10
Cara Untuk Menggunakan Masa dengan Baik
Allah berfirman;
“Demi Masa! Sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”
(Surah Al-Asr,Ayat 1-3)
Kita sering merasa
terburu-buru mengejar masa kerana perlukan masa yang banyak bagi melakukan
aktiviti harian. Ini akan menyebabkan kerja yang kita lakukan menjadi kelam
kabut. Tahukah anda, kekayaan masa iaitu mempunyai masa yang cukup untuk
melakukan apa yang kita suka adalah satu nikmat yang tak terhingga?
Kami bantu anda dengan
memberikan 10 tips pengurusan masa dengan baik.
1.
Rancang jadual harian
Rancang jadual aktiviti
harian adalah penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk
bersama diri sendiri, keluarga dan juga untuk Allah Swt. Pengurusan masa adalah
pengurusan kehidupan harian kita. Berjaya mengurus masa bermakna kita berjaya
menguruskan hidup kita.
Anda boleh mulakan hari anda
dengan melakukan kerja-kerja yang paling penting di awal pagi. Anda juga boleh
rancang jadual anda pada hari atau minggu sebelumnya.
2.
Tetapkan had masa untuk setiap tugas
Jangan lakukan sesuatu tugas
lain sebelum menyelesaikan tugas yang kita sedang lakukan. Sentiasa periksa
jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Sentiasa tanya diri sendiri, bilakah
tugas yang sedang dilakukan itu boleh selesai? Bilakah ianya perlu
diselesaikan. Adalah lebih bagus untuk
menyiapkan tugasan lebih awal supaya anda ada lebih masa untuk memeriksa
tugasan anda. Ini akan memastikan tugas
yang sedang dibuat akan mencapai matlamat yang berkualiti. Ini juga akan
membantu kita untuk lebih fokus dalam menyiapkan tugasan yang kita perlu
lakukan.
3.
Tahu deadline anda
Bukan mudah bagi kita untuk
merancang kerja yang perlu dilakukan. Set tarikh akhir (deadline) untuk
menyelesaikan kerja kerana ini akan mengurangkan rasa risau kerana merasa tidak
mencukupi masa. Melakukan tugasan tanpa
tahu tarikh akhirnya seperti anda tidak tahu arah tuju atau kesudahan tugasan
tersebut. Ini menyebabkan anda akan
mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya.
4.
Belajar untuk berkata “TIDAK”
Daripada semua tips
penggunaan masa dengan baik, barangkali yang paling efektif ialah selalu
menggunakan perkataan tidak. Belajarlah menolak dengan menggunakan
kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang tidak menunjang
pencapaian sasaran anda. Kadang-kadang,
bila kita berani mengatakan tidak kepada ajakkan kawan-kawan, atau kepada
perkara-perkara yang tidak memberikan kesan besar kepada kita, kita boleh
gunakan masa tersebut untuk perkara yang lebih memberikan kebaikan kepada kita.
5.
Teknik 15 minit lebih awal
Dalam zaman sekarang, sangat
mudah untuk kita mengawal masa. Kita
boleh gunakan telefon bimbit sebagai penjaga masa kita. Dalam telefon bimbit, kita boleh setkan
‘reminder’ untuk memberi peringatan kepada kita tentang jadual dan waktu yang
tepat. Ada orang menggunakan kaedah
menetapkan waktu jam 15 minit lebih awal dari waktu sebenarnya supaya kita lebih
berdisiplin dan mengelakkan dari terlambat.
6.
Fokus
Kita akan memberi lebih
tumpuan dalam melakukan kerja sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Buat
sesuatu kerja dengan memastikan kerja tersebut merupakan perkara yang utama
perlu diselesaikan. Untuk membantu anda fokus, anda boleh kurangkan gangguan di
sekitar anda. Anda boleh ‘silent’ kan
telefon bimbit, matikan notifikasi media sosial anda, jauhkan diri dari
televisyen, YouTube dan lain-lain yang boleh mengalih perhatian anda dari terus
fokus.
7.
Jejaki masa yang dihabiskan
Lihat kembali pencapaian
masa yang telah kita gunakan dalam sesuatu kerja. Gunakan teknik ini dengan memperkembangkan
lagi fokus dalam matlamat yang perlu kita capai. Ramai antara kita tak pernah “keep track”
berapa banyak masa yang kita gunakan untuk selesaikan sesuatu perkara. Sebagai
contoh, cuba jejaki berapa banyak masa untuk anda siapkan satu tugasan yang
biasa anda lakukan dan cuba lakukannya lebih cepat keesokkan hari. Anda akan mula perasan anda ada lebihan masa nanti.
8.
Tidak kecoh dengan perkara-perkara tidak penting
Ramai antara kita selalu
menyalahgunakan masa dengan kecoh dengan perkara-perkara yang tak ada kena
mengena dengan kita. Contoh jelas, jika
berlaku kemalangan di lebuh raya, ramai pemandu akan berhenti semata-mata untuk
tengok. Ini akan menyebabkan anda lambat
sampai ke lokasi dan juga melambatkan orang lain. Jangan
kecoh dan kepoh dengan perkara-perakara yang tidak membawa kebaikan.
9.
Jangan lupa untuk berehat
Bekerja dalam tempoh yang
lama tanpa rehat bukanlah penggunaan waktu yang efektif. Tenaga makin menurun,
kebosanan makin mempengaruhi serta ketegangan fizikal dan mental makin
terkumpul. Oleh itu, anda memerlukan masa rehat yang secukupnya kerana hanya
berehat sahaja merupakan cara yang paling baik.
Tidur sebentar juga boleh membantu kita menjadi lebih efektif,
Rasulullah juga mengamalkannya. Tapi
jangan jadikan ini sebagai alasan untuk lari dari tugasan!
10.
Jangan mudah terpedaya
Masa bergerak sangat
pantas. Kadang-kadang tanpa kita sedar,
hari dah menjelang petang sedangkan banyak lagi perkara yang kita tak
lakukan. Ramai orang mudah terpedaya
dengan masa dan mula menggunakan masa sebagai alasan. “Releks la, baru pukul 9 pagi.” “Kenapa nak cepat-cepat, ini kan waktu
rehat”. Dengan asyik melengah-lengahkan masa dan membiarkan diri terpedaya
dengan masa yang ada, kita akan kehilangan masa tersebut.
Orang berjaya dalam hidup
sangat menghargai masa. Tujuan mereka
kaya dan berjaya ialah supaya mereka ada lebih banyak masa untuk diluangkan
dengan Allah swt, dengan diri sendiri dan keluarga. Anda bagaimana?
Salam Kejayaan,
DARI Team Richworks.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete