KESELURUHAN RENCANA INI SANGAT PANJANG. OLEH ITU, DIHIDANGKAN SIKIT-SIKIT.
Penurunan Nilai Mata Wang Ringgit: Apa Yang Kita Perlu Tahu?
Fenomena kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) secara berterusan semenjak nilai tinggi terakhirnya pada bulan Ogos 2014 (3.1463) telah menimbulkan keresahan kepada ramai pihak. Ringgit telah mengalami kejatuhan drastik dalam tempoh dua hari dengan kejatuhan sebanyak 2.4% pada tarikh 1 Disember 2014 (3.3465 menjadi 3.4300). Penurunan nilai Ringit ini merupakan yang terteruk berbanding semasa krisis ekonomi Asia 1997 sebelum ini.
Pada masa artikel ini ditulis 30 June 2015 nilai ringgit kita jatuh lagi 1 USD bersamaan RM3.78.
Pelbagai persoalan timbul sebagai reaksi kepada situasi ini. Apakah yang menjadi punca penyusutan nilai matawang negara kita berbanding USD? Adakah situasi itu memberikan impak negatif kepada kehidupan kita? Adakah krisis ini berpanjangan?
Penulisan ini akan membantu pembaca untuk memahami faktor yang menjadi pemain utama di sebalik kenaikan/penurunan mata wang dunia, kesannya kepada kesihatan ekonomi negara dan bagaimanakah jalan terbaik untuk kita menghadapinya.
Sejarah Penggunaan Wang Kertas
Sebelum kita memasuki perbincangan ini dengan lebih mendalam, sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang kertas terlebih dahulu.
Kita biasa menggambarkan bahawa wang yang digunakan oleh masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak sebagaimana yang sering disajikan dalam filem dan penulisan klasik. Begitu juga jika kita mengamati sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan himpunan hadith, kita tidak akan terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan dinar (emas) dan dirham (perak) dalam urus niaga ketika zaman tersebut. Persoalannya di sini, bilakah bermulanya penggunaan wang kertas?
Emas dan perak telah digunakan secara meluas dan diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh dunia berikutan nilai yang tersimpan dalam logam berharga itu sendiri. Ibn Khaldun dalam Muqaddimah turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan perak sebagai medium perantaraan jual beli dan penyimpan nilai usaha dan kekayaan manusia:
“Allah telah menciptakan dua jenis logam, iaitu emas dan perak sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal. Penduduk dunia menganggapnya sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila berada dalam keadaan-keadaan tertentu, barang-barang lain dikehendaki, tidak lain daripada mencapai tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh emas dan perak. Semua barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran, sementara emas dan perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar keuntungan, harta dan kekayaan.”
Walau bagaimanapun, emas dan perak mempunyai kelemahan yang ketara iaitu kesukaran untuk membawanya dalam kuantiti yang banyak dan wujud kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa dalam perjalanan yang jauh. Perkembangan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang menuntut kepada penggunaan wang dalam nilai yang besar telah membawa kepada inovasi penciptaan wang kertas. Pada permulaan penggunaannya, ‘wang kertas’ tersebut tidak dikira sebagai mata wang. Fungsinya hanya sebagai dokumen bukti atau resit bagi mewakili nilai emas atau perak yang dimiliki oleh pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan oleh individu atau institusi yang diamanahkan untuk menjaga emas dan perak tersebut.
Penggunaan wang kertas mula dikesan pengamalannya di China pada seawal abad ke-7 Masihi. Manakala, negara Barat pula mula menggunakannya sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang kertas di dunia Islam pula hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khalifah Turki Uthmaniyyah.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dunia umumnya menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan wang kertas pada mula pengenalannya tidaklah sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang kertas hanya mewakili simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank dengan menukarkannya. Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas (gold-standard).
Akan tetapi, peredaran masa telah membawa kepada dominasi penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau perak itu sendiri. Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang kertas dengan emas atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan duit kertas telah melebihi simpanan emas seperti yang pernah terjadi pada tahun 1759 di England.
England merupakan antara negara pertama yang meleraikan ikatan mata wangnya daripada emas pada tahun 1931 lanjutan daripada krisis ekonomi yang melanda dunia barat (Great Depression). Pada tahun 1944, konferens Bretton Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan untuk mengstrukturkan semula polisi kewangan dunia pasca perang dunia kedua. Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya secara tidak langsung telah memainkan peranan sebagai mata wang dunia. Semua mata wang telah diikat dengan dollar, manakala dollar pula diikat kepada emas dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan 35 oz emas.
Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971.
Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala (uni-lateral) pada tahun 1971.
Sejak itu, mata wang di seluruh dunia tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden Nixon pada tahun 1971 itu telah membuka lembaran sejarah yang baharu dalam sejarah pengamalan kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wang fiat. Dinamakan fiat kerana merujuk kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada apa-apa komoditi melainkan hanya anggapan semata-mata.
Sejak nilai mata wang telah diapungkan nilainya bergantung kepada kondisi pasaran. Oleh sebab itu, mudah terdedah kepada risiko spekulasi dan ketidakstabil. Pelaksanaan sistem Fractional Reserve yang menjadi asas kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa implikasi yang lebih teruk apabila menjadi faktor utama kepada inflasi.
No comments:
Post a Comment