Friday, December 30, 2016

CERITERA WANG KERTAS VS EMAS

Kita perlu menerima hakikat bahawa dinar emas dan dirham perak yang pertama ditempah orang Islam Eropah di Granada, selatan Sepanyol 300 tahun lalu.

Mereka ialah bangsa Eropah yang memeluk Islam dan memilih untuk hidup serta berpegang kepada ajaran Islam sepenuhnya. Mereka mencari mata wang Islam, pasar Islam, saudara Islam dan bertanyakan amalan perdagangan mengikut Islam.

Ketika umat Islam mencari kesahihan amalan Islam, mereka memperkenalkan dinar emas dan dirham perak sebagai asas urus niaga dalam kalangan mereka dan daripada situlah bermula usaha mengembalikan sejarah penggunaan dinar emas dan dirham perak.

Dinar emas dan dirham perak tidak terikat dengan mana-mana negara. Bahan yang  diperbuat daripada emas dan perak itu tidak boleh susut nilai beratnya atau ditokok beratnya dengan dikenakan faedah. Tidak seperti wang kertas yang sentiasa terikat dengan faedah atau riba.

Profesor Roy Jastram dari Universiti Berkeley, Amerika Syarikat (AS) dalam bukunya The Golden Constant, menjelaskan bahawa hasil kajian mengenai perubahan harga emas terhadap beberapa komoditi utama selama empat tahun sehingga 1976, mendapati harga emas tidak banyak berubah, malah boleh dikatakan tetap.

Dinar emas diukur mengikut timbangan 4.25 gram emas. Ukuran timbangan ini tetap walau apa yang berlaku sama ada krisis ekonomi, gempa bumi dan bangunan runtuh, timbangan berat dinar emas tetap tidak berubah.

Bagaimana pula dengan sistem mata wang dunia sekarang? Sistem mata wang dunia kini tidak ada ikatan dengan emas, tidak disandarkan kepada suatu persetujuan politik atau sebarang perbahasan yang mantap.

Sistem mata wang hari ini terhasil daripada peristiwa pada akhir tahun 60-an apabila perjanjian Bretton Woods dibatalkan kerana AS mengalami muflis. AS telah mencetak terlalu banyak dolar dan mengeksport wang kertas mereka ke luar negara.

Pada 1968, Presiden Charles De Gaulle memberitahu Menteri Kewangannya bahawa Perancis tidak boleh lagi menerima inflasi yang dieksport dari AS, membenarkan dolar AS membanjiri Paris dan beberapa negara Eropah lain.

Pemimpin Perancis itu mengarahkan supaya semua dolar yang ada dalam negara itu dipulangkan balik kepada AS dan menukarkannya dengan emas. Kacau-bilau berlaku apabila ramai berebut-rebut mendapatkan emas dengan menukarkan wang kertas dolar AS.

Apabila hal ini berlaku, ramai yang mempersoalkan kewajaran berpegang kepada wang kertas tanpa sandaran itu. Suasana panik  mendorong ramai orang berebut mendapatkan emas.. Dalam masa dua bulan, 60 peratus daripada emas dalam simpanan di Fort Knox AS lesap.

Seperti biasa AS mengambil jalan melanggar undang-undang kontrak iaitu menghukum mereka yang menukar dolar AS kepada emas. Mereka didakwa melanggar hak asasi manusia untuk memiliki emas atau komoditi yang berharga.

Selepas itu, bank pusat di seluruh dunia dilarang menukar dolar AS dengan emas. Seperti yang kita ketahui, pada 1969 De Gaulle dilucutkan jawatan dan diganti oleh Georges Pompidou dan dengan kerjasama Willi Brandt telah membentuk dasar pertama ke arah mewujudkan mata wang bagi Eropah iaitu euro.

Apa yang dilakukan oleh De Gaulle membawa kepada terhapusnya ikatan wang kertas dolar AS kepada emas pada 1971.

Selepas itu, dunia memasuki era mata wang apungan. Situasi ini membuka ruang ekploitasi  negara besar dengan ekonomi yang besar terhadap negara kecil. Mereka mencetak kertas tanpa sandaran emas ditukar dengan kekayaan sebenar seperti minyak, rempah, kayu jati, gas dan sebagainya.

Tetapi jika kita ke negara mereka, ringgit kita dikatakan hanya sekeping kertas dan seringgit kita tidak boleh membeli setin Coca Cola di New York.

De Gaulle menyatakan bahawa keistimewaan dolar dan AS dalam mencetak wang kertas adalah sesuatu yang melampau. Robert Mundell, seorang pemenang Anugerah Nobel menyuarakan keperluan diwujudkan mata wang komoditi.

Profesor Deutche dari Jerman juga menyatakan bahawa ekonomi dunia kini memerlukan mata wang komoditi untuk mewujudkan suatu sistem ekonomi yang stabil dan mangsa terbaru yang kita tahu ialah Argentina.

Negara itu yang kaya dengan bahan mentah, tetapi telah mengikuti telunjuk Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan mengikat wangnya dengan dolar AS. Perhatikan bahawa ikatan kepada dolar AS pun tidak selamat walaupun dinasihati IMF.






No comments:

Post a Comment