EMAS MAMPU MENYELAMATKAN ANDA
Ada orang beranggapan bahawa membeli emas akan menghabiskan atau mengurangkan duit. Tanggapan itu hanya boleh diterima jika dirujuk kepada pembelian barangan dapur atau bekalan makanan, tetapi tidak boleh diterima untuk pembelian emas.
Apakah yang membezakan antara kedua-duanya? Barangan dapur atau bekalan makanan yang dibeli akan habis digunakan dalam tempoh tertentu. Kita perlu menyediakan wang yang lain untuk membelinya sekali lagi. Demikianlah keadaannya dari masa ke masa.
Apabila kita membeli emas, kita sebenarnya menukar wang dengan barang berharga yang boleh disimpan selama mana yang dikehendaki. Barang berharga itu boleh digunakan untuk masa-masa terdesak bagi mendapatkan wang tanpa kehilangan barangan itu ataupun nilainya. Itulah perkhidmatan yang disediakan oleh kedai pajak.
Hal ini sangat berbeza dengan pinjaman yang dibuat di bank atau institusi-institusi kewangan. Kita terpaksa menyelesaikannya secara bulanan termasuk bayaran tambahan yang dikenakan. Seseorang itu bukan sahaja menanggung hutang malahan menghadapi risiko yang berat. Peminjam akan diisytiharkan muflis jika gagal menyelesaikan hutangnya.
Ada orang kata, “Tiada wang boleh pinjam dengan kawan.” Ini pun ada bahayanya. Situasinya ialah pemberi pinjam mempunyai kuasa. Apabila berlaku proses kompromi antara pemberi pinjam dengan peminjam, peminjam tidak akan mendapat kesemua yang dihajatinya kerana keputusan sesuatu kompromi hanya memenuhi sebahagian sahaja dan lebih menguntungkan pihak yang ada kuasa tidak kiralah dia itu bank atau kawan. Lebih teruk lagi, ramai yang kehilangan kawan akibat tidak dapat melunaskan hutang!
Kesemua risiko itu dapat dielakkan jika kita ada emas. Orang yang ada emas mesti ada wang. Orang yang ada wang belum tentu ada emas. Wang di tangan atau disimpan selalunya habis. Emas ada aura. Orang sayangkan emasnya. Maka dengan itu, emas menjadi pendinding dalam kehidupan manusia.
No comments:
Post a Comment