul kembali apabila kempen pilihan raya bermula, tidak kiralah PRK atau PRU.
Kes curi pasir yang dibesar-besarkan di Selangor tidak mampu membendung kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga tiga jenis bahan bakar, gula, dan gas. Kononnya atas dasar pelarasan subsidi dan penjimatan. Walau bagaimanapun, rakyat terus menyaksikan kerajaan berbelanja besar dalam pelbagai projek yang sedang rancak dijalankan. Sikap kurang bijak ini sudah pastilah menjatuhkan kualiti, kredibiliti, dan integriti Kerajaan UMNO-BN.
Peliknya, ketika UMNO diserabuti pelbagai permasalahan yang melemaskan itu, mereka bercakap tentang kerjasama dengan PAS. Ini satu lagi kes yang menampakkan betapa bercelarunya pemikiran para pemimpin UMNO menghadapi kemelut dalam diri yang mereka sendiri cipta. PAS sudah membuat keputusan untuk bersama dengan Pakatan Rakyat dan memutuskan sebarang kerjasama politik dengan UMNO. Kenyataan semudah ini pun gagal difahami oleh UMNO. Sebenarnya bukan mereka tidak faham. Mereka ada agenda lain, iaitu memporakperandakan Pakatan Rakyat apabila ada dalam kalangan pemimpinnya yang gatal punggung bercakap dan percakapan itu diputarbelitkan.
Kita tidak perlu kasihan kepada UMNO-BN yang sokongan terhadapnya sedang merudum kerana mereka sendiri yang menciptanya. Perpecahan dalam bahagian-bahagian UMNO pun tidak dapat dikawal apatah lagi permasalahan negara. Kita kuburkan mereka. Kita gantikan dengan yang lain.